Kalendar IKRAM PJ

Showing posts with label Pusat. Show all posts
Showing posts with label Pusat. Show all posts

26 October 2014

Perhimpunan Tahunan Ikram PTI 2014 - Daripada Kacamata Ikram PJ


Perhimpunan Tahunan Ikram PTI 2014 - Daripada Kacamata Ikram PJ


Kompleks Tan Sri Jeffrey Cheah di USJ1, tempat di mana PTI 2014 diadakan

Alhamdulillah dengan keizinan Allah, Perhimpunan Tahunan Ikram (PTI) 2014 telah berjaya dianjurkan pada hari Sabtu 25 Oktober, bertempat di Dewan Kompleks Tan Sri Jeffrey Cheah, USJ, Selangor Darul Ehsan. Program ini adalah muktamar kebangsaan tahunan bagi semua ahli Ikram dari seluruh negara.

PTI dibukai oleh ucapan dasar oleh Presiden Ikram, Al-Ustaz Dr Parid Shaik Ahmad. Program seharian ini seterusnya diisi oleh slot-slot yang menarik seperti pelancaran Modul Tarbiah IKRAM 2014, pelancaran Humanitarian Care Malaysia (myCARE) dan pelancaran TV.IKRAM.

Pandangan di dalam dewan, yang menempatkan lebih kurang 2,500 orang peserta PTI 2014

Terdapat juga slot perkongsian oleh agensi-agensi seperti Hidayah Centre Foundation dan Ansar Initiative. Kumpulan Nasyid Ziyad, Saff-one dan IKRAM Junior tidak turut ketinggalan untuk memberikan persembahan yang menarik yang berjaya mewarnai PTI 2014.

Noorulameen Syed Meera
Seorang aktiviis Ikram PJ yang menyertai PTI, Noorulameen Syed Meera berkata, beliau kagum konsep penganjuran PTI yang mengumpulkan semua ahli dari semua peringkat dan dari seluruh negara. Di PTI juga mereka yang hadir dapat mendengar sendiri ucapan dasar Presiden Ikram, sekaligus memberikan gambaran mengenai halatuju, gerakerja dan pendirian Ikram terhadap isu-isu tempatan dan antarabangsa.

PTI 2014 merupakan perhimpunan kali kedua seumpamanya, setelah penganjuran pertama tahun lepas rata-rata mendapat respon positif. Ikram PJ telah menghantar seramai lebih kurang 60 orang peserta dan juga sukarelawan (untuk membantu dengan tugasan penganjuran).

Selain daripada menghantar peserta, Ikram PJ juga turut membantu menjayakan penganjuran PTI sebagai JK Makanan. JK Makanan dibantu oleh Team Klang dan Team PJ yang diselia oleh Mohd Noor Said.

Golongan muda seperti belia dan mahasiswa tidak ketinggalan menyertai muktamar agung ini. Kerana di dalam Ikram golongan ini merasakan mereka diberi peranan dan peluang seluas-luasnya untuk bersama menjayakan agenda Ikram mengislahkan masyarakat. Pandangan ini turut dikongsi oleh Hamri Ibrahim, seorang lagi peserta yang dahulunya merupakan ahli Ikram PJ (kini beliau menetap di Manjung, Perak). Beliau berkata belia sepatutnya prihatin dengan isu-isu masyarakat dan seterusnya mengambil peranan utama menggerakkan agenda islah di dalam negara. Sesuai dengan tema PTI kali ini 'Malaysia Menuju Negara Rahmah', inilah menurutnya agenda yang perlu didokong oleh semua penggerak terutamanya golongan belia.

Hamri Ibrahim
Yang pasti, PTI 2014 berjaya menghimpunkan ahli-ahli dan para aktivis Ikram dari seluruh pelusuk negara, yang bertemu membina silaturrahim, mengeratkan ukhuwah, dan berkongsi pengalaman da'wah - kesemuanya menjadi resepi penting dalam menggerakkan Malaysia ke arah negara rahmah.

Laporan Team Media Ikram PJ


Link berkaitan: Perhimpunan Tahunan Ikram 2013

10 November 2013

Perhimpunan Tahunan Ikram 2013

Perhimpunan Tahunan Ikram (PTI) telah diadakan buat julung-julung kalinya di Dewan Banquet UPM, Serdang pada hari Ahad, 10 November 2013. Rombongan daripada Ikram PJ adalah di antara lebih 1,200 ahli Ikram dari seluruh negara yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Perhimpunan ini adalah buat kali pertama diadakan di dalam sejarah Ikram, yang menggabungkan perhimpunan untuk semua lapisan ahli dan juga Perhimpunan Ahli Teras Ikram pada sebelah petang. Presiden Ikram Dr Ahmad Parid Sheikh Ahmad menyampaikan ucapannya pada sebelah pagi, dan nyata ahli-ahli menerima baik bentuk baru perhimpunan. Menurut Kamarul Muluk bin Abdul Muluk, 28, seorang ahli Ikram Seremban, PTI merupakan inisiatif yang sangat baik yang mana semua peringkat ahli dapat mendengar secara terus ucapan dasar Presiden.

Selain daripada ucapan oleh kepimpinan Ikram Pusat, PTI juga membariskan agenda seperti perkembangan Ikram dan institusi-institusi di bawahnya, serta perbincangan sesama ahli berkenaan strategi dan perancangan Ikram secara umum.





Foto-foto ehsan: Dr Normah Abdullah, Dr Eshamsul Sulaiman.

08 October 2012

Qurban Kasih Ummah 1433H

Update untuk post: Qurban & Aqiqah - Marilah sertai!

Bagi mereka yang tidak menerima borang hard copy, penyertaan qurban tahun ni boleh dilakukan dengan cara alternatif: 
  1. Guna borang online di link: http://qurban-aqiqah.jim.org.my/blog/archives/1603
  2. Download, print, isi dan hantar manually borang di attachment ini. 



Moga Allah menerima ibadah qurban kita.

06 September 2012

Jemputan Majlis Eidul Fitri IKRAM Pusat dan Selangor

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Pusat dan Selangor menjemput dengan segala hormatnya tuan-tuan dan puan-puan ke Majlis Ramah Mesra Sempena Eidulfitri. Maklumat adalah seperti di bawah. Jom!

13 February 2011

Pergolakan di Mesir dan Timur Tengah, Di mana Kesudahannya?

Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan hormatnya menjemput saudara dan saudari untuk menghadiri satu wacana bertajuk ‘Pergolakan di Mesir dan Timur Tengah, Di mana Kesudahannya?" Maklumat wacana adalah seperti berikut:

Tarikh: 16 Februari 2011 (Rabu)

Waktu: 8.00 malam – 11.00 malam

Tempat: K Club, Taman Melawati (http://www.kclub.com.my/images/Map.jpg)


Ahli Panel:

(1) Prof Madya Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mohd Dahan (Cairo University)

(2) Prof Dr Nazari Ismail (Universiti Malaya)

(3) Ustaz Wan Subky Wan Soleh (IKRAM)

(4) Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor (Universiti Putra Malaysia) - Moderator

Wacana ini adalah terbuka kepada semua!.

-IKRAM Malaysia-

11 December 2010

Ucapan Tahun Baru oleh Ketua Wanita IKRAM- Ustazah Maznah Daud

Ikhwah dan Akhawat

Hari ini kita baru menjejakkan kaki di gerbang 1432. Syukur kepada-Nya kerana masih memanjangkan usia kita sempat melihat terbenamnya matahari 1431. Mudah-mudahan ia turut membenamkan duka lara akibat kealpaan dan kecuaian kita sepanjang tahun yang lalu. Dan munculnya matahari 1432 akan menggilapkan azam dan tekad di dalam diri kita untuk berjuang dan berkorban demi mendaulatkan Syariah di persada dunia.

1432 hijriah membawa maksud 1445 tahun sudah Islam diturunkan ke muka bumi. Selama itulah cahaya kebenaran itu dipancarkan dari langit dan dinyalakan di persada bumi. Dan dari semenjak itu cahaya kebenaran itu tidak pernah terpadam meskipun pelbagai percubaan dilakukan oleh musuh-musuh untuk memadamkannya. Dan sesungguhnya ia tidak akan padam buat selama-lamanya.

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Maksud As-Saff:8)

Seluruh umat bersepakat bahawa Hijrah merupakan satu noktah penting dalam perjuangan menegakkan din Allah di muka bumi ini, satu lonjakan saujana dalam penyebaran dakwah dan pemantapan aqidah di seluruh pelusuk dunia.

Hijrah adalah lambang ketulusan iman, kemurnian hati dan kejernihan jiwa. Hati yang benar-benar telah berjaya disucikan dari karat-karat jahiliah, jiwa yang telah lulus piawaian Ilahi terhindar sepenuhnya dari saki baki najis syirik dan nifaq.

Hijrah adalah manifestasi kebenaran iman yang didakwa bersarang di dalam dada, mercu tanda sahihnya pengakuan seorang hamba bahawa tiada ia bertuhan kecuali pada Yang Esa.

Hijrah adalah syarahan kepada maksud kalimah pengorbanan dari segala seginya!

Ikhwah dan Akhawat

Meneliti kisah-kisah yang tertulis di dalam sejarah mengenai peristiwa hijrah membuatkan lidah terasa kelu dan tangan terasa kaku. Tidak mampu untuk kita mengungkapkan betapa besar pengorbanan yang telah mereka curahkan, betapa hebat sumbangan yang telah mereka taburkan. Dapat dibayangkan betapa kesedihan yang terpaksa ditanggung kerana meninggalkan tanah air tercinta. Lebih-lebih lagi tanah air yang ditinggalkan itu bukan sebarangan tempat, ia merupakan tanah haram yang dimuliakan, tanah haram yang terbina di atasnya Rumah Allah yang agung. Betapa pilu dan rindu bagaikan tidak tertanggung. Hal ini diceritakan oleh Sayyidatuna Aisyah r.a. dengan katanya: setibanya Rasulullah s.a.w. di Madinah, Abu Bakar dan Bilal jatuh sakit. Aku menziarahi keduanya dan bertanya, “bagaimana keadaanmu, ayahku? Dan bagaimana keadaanmu wahai Bilal?”

Aisyah menyambung ceritanya dengan berkata: Adapun ayahku Abu Bakar, setiap kali demamnya memuncak dia akan bermadah:

Setiapa insan berada dalam kalangan keluarganya

Sedang kematian lebih dekat kepadanya daripada tali kasutnya.

Manakala Bilal pula mencurahkan kerinduannya menerusi rangkap-rangkap syair:

Aduhai alangkah rindunya

Adakah mungkin aku akan bermalam walau satu malam Cuma

Di satu lembah dan di sekelilingku pokok izkhir dan jalil?

Adakah mungkin suatu hari nanti aku meminum air dari Mijanah?

Adakah mungkin nanti aku akan dapat melihat Syamah dan Tufayl?

Pengorbanan yang tercurah bukan dari golongan tertentu. Seluruh ummah berpadu memberikan segala yang termampu tanpa mengira lelaki dan wanita, golongan tua dan muda, dewasa, remaja dan kanak-kanak, kaya dan papa, bujang dan berkeluarga. Keluarga Abu Bakar r.a. adalah sebaik-baik contoh dalam hal ini.

Ikhwah dan Akhawat,

Bagi akhawat khususnya, kedatangan tahun baru hijrah kali ini menjadi lebih bermakna. Hanya beberapa hari saja lagi akan berlangsungnya PATWA yang merupakan detik permulaan tertubuhnya sayap wanita IKRAM. Mampukah kita menjadikan penubuhan sayap ini sebagai suatu landasan meluncurkan dakwah ini hingga berjaya mencapai puncaknya sebagaimana hijrah ar-Rasul menjadi titik permulaan tertegaknya Negara Islam yang pertama?

Buat ikhwah, terutamanya yang masih ragu dan teragak-agak untuk mengizinkan teman hidupnya bergiat aktif di dalam dakwah, jadikan peristiwa hijrah ini sebagai cermin. Lihat betapa Islam sentiasa menampilkan wanita sebagai pemegang watak utama dalam setiap peristiwa besar yang menjadi mercu tanda kebangkitan Islam. Orang yang pertama beriman, yang pertama syahid mempertahankan iman, yang menyiapkan bekalan untuk Sayyidil-Mursalin berhijrah menuju tapak pembinaan Negara Islam.

SELAMAT MELANGKAH KE TAHUN BARU YANG MEMBAWA KITA SEMAKIN HAMPIR MENGGAPAI WAWASAN.

Ukhtukum fillah

Kak Maznah

6 jam 35 minit sebelum terbit fajar 1 Muharram 1432

26 October 2010

Selamat Pulang para pejuang Palestin! (25/10/2010)


KLIA SEPANG, Kira-kira 100 orang hadir untuk menyambut kepulangan para sukarelawan AqsaSyarif yang telah 40 hari berjuang untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin. Para sukarelawan ini adalah sebahagian dari Misi Kemanusian VivaPalestina5 sedunia.

Beberapa wakil IKRAM PJ juga berkesempatan menyambut kepulangan para pejuang ini.

Misi VivaPalestina5 kali ini Alhamdulillah telah berjaya menyerahkan 140 buah kenderaan yang sarat dengan bantuan makanan, perubatan dan alat tulis seberat 500 tan. Seramai 400 orang sukarelawan dari seluruh dunia telah berjaya melepasi sekatan ke Gaza. Perjalanan mereka bermula dari United Kingdom ke Perancis, Itali, Greece, Turki, Syiria, Mesir dan akhir sekali Gaza, Palestin. Konvoi ini mengambil masa 6 minggu untuk sampai menggunakan jalan darat dan air.

Semoga Allah merahmati usaha kerdil kita membantu membebaskan bumi Palestin yang dijajah.

IKRAM PJ mengucapkan tahniah kepada semua sukarelawan yang terlibat. Terima kasih tidak terhingga- balasan Allah yang lebih baik untuk semua yang menyumbang untuk menjayakan misi yang bersejarah ini.

Untuk maklumat lanjut sila layari:
1. www.aqsasyarif.com
2. www.vivapalestina-my.org

Untuk beberapa gambar di KLIA layari:
facebook.com/ikrampj

24 October 2010

PERUTUSAN PRESIDEN IKRAM 2010

Sempena Ulang Tahun Pertama Pendaftaran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

15 Zulkaedah 1431 bersamaan 23 Oktober 2010

بسم الله الرحمن الرحيم ...... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan agamaNya, melengkapkan nikmatNya dan merelai Islam sahaja sebagai al-Din, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda dan para sahabat-sahabatnya, seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari al-qiamah………. Amin!

Semoga seluruh warga Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), anggota keluarga mereka, seluruh ummat Islam di Malaysia dan dunia sentiasa berada di dalam keadaan sejahtera, sentiasa mentaati Allah s.w.t, memajukan diri serta memperkembangkannya hari demi hari supaya menjadi lebih baik dengan perjalanan masa, mampu menambah bakti kepada agama yang kita imani dan ummah yang kita sayangi.

Semalam tanggal 22 Oktober 2010, ulang tahun pertama pendaftaran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) diluluskan Pendaftar Pertubuhan. Kita semua sejak tarikh 22 Oktober 2009 yang lalu telah memperolehi sebuah wahana perjuangan yang dapat dimanafaatkan untuk memperkasakan perjuangan menegakkan Islam kembali gemilang menaungi manusia dan alam dengan kehendak Allah s.w.t dengan rahmat dan keadilanNya.

Masa berlalu dengan cepat, kesibukan kita menguruskan transformasi entiti kita kepada IKRAM, pelancarannya di pusat, negeri dan cawangan-cawangan serta meletakkannya di atas landasan perjalanan yang terancang untuk mengejar visi dan menyempurnakan misi membuat kita terlupa tarikh kelahirannya semalam.

Ulang tahun kelahirannya yang merupakan tarikh keramat kepada kita semua. Permulaan era baru yang menuntut kerja-kerja keras, pengorbanan maksimum, dalam laluan mengkhidmati Islam, ummah dan manusia, pengabdian kepada Allah tahap tinggi sejajar dengan tuntutan masa dan situasi cabaran-cabaran getir yang sedang dihadapi ummah agar ummah kembali berada di posisinya yang mulia, memimpin ummat manusia menuju keredhaan Allah s.w.t, pencipta alam semesta.

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

11 October 2010

Hampir 2,000 ahli IKRAM sertai Muktamar Tarbawi Nasional 2010

9 Oktober 2010

SERDANG - Kira-kira 1,900 orang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) berhimpun di Dewan B, Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) kerana menghadiri Muktamar Tarbawi Nasional (MTN) 2010 IKRAM di sini.

Para peserta yang mula tiba dari seluruh pelosok tanah air sejak awal pagi mengambil peluang memulakan hari yang indah ini dengan bertemu sahabat handai untuk mengukuhkan silaturahim, sebelum kesemuanya bergerak masuk ke dewan.

Majlis dibuka dengan bacaan ayat-ayat al-Quran dari surah Hud ayat 41-47 oleh Ustaz Mohd Norhisham Ahmad. Para hadirin kemudiannya berdiri untuk menyanyikan lagu rasmi IKRAM dengan penuh semangat.

Pengerusi Jawatankuasa Tarbiah Pusat, Ustaz Tajul Arifin, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran peserta ke muktamar ini. Menurut beliau, tema "Nuqaba' Berwibawa Teras Kecemerlangan IKRAM" dipilih untuk MTN kali ini kerana tanggungjawab dakwah yang berat ini perlu dipikul oleh ahli-ahli IKRAM yang berwibawa. IKRAM percaya bahawa mereka yang berkualiti sahaja yang akan mampu memilih anasir-anasir yang berkualiti.

Tambah beliau lagi, objektif terpenting MTN ialah memberi semangat kepada para naqib supaya mereka dapat memikul beban amanah dakwah dan tarbiah dengan lebih komited, seterusnya melahirkan naqib- naqib lain untuk memajukan dakwah di tengah masyarakat. "Orang yang mampu mentarbiah dirinya sahaja yang akan mampu mentarbiah orang lain," katanya.

"Kita yakin bahawa kemelut yang melanda masyarakat tidak akan dapat dirungkai dan diselesaikan melainkan dengan Islam sahaja," tegas Ustaz Tajul Arifin lagi.

Sesi kemudiannya diteruskan dengan pengisian oleh Presiden IKRAM, Ustaz Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad yang mengupas tema Muktamar Tarbawi ini- "Nuqaba' Berwibawa Teras Kecemerlangan IKRAM". Di antara penekanan beliau-Nuqaba' adalah nama sebutan bagi sekumpulan du’at yang memfokuskan usaha‐usaha mereka untuk membangun dan mengembangkan peribadi peribadi muslim yang telah dimenangi dan dikumpulkan oleh para‐para duat, menerusi pelaksanaan berbagai‐bagai wasail tarbiah seperti usrah, katibah, daurah, rehlah, mukhayyam dan lain‐lain.

"Bidang kerja mereka ialah pembangunan manusia, mengasuh dan membimbing mereka dengan matlamat membangun mereka agar menjadi muslim yang sempurna, soleh dan musleh, berperanan sebagai sebaik‐baik ummat yang hidup dimuka bumi dari perspektif Islam amnya dan IKRAM khususnya.", tambah Ustaz Parid.

Penyampaian ketiga pula disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hameed Elewa. Penyampaian beliau yang penuh semangat, lantang dan energetik itu menghurai tajuk "Murabbi Qudwah: Sifat, Kemahiran & Kewajiban". Ustaz Abdul Muhaimin Sahar Al-Hafiz menterjemah dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Terdapat juga terjemahan bertulis di layar skrin pada waktu yang sama. Ustaz Muhammad meminta para peserta mengulangi beberapa kali motto seorang Naqib atau Murrabi:

"Tarbiah wattakwin toriquna littamkin" yang bermaksud:

"Tarbiah dan pembentukan adalah jalan kami ke arah kejayaan"

Beliau juga menegaskan peri pentingnya bermuayashah oleh Naqib dengan anak-anak buah selain dari waktu usrah seminggu sekali. Naqib perlu mencari waktu lain di dalam seminggu untuk berjumpa. Muayashah akan membawa kepada kekuatan ukhuwwah. Ukhuwwah yang kuat akan membawa kepada kekuatan usrah. Dan usrah kuat akan membawa kepada kekuatan Tarbiah dan Jamaah.

Di sebelah petang selepas makan tengahari diadakan Forum "Nuqaba' Berwibawa Teras Kecemerlangan IKRAM". Ahli panel terdiri daripada:
1. Ustaz Dr. Ir Muhammad Fuad Teoh Abdullah, ahli DPN IKRAM
2. Mohd Hasyahril Mohd Hashim, SU Pemuda IKRAM dan
3. Ustazah Maznah Daud, Ketua Wanita IKRAM.

Sesi perkongsian pengalaman- sesi pengisian terakhir Muktamar, disampaikan oleh Bapak M. Matri Aegong, Anggota DPR Indonesia, Parti Keadilan Sejahtera Indonesia. Bapak Matri berkongsi "Peranan Nuqaba' Dalam Mehwar (Peringkat) Terbuka". Pengalaman beliau sebagai seorang Naqib yang membawa usrah sebanyak 15 kali seminggu ketika menjadi pelajar IPT hingga ke Menteri Republik Indonesia yang masih lagi mampu membawa 1 usrah amat membuka mata dan minda para peserta.

Program MTN 2010 berakhir pada jam 7:30pm.

08 October 2010

Muktamar Tarbawi Nasional IKRAM untuk ahli Aktif dan Teras 09/10/2010

Satu Muktamar Tarbawi Nasional IKRAM akan diadakan:
Peserta:     Ahli Aktif dan Ahli Teras IKRAM
Tempat:    MAEPS, Serdang, Selangor
Tarikh:      Sabtu, 9 Oktober 2010
Masa:       8am - 8pm

IKRAM PJ mendoakan agar Muktamar ini diberkati Allah.

Selamat bersidang ahli-ahli Aktif dan Teras IKRAM Petaling Jaya yang akan ke sana!

20 August 2010

Pelancaran IKRAMMAL Sdn Bhd 17/08/2010

Ramadhan Kareem..

Alhamdulillah, malam tadi telah berlangsung majlis pelancaran IKRAMMAL Sdn Bhd oleh Presiden IKRAM di dewan mesyuarat Ibu Pejabat IKRAM.

Pada masa yang sama, majlis iftar telah diadakan bersama-sama JKP, JK Pembangunan Ekonomi (JK PE), JK Pengurusan Kewangan (JK PKew) dan beberapa orang usahawan.


IKRAMMAL Sdn Bhd akan menjadi salah satu institusi penting bagi IKRAM untuk menjana dana.

Ini merupakan salah satu inisiatif penting JK Pembangunan Ekonomi (JK PE) IKRAM Pusat.

Majlis penyerahan sijil saham MIG Sdn kepada IKRAM juga telah diadakan.

Mari kita sama-sama doakan mudah-mudahan usaha ini mendapat bantuan dan pertolongan Allah swt dan sokongan semua ahli-ahli IKRAM.

Antara hadirin yang hadir

Ucapan Presiden IKRAM

Penyampaian Sijil  Saham (share certificate) MIG Sdn Bhd kepada Presiden












-Pejabat Presiden IKRAM-

10 August 2010

Perutusan Ramadhan Presiden IKRAM

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan agamaNya , melengkapkan nikmatNya dan merelai Islam sahaja sebagai ad-Din. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w , keluarga baginda dan para sahabat-sahabatnya, seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari al-qiamah ………..Amin!

Semoga seluruh warga Pertubuhan IKRAM Malaysia, anggota keluarga mereka , seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia sentiasa berada di dalam keadaan sejahtera, sentiasa mentaati Allah s.w.t , memajukan diri serta memperkembangkannya hari demi hari supaya menjadi lebih baik dengan perjalanan masa, mampu menambah bakti kepada agama yang kita imani dan Ummah yang kita sayangi.

Beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan, bulan yang dipenuhi keberkatan, semulia-mulia bulan. Di dalamnya diperturunkan al-Quran, dimenangkan Ummah menerusi peperangan Badr al-kubra, al-Yarmuk, al-Qadisiah, al-Hattin dan lain-lain lagi. Ia mengandungi sebaik-baik malam, yaitu malam lailatul qadar, yang lebih baik dari seribu bulan.

Ia bulan yang membuka ruang kepada semua Umat Islam untuk mempergandakan amal-amal soleh, ketaatan kepada Allah, yang akan mempergandakan pahala balasan amalan-amalan yang wajib sebanyak tujuh puluh kali ganda dan amal-amal sunat kepada pahala balasan amal-amal yang fardhu dan wajib. Satu gandaan yang amat luar biasa yang dibawa atau yang terkandung bersama-sama bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.

Sepanjang bulan Ramadhan masyarakat Islam dituntut melaksanakan ibadah puasa, membayar zakat fitrah, mereka keluar beramai-ramai melaksanakan sembahayang fardhu dan sunat tarawikh secara berjamaah di masjid-masjid dan surau-surau, memakmurkan rumah-rumah Allah s.w.t dan bulan Ramadhan dengan kegiatan-kegiatan membaca al-Quraan, i’tikaf sepanjang sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, menghidupkan malam-malamnya dengan sembahyang-sembahyang sunat tahajud, witir dan seumpamanya, mengingati Allah s.w.t dengan memperbanyakkan tasbih ,tahmid, istighfar, taubah, berdoa dengan doa-doa yang ma’athur , munajat, merenung kandungan kitabnya dan keajaiban alam semesta, mendalami sirah RasulNya dan memahami perutusan-perutusan dari sunnah-sunnah baginda, sejarah umat manusia, para-para Nabi dan Rasul dan pengikut-pengikut mereka, nasib kaum-kaum yang ingkar kepada perintah Allah, alam akhirat, kematian dan untung nasib manusia sesudahnya.

Menerusi ibadat puasa sepanjang bulan Ramadhan kita dituntut mengekang hawa nafsu minum dan makan serta mencampuri Isteri di waktu siang, mengasuh diri bersabar, menahan marah, menjaga lidah dan kehormatan peribadi sebagai orang Islam yang mulia, bersopan santun, sentiasa menghulurkan khidmat dan bantuan kepada golongan yang memerlukannya, berderma dan bersedekah, merasai sendiri kesedihan dan kepayahan, kelaparan dan kekurangan yang ditanggung selama ini oleh golongan fakir miskin, anak-anak yatim, golongan cacat dan tidak berupaya untuk menyara atau mengurus diri sendiri atau keluarga mereka.

Bulan Ramadhan merupakan bulan pembersihan jiwa daripada pelbagai penyakit-penyakit batin dan pembersihan diri daripada perilaku-perilaku yang buruk. Bulan yang sepatutnya kepada pejuang-pejuang Islam menyuburkan keinsafan dalam diri, kesabaran menghadapi cabaran-cabaran, keazaman mendokong Islam, ketaatan kepada Allah, kerinduan kepada al-Rasul s.a.w dan sahabat-sahabat baginda yang telah berkorban untuk Islam dengan setinggi-tinggi pengorbanan.

Dalam suasana bulan Ramadhan, mereka meredah sahara, gurun yang luas, jurang yang dalam, bukit bukau yang tinggi, di bawah panahan cahaya panas terik matahari mereka memikul panji-panji tauhid untuk dikibarkan di seluruh pelusuk semenanjung Arabia, menyempurnakan satu misi alami, insani yang amat mulia yang kemudiannya disempurnakan oleh para sahabat baginda.

Gunakanlah kesempatan yang masih lagi Allah berikan kepada kita semua menerusi bulan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari lagi ini untuk memperbanyakkan amal-amal soleh, mentaati Allah s.w.t, menabur bakti kepada orang-orang yang memerlukan, terutama kepada lingkungan yang hampir dengan kita, anggota keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, kenalan dan rakan-rakan.

Jadikanlah bulan Ramadhan ini, bulan kita memperteguhkan hubungan dengan Allah s.w.t, hubungan silatul al-rahmi dengan anggota keluarga yang dekat dan jauh, sanak saudara, jiran tetangga, rakan-rakan dan saudara –saudara seperjuangan, sesama ahli-ahli pertubuhan IKRAM dan masyarakat Islam.

Bulan Ramadhan, sewaktu dimanfaatkan sepenuhnya mampu mengasuh diri dan peribadi kita semua, mengangkatnya ke satu tahap yang lebih tinggi dan sempurna, menjadikan semua kita golongan yang hampir, dekat kepada Allah s.w.t dan manusia, diri dan peribadi yang mengasihi Allah dan dikasihinya, disayangi manusia dan menyayanginya.

Semoga bulan Ramadhan pada tahun hijrah 1431 ini akan mengangkat kita semua ke darjat golongan-golongan ummah yang bertakwa, memiliki bekalan perjalanan kehidupan yang terbaik dalam pengembaraan masing-masing merentasi kehidupan sementara di dunia yang fana’ ini. Dengan itu kita akan mencapai matlamat daripada ibadah berpuasa, memperolehi bekalan taqwa yang merupakan sebaik-baik bekalan di sisi Allah s.w.t.

Allah s.w.t telah berfirman didalam al-Quran:
ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu ( ibadah ) puasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu mejadi orang-orang yang bertaqwa" {surah al-Baqarah, ayat 183}

Firmannya lagi:
وتزودوا فان خير الزاد التقوى
Maksudnya: "Sediakanlah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah sifat al-taqwa" {Surah al-baqarah, ayat 197}

Ahli-ahli pertubuhan IKRAM diharapkan akan memperolehi bekalan al-taqwa tersebut menerusi penghayatan bulan ramadhan sebaik-baiknya, memperbanyakkan amal-amal soleh. Mudah-mudahan ia akan mengangkat mereka maju dan mara melonjakkan wahana IKRAM dan perjuangan Islam menerusinya ke tahap yang lebih tinggi, meninggalkan kesan baik dan membina yang lebih besar dan luas kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Akhirnya sebagai penutup, bersesuaian dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menghayati perutusan Nabi kita Muhammad s.a.w menerusi hadis baginda.

Rasulullah telah berucap di hari-hari terakhir bulan Syaaban kepada sahabat-sahabat baginda:
" أيها الناس : قد أظلكم شهر عظيم مبارك , شهر فيه ليلة خير من ألف شهر, شهر جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا , من تقرب فيه بخصلة كان كمن أدى فريضة فيما سواه , ومن أدى فريضة فيه كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه , وهو شهر الصبر , والصبر ثوابه الجنة , وشهر المواساة وشهر يزاد فى رزق المؤمن فيه , من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار , وكان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء . قالوا : يا رسول الله , ليس كلنا يجد ما يفطر الصائم , فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يعطى الله هذا الثواب من فطر صائما على تمرة أو شربة ماء أو مذقة لبن . وهو شهر أوله رحمة , وأوسطه مغفرة, وآخره عتق من النار, من خفف فيه عن مملوكه غفر الله له وأعتقه من النار, فاستكثروا فيه من أربع خصال: خصلتين ترضون بهما ربكم, وخصلتين لا غناء بكم عنهما, فأما الخصلتان اللتان ترضون بهما ربكم : فشهادة أن لا اله الا الله , وتستغفرونه, وأما الخصلتان اللتان لا غناء بكم عنهما : فتسألون الله الجنة وتعوذون به من النار, ومن سقا صائما سقاه الله من حوضى شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة "
Maksudnya: “Wahai manusia ! Kamu akan dinaungi satu bulan yang agung, yang penuh keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah. Sesiapa yang menghampirkan dirinya kepada Allah menerusi amalan sunnah, dia seperti melaksanakan satu amalan fardhu selain amalan sunnah tersebut, dan sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu di dalamnya (bulan Ramadhan), dia seperti menunaikan 70 amalan fardhu selain amalan fardhu tersebut. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Ia juga adalah bulan memberi pertolongan dan bantuan. Ia bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang menyediakan makanan kepada seseorang yang berbuka puasa , tindakan itu akan mengampuni dosa-dosanya dan membebaskan dirinya daripada api neraka, bagi dirinya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa sebarang pengurangan”.


Sahabat-sahabat baginda langsung berkata: “Bukan semua kami memiliki sesuatu untuk dijadikan bahan berbuka seorang yang berpuasa”. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: “Allah akan mengurniakan ganjaran pahala saperti itu kepada seseorang yang menghidangkan untuk seseorang yang berpuasa berbuka walaupun sekadar seulas buah tamar, seteguk air atau seteguk air susu …."

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah pengampunan dan hujungnya adalah pembebasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan daripada hambanya, Allah lagi akan mengampuni dirinya serta membebaskannya daripada api neraka.

Perbanyakkanlah sepanjang (bulan Ramhadan) 4 kegiatan: 2 kegiatan yang akan menjadikan kamu diredai Allah s.w.t, 2 kegiatan lain pula kamu sendiri amat perlu kepadanya: Adapun 2 kegiatan yang akan menjadikan kamu diredai Allah, maka ia adalah ucapan syahadah: “bahawa tiada tuhan melainkan Allah” dan kamu memohon keampunan daripadanya.

Adapun 2 kegiatan yang kamu sendiri amat perlu kepadanya, maka ia adalah: “kamu memohon ( balasan ) syurga serta kamu meminta perlindungannya daripada api neraka. Sesiapa yang memberi minuman kepada seseorang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minuman daripada kolah airku yang menjadikannya sama sekali tidak akan kehausan sehinggalah dia memasukki syurga” (Riwayat ibnu khuzaimah dalam kitab sahihnya).

Sekian sahaja dahulu, semoga Allah menerima semua amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini dan seluruh amalan kita sepanjang kehidupan kita semua.
Selamat berpuasa.

Wassalamualaikum

Ust Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad

Presiden IKRAM
28 Shaaban 1431H
9 Ogos 2010

21 July 2010

Portfolio Jawatankuasa Pusat IKRAM

Portfolio-Portfolio
Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
Sesi 2010-2014

1. Pejabat Presiden IKRAM
1. Presiden – Ustaz Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad (Pengerusi)
2. Timbalan Presiden – Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom
3. Naib Presiden – Ustaz Wan Subki Wan Salleh
4. Naib Presiden – Hj. Syed Ibrahim Syed Noh
5. Setiausaha Agung – Hj. Zaid Kamaruddin
6. Bendahari – Prof. Dr. Alauddin Mohd Ali
7. Penolong Setiausaha Agung – Hj. Mohamad Yaakub Idris
8. Ketua Wanita – Ustazah Maznah Daud
9. Tugas-Tugas Khas – Prof. Dr. Ahmad Termizi Ramli

2. Jawatankuasa Pentadbiran
1. Setiausaha Agung – Hj. Zaid Kamaruddin (Pengerusi)
2. Penolong Setiausaha Agung – Hj. Mohamad Yaakub Idris (Timbalan Pengerusi)

3. Jawatankuasa Pengurusan Kewangan
1. Bendahari – Prof. Dr. Alauddin Mohd Ali (Pengerusi)
2. Hj. Nahar Md Nor (Timbalan Pengerusi)

4. Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia
1. Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria (Pengerusi)
2. Hj. Fadzil Saleh (Timbalan Pengerusi)
3. Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor (Timbalan Pengerusi)
4. Wakil Wanita

5. Jawatankuasa Perancangan Ekonomi
1. Hj. Shaharom Md Shariff (Pengerusi)

6. Jawatankuasa Pembangunan Institusi
1. Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom (Pengerusi)

7. Jawatankuasa Penerangan & Media
1. Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom (Pengerusi)
2. Hj. Nahar Md Nor (Timbalan Pengerusi)

8. Jawatankuasa Perhubungan Dalam Negeri
1. Hj. Zaid Kamaruddin (Pengerusi)
2. Hj. Mohamad Yaakub Idris (Timbalan Pengerusi)

9. Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa
1. Ustaz Wan Subki Wan Salleh (Pengerusi)
2. Ustaz Abd Haris Bain (Timbalan Pengerusi)

10. Jawatankuasa Dakwah
1. Hj Nicholas Sylvester (Pengerusi)

11. Jawatankuasa Pendidikan
1. Prof. Dr. Omar Yaakob (Pengerusi)
2. Hjh. Kamaliah Nordin (Timbalan Pengerusi)

12. Jawatankuasa Pemuda
1. Hj. Fadzil Saleh (Pengerusi)
2. Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor (Timbalan Pengerusi)
3. Ustaz Abd Haris Bain (Timbalan Pengerusi)

13. Jawatankuasa Wanita
1. Ustazah Maznah Daud (Pengerusi)
2. Hjh. Che Asmah Ibrahim (Timbalan Pengerusi)

14. Jawatankuasa Masyarakat Madani
1. Hj. Syed Ibrahim Syed Noh (Pengerusi)
2. Hj. Nahar Mohd Nor (Timbalan Pengerusi)
3. Dr. Zulfakar Ramlee (Timbalan Pengerusi)

15. Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat
1. Prof . Madya Dr. Harlina Halizah Hj Siraj (Pengerusi)
2. Hj. Syed Ibrahim Syed Noh (Timbalan Pengerusi)

16. Jawatankuasa Khidmat Masyarakat
1. Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Hj Siraj (Pengerusi)

Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
29 Jun 2010