Kalendar IKRAM PJ

12 May 2014

Kenyataan Media IKRAM: Pelaksanaan Syariah di Kelantan



Kenyataan Media


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
11 Rejab 1435 H bersamaan 11 Mei 2014

Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan


Islam sebagai ad-Deen adalah satu sistem kehidupan yang lengkap. Ia merangkumi semua persoalan kehidupan manusia sama ada individu atau masyarakat yang akhirnya membawa kepada kehidupan akhirat.
Keindahan undang-undang dan syariat Islam tidak dapat dilihat dan dinikmati sepenuhnya melainkan ia dilaksanakan seluruhnya. Islam tidak boleh dilihat dari satu aspek semata-mata. Islam bukan sekadar akidah. Islam juga bukan hanya ibadah tetapi juga akhlak. Islam bukan setakat mengurus persoalan kekeluargaan tetapi juga kemasyarakatan. Islam bukan terbatas kepada isu kewangan atau perbankan malah merangkumi isu keadilan sosial dan memerangi penindasan serta kezaliman.

Pelaksanaan syariat Islam termasuk melaksanakan hukuman hudud, menuntut beberapa fasa dan tindakan demi menjamin keadilan dan kesejahteraan semua.

  1. Pertama: Masyarakat perlu diberi penjelasan agar memahami falsafah dan tujuan sebenarnya sistem jenayah syariah;
  2. Kedua: Pemerintah perlu memastikan kebajikan rakyat didahulukan sehingga rakyat tidak terdorong melakukan jenayah atau maksiat;
  3. Ketiga: Pemerintah perlu memastikan segala usaha atau dorongan ke arah maksiat dikurangkan;
  4. Keempat: Pemerintah perlu berusaha agar unsur-unsur yang mempamerkan keindahan Islam turut dilaksanakan seperti sistem ekonomi yang adil dan tidak menindas, ketelusan, tadbir urus yang baik, pertanggungjawaban dan kebebasan bersuara.
Adalah menjadi kewajipan serta tanggungjawab pemerintah memastikan masyarakat tidak melakukan jenayah atas sebab tekanan atau terpaksa. Hukuman sepatutnya disasarkan kepada mereka yang sengaja melakukan jenayah. Bagi orang Islam, melaksanakan hukum seperti yang ditetapkan di dalam al-Qur'an dan as-Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. adalah tuntutan agama.

Enakmen Kanun Kesalahan Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Maka adalah wajar orang Islam diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Ia meliputi hukum qisas, hudud dan takzir. Enakmen ini hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong usaha ke arah perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.

Pelaksanaan enakmen ini sebaiknya hendaklah melalui semua fasa yang dinyatakan di atas.

IKRAM mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ianya dari dipolitikkan. IKRAM bersedia menawarkan segala kepakarannya bagi menjayakan usaha ini. 

IKRAM juga mengalu-alukan keputusan untuk tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian pada Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014. Ini memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

IKRAM akan menggerakkan ahlinya dalam memberi penerangan mengenai keindahan syariat Islam serta terus iltizam dalam usaha ke arah penegakan syariat Islam yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.

IKRAM menyeru semua lapisan masyarakat agar bersikap positif dalam menghadapi apa jua isu dan saling bantu membantu untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Sumber: Halaman web Pertubuhan IKRAM Malaysia