Kalendar IKRAM PJ

16 November 2013

Daurah Pengenalan Kepada Ilmu Fiqh

Bagaimanakan perkembangan ilmu fiqh daripada sudut sejarah? Bagaimanakah cara para ulama' mengeluarkan hukum? Apakah perlu kita mengetahui dalil sesuatu hukum? Bolehkan beramal dengan lebih daripada satu mazhab? Apakah sikap kita terhadap perbezaan mazhab?

Ini adalah di antara persoalan-persoalan yang telah terjawab di program Daurah Ikram bertajuk 'Pengenalan Kepada Ilmu Fiqh', yang telah diadakan pada hari Jumaat 15 November 2013, bertempat di pejabat Ikram Petaling Jaya.

Penyampaian daurah diberikan oleh Dr Alizi Alias, seorang pensyarah bidang Usul Fiqh dan Psikologi, yang juga merupakan Pengerusi JK Tarbiyah Ikram Daerah Gombak.

Seramai lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Ikram dan ahli-ahli usrah Ikram PJ telah menghadiri daurah tersebut. Para peserta nyata tertarik dengan penyampaian yang disampaikan, melalui perbincangan dan pelbagai soalan yang dilontarkan oleh mereka kepada penyampai.

Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada Dr Alizi dan Ikram Gombak kerana membantu menjayakan daurah ini. Diharapkan agar para peserta memperoleh manfaat ilmu dan kejelasan fikrah melalui daurah ini.






Foto-foto ehsan Dr Normah Abdullah, Akram Safian.

10 November 2013

Perhimpunan Tahunan Ikram 2013

Perhimpunan Tahunan Ikram (PTI) telah diadakan buat julung-julung kalinya di Dewan Banquet UPM, Serdang pada hari Ahad, 10 November 2013. Rombongan daripada Ikram PJ adalah di antara lebih 1,200 ahli Ikram dari seluruh negara yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Perhimpunan ini adalah buat kali pertama diadakan di dalam sejarah Ikram, yang menggabungkan perhimpunan untuk semua lapisan ahli dan juga Perhimpunan Ahli Teras Ikram pada sebelah petang. Presiden Ikram Dr Ahmad Parid Sheikh Ahmad menyampaikan ucapannya pada sebelah pagi, dan nyata ahli-ahli menerima baik bentuk baru perhimpunan. Menurut Kamarul Muluk bin Abdul Muluk, 28, seorang ahli Ikram Seremban, PTI merupakan inisiatif yang sangat baik yang mana semua peringkat ahli dapat mendengar secara terus ucapan dasar Presiden.

Selain daripada ucapan oleh kepimpinan Ikram Pusat, PTI juga membariskan agenda seperti perkembangan Ikram dan institusi-institusi di bawahnya, serta perbincangan sesama ahli berkenaan strategi dan perancangan Ikram secara umum.





Foto-foto ehsan: Dr Normah Abdullah, Dr Eshamsul Sulaiman.

03 November 2013

Ikram PJ Prihatin Terhadap Mangsa Kebakaran Pantai Dalam

Ikram PJ tampil membela masyarakat dengan memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran di Rumah Pangsapuri PKNS Kerinchi di Pantai Dalam. Kebakaran itu yang berlaku pada petang hari Khamis 31 Oktober 2013 memusnahkan enam unit rumah di tingkat atas pangsapuri.

Beberapa sukarelawan dari kalangan belia Ikram PJ turun membantu pada malam hari kejadian.

Para sukarelawan Ikram PJ bersama ADUN Lembah Pantai YB Nurul Izzah pada malam hari kejadian. 
Derma kilat juga diadakan di kalangan ahli-ahli Ikram yang telah berjaya mengutip lebih daripada RM 5 ribu. Sumbangan disampaikan kepada mangsa-mangsa yang kebanyakannya ditempatkan di Pusat Komuniti Lembah Pantai pada hari Jumaat 1 November. Sumbangan tersebut yang diberikan dalam bentuk barang-barang keperluan seperti susu dan lampin bayi, pakaian, bantal dan selimut, serta wang tunai, disampaikan oleh wakil Ikram PJ Saudara Anuar Aris.

Antara barang-barang sumbangan, ketika ini sedang dalam pengumpulan di Pejabat Ikram PJ.
"Tiada apa yang tinggal." kata pemuda ini. Beliau dan keluarganya sedang ditempatkan secara sementara di Pusat Komuniti Lembah Pantai. 
Wakil Ikram PJ sedang menyampaikan ucapan takziah dan taklimat ringkas pengenalan kepada Ikram kepada mangsa-mangsa di Pusat Komuniti.
Menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran bagi mengurangkan beban.

Wanita Ikram PJ juga memanjangkan bantuan dengan melawati mangsa-mangsa pada hari Ahad 3 November. Sumbangan berbentuk barang-barang keperluan anak-anak telah disampaikan, di samping memberikan sokongan moral kepada keluarga yang terbabit.






Kebakaran di Pangsapuri PKNS Kerinchi khamis lalu.
Nota: Foto-foto adalah dengan ihsan Dr Eshamsul, Sdr Hussain, Arif dan Al-Ustazah Hanida.