Kalendar IKRAM PJ

23 August 2016

Majlis Ramah Mesra (MRM) NGO 2016

Tarikh
20 Ogos 2016 (Sabtu)

Masa
2.00 - 5.00 petang

Tempat 
Restoran Sri Mutiara, Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), 
Jalan Damansara, Bukit Kiara


Pada 20 Ogos 2016 yang lalu, Pertubuhan IKRAM Daerah Petaling Jaya telah mengadakan Majlis Ramah Mesra NGO dalam usaha membina hubungan lebih erat dan memperkukuhkan jaringan sesama persatuan dan badan-badan bukan kerajaan di Petaling Jaya.



Seramai 37 orang tetamu telah hadir termasuk persatuan-persatuan dan wakil sekolah. Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan aluan dari pengerusi majlis dan bacaan Al-Quran. 


Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Tuan Anuar Aris selaku Setiausaha Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya.


Dalam majlis tersebut, Prof Madya Dr Harlina Halizah Binti Hj Siraj telah berkongsi dengan para tetamu tentang 'Pendidikan Seksualiti - Menangani Gejala Seksual Masyarakat'. Para tetamu yang hadir turut berkongsi pandangan dan bertanyakan soalan kepada penceramah. 




Majlis diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai.



Semoga program kecil ini dapat menjadi tapak mula jalinan perpaduan dan jaringan yang lebih kukuh dikalangan NGO dan penggerak masyarakat sekitar Petaling Jaya.

15 August 2016

Qurban 1437H Ikram Petaling Jaya

Ikram Petaling Jaya akan menganjurkan ibadah Qurban 1437H dengan kerjasama jawatankuasa penduduk Taman Medan.

Semua ahli Ikram Petaling Jaya dan juga masyarakat tempatan dijemput untuk menyertai ibadah Qurban. Satu bahagian berharga RM650 (Lembu gred A+, berat 330++ kg seekor).

Bagi yang berminat, boleh membuat pembayaran terus ke akaun Ikram Petaling Jaya seperti berikut:

Nama akaun : IKRAM PETALING JAYA
Nombor akaun: 5643 0601 3116
Bank: MAYBANK

Sebarang persoalan dan bukti pembayaran, boleh berhubung terus dengan wakil Tuan Haji Mohd Noor Bin Said di talian 019-3592566

24 July 2016

Ziarah Keluarga Angkat Ramadhan Youth Challenge (RYC)

Saudara Ismail Bin Ramli mengetuai  Belia Ikram PJ atau dikenali BFF PJ dan Team Ramadhan Youth Challenge (RYC2016) menziarah keluarga Kak Rafeah yang merupakan Keluarga Angkat RYC2016 pada 24 Julai 2016 yang lalu.

Ia merupakan program follow up RYC2016 untuk perancangan bantuan asnaf selama setahun. Keluarga yang terpilih akan menerima Bantuan Keperluan Asasi sebanyak RM50 sebulan untuk tempoh setahun.

Ia juga adalah hasil daripada Inisiatif Belia/Beliawanis RYC2016 untuk kumpul dana bantuan melalui Kempen RM10. 

Projek keluarga adalah untuk tempoh setahun. RYC2016 juga akan bantu dari sudut-sudut lain bergantung kepada keperluan semasa seperti Pendidikan Anak-anak, dan lain-lain lagi.

Turut bersama dalam Ziarah tersebut adalah Saudari Mahirah, Saudara Zainal, Saudari Izzah Fakharuldin (Calon Parlimen Belia Malaysia) dan Saudari Happy Asaida aka Chan (Beliawanis Masjid Tun Abdul Aziz), serta Saudara ismail sendiri mewakili Belia IKRAM PJ.

RYC2016 merupakan Team Sukarelawan PJ hasil inisiatif Belia Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat) dan Belia IKRAM PJ.

26 June 2016

Ramadhan Youth Challenge (RYC) 2016

Program Ramadhan Youth Challenge telah berlangsung dengan jayanya pada 26 Jun 2016 yang lalu. Program adalah anjuran Belia IKRAM PJ dan Belia Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat). Program RYC 2016 telah berjaya mengumpulkan seramai lebih 40

sukarelawan belia dan beliawanis untuk menyelesaikan cabaran- cabaran aktiviti - aktiviti seperti berikut:

- Ziarah Asnaf Flat Lembah Subang
- Packing Bubur Lambuk dan Barangan Berbuka Puasa
- Ziarah Pesakit PPUM dan hulurkam sumbangan



Cabaran ini disahut oleh Belia bagi memberi manfaat dari Belia kepada Masyarakat. Peserta seramai 43 orang telah menyertai Program Ramadhan Youth Challenge. Program diakhiri dengan Tazkirah oleh Ustaz Halim Hafiz (orang muda). Semoga program ini memberi manfaat kepada peserta dan masyarakat yang kami santuni.

05 October 2015

Sajak: Dirimu sekadar biasa, namun jalan hidupmu luar biasa..

Dirimu sekadar biasa, namun jalan hidupmu luar biasa..
Carilah rasa sebenar hatimu, di situ kau jumpa kekuatanmu.

Jalan juang ini bukan senang
Dalam senyum
Pernah berbirat luka.
Dalam lembut santun, pernah ditekan sindir & herdik.

Jangan pandang sepi amal kecilmu.
Kerna akan membuah ranum
Menjaga diri & membentuk peribadi.

Habuan dunia pelengkap seketika
Syurga tertinggi cita tertinggi
Dalam perjalanan ada terngadah
Untuk peringatan saat lemah
Moga lurusnya nanti menuju ke jannah.

Untuk perjalanan ini,
berbesar hatilah, bertabah hatilah.
Berhati2lah..
Akan sampai juga nanti.

Nukilan,
Nurr Azreen Abdul Karim
3 Oktober 2015
IkramPJ

08 March 2015

Qiyam Belia Ikram PJ - Di Celah Intaian Cahaya Lilin

Alhamdulillah pada hari Jumaat (6 Mac) dan Sabtu (7 Mac) baru-baru ini, program Qiyam Bulanan Belia Ikram PJ telah dapat dijalankan. Program bermula pada jam 9.45 malam dan berakhir 8.30 pagi keesokan harinya, dengan disertai oleh lebih 20 orang peserta.

Agak malang, sebaik sahaja peserta tiba di Pejabat Ikram PJ di Taman Sri Manja, bekalan elektrik terputus disebabkan kerosakan pada kotak fius. Walau bagaimanapun penganjur meneruskan program walaupun terpaksa bercahayakan nyalaan pelita lilin, dan dengan keadaan dalam pejabat yang agak hangat.

Al-Ustaz Osman dengan kuliahnya 'Al-Taqwa'
Al-Ustaz Muhamad Osman Khusnan menyampaikan satu pengisian bertajuk 'Al-Taqwa' kepada hadirin sebelum para peserta bersiap untuk tidur. Solat malam dilakukan sebelum subuh, manakala setelah solat subuh para peserta membaca zikir al-ma'thurat, mendengar tazkirah pendek (kisah Anas ibn Malik, disampaikan oleh Saudara Hanafiah) dan melakukan senaman ringan. Program diakhiri dengan sarapan bersama dan solat duha.

Bacaan Al-Ma'thurat
Program Qiyam Bulanan ini adalah di antara program tarbawi berkala yang dianjurkan oleh JK Tarbiah Ikram PJ, yang bertujuan untuk membentuk peribadi yang sentiasa rapat jiwanya dengan Tuhan. Semoga Allah memberikan kebaikan kepada para peserta yang hadir, dan memberikan mereka kekuatan jiwa dan cahaya petunjuk dalam menjalani kehidupan. Seumpama cahaya yang menerangi di dalam kegelapan malam.

15 February 2015

Tahniah Kak Tik dan Akhi Nahar


Ikram PJ mengucapkan tahniah kepada Ustazah Siti Khadijah Abdul Wahid, Penolong Setiausaha Wanita Ikram PJ, dan Tuan Haji Nahar Md Nor, Setiausaha Agung Ikram, di atas ikatan pernikahan yang dilangsungkan pada 14 Februari 2015 yang lalu. Majlis akad nikah disempurnakan oleh Mufti Negeri Selangor Dato' Setia Haji Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid, abang kepada Ustazah Siti Khadijah sendiri.

Semoga kedua mempelai diberkati Allah dan dihimpunkan mereka di dalam kebaikan.

10 February 2015

Tokoh Remaja IkramTeens Petaling Jaya Meraih Tempat Kedua di Ujian Hafazan Peringkat Negeri

Ikramteens PJ mengucapkan sekalung tahniah buat adik Ahmad Huzaifah bin Ahmad Fauzi yang telah mendapat tempat kedua di dalam Ujian Hafazan Peringkat Negeri Selangor baru-bari ini. Adik Ahmad Huzaifah telah memperoleh 96.35% mata untuk kategori Hafazan Juzu' 1 hingga 30.

Ini adalah penyertaan adik Huzaifah dalam Majlis Hafazan dan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri buat kali yang ketiga. Beliau mula mewakili daerah Sabak Bernam sejak tahun 2013 dan berjaya mendapat tempat ketiga pada tahun tersebut, diikuti dengan tempat kedua
pada tahun 2014 dan tahun 2015. Pelajar di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Kg Jawa, Klang ini akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia hujung tahun nanti dan bercita-cita untuk mendalami bidang Qiraat di peringkat Universiti.

Adik Huzaifah telah memulakan hafazan sejak sekolah tadika di Tadika Little Azhar dan meneruskan penglibatannya dalam bidang hafazan mewakili Sekolah Kebangsaan Seafield dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah dan Daerah. Beliau juga pernah mendapat penghargaan dalam penyertaan Ujian Hafazan Taj al-Waqar pada 2014 anjuran Kedutaan Arab Saudi. Pada tahun 2012, adik Huzaifah telah menduduki Ujian Sijil Tahfiz Malaysia STM di Darul Quran dan pada tahun yang sama turut menerima Anugerah Pelajar Pertama yang Khatam Hafaz Al-Quran di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi, Klang. Beliau telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Terbaik Hafazan pada malam Graduasi Qurra' pada tahun 2014. Mulai tahun 2013 hingga sekarang, beliau merupakan penerima elaun ithbat hafazan yang dikurniakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada al-Maqari' yang mendapat markat 95% ke atas di dalam ujian hafazan peringkat Negeri.

Ikramteens juga ingin merakamkan tahniah kepada kedua ayahanda dan bonda Huzaifah, Ustaz Ahmad Fauzi bin Asmuin dan Ustazah Hanida Abdull Samat atas kejayaan anakanda mereka. Semoga tercapai cita-cita Huzaifah dan sentiasa bersinar untuk agama pada masa yang akan datang.

Kenangan bersama sepupu dan ahli keluarganya di Majlis Graduasi Qurra

Video rakaman Ujian Hafazan adik Huzaiah boleh dilayari di https://www.youtube.com/watch?v=aHkkme-CPf4&feature=youtu.be


07 February 2015

Program Qiyam Belia dan Daurah 'Tauhid Sains' Ikram PJ

Dengan izin dan kurnia Allah, program qiyam dan daurah telah diadakan bermula dari Jumaat (6 Februari) malam sehingga Sabtu (7 Februari) tengah hari, dengan dihadiri oleh lebih kurang 40 orang ahli Ikram dan ahli halaqah Ikram Petaling Jaya (Ikram PJ).

Dua program ini adalah antara aktiviti tarbawi yang diadakan secara berkala oleh Ikram PJ, dan kali ini fokus peserta adalah ahli Ikram dan ahli halaqah Ikram di kalangan belia. Qiyam atau mabit bagi ikhwah diadakan di Pejabat Ikram PJ (qiyam untuk akhawat diadakan secara selari di tempat lain). Pengerusi JK Tarbiyah Ikram PJ Al-Ustaz Ahmad Fauzi Asmuin menyampaikan pengisian bertajuk 'Ummah Wasatiyah' yang mengupas tentang ciri-ciri wasatiyah atau kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam.

Penyampaian utama mabit oleh Al-Ustaz Fauzi Asmuin
Dengan fokus kepada bimbingan ruhiyah, pembinaan ukhuwah dan peningkatan ilmu, program mabit diisi dengan sesi ta'aruf, tilawah al-Qur'an dan zikir, tazkirah adab tidur, qiyam, solat Subuh berjamaah, kuliyah kisah sahabat, senaman, sarapan dan diakhiri dengan solat duha.

Kuliyah Tujuh Minit ('Kultum') mengenai kisah sahabat oleh Saudara Afif
Seterusnya pada siang harinya diadakan daurah Tauhid Sains yang disampaikan oleh Al-Ustaz Zainal Abidin. Ustaz mengupas isi kandungan jilid pertama daripada buku 'Kitab Tauhid Diperakui Oleh Sains' yang dikarang oleh Al-Shaikh Dr Abdul Majid Aziz Zindani. Penyampaikan beliau sarat dengan maklumat dan fakta, dan disampaikan dengan kaedah yang sangat menarik. Tidak hairanlah kerana Al-Ustaz Zainal Abidin sendiri pernah mendapat didikan oleh Al-Shaikh Zindani sendiri ketika menuntut di Universiti Al-Iman di Yaman.

Antara hadirin yang hadir dan khusyuk mendengar penyampaian daurah

Al-Ustaz Zainal Abidin menyampaikan kuliahnya

Sedikit penghargaan daripada JK Tarbiyah Ikram Petaling Jaya
Adalah diharapkan agar para peserta mendapat manfaat dan peningkatan diri seperti yang dirancang oleh penganjur, dan agar program-program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Semoga usaha ini mendapat keredaan Allah.

Wakil Media Ikram PJ