Kalendar IKRAM PJ

10 February 2015

Tokoh Remaja IkramTeens Petaling Jaya Meraih Tempat Kedua di Ujian Hafazan Peringkat Negeri

Ikramteens PJ mengucapkan sekalung tahniah buat adik Ahmad Huzaifah bin Ahmad Fauzi yang telah mendapat tempat kedua di dalam Ujian Hafazan Peringkat Negeri Selangor baru-bari ini. Adik Ahmad Huzaifah telah memperoleh 96.35% mata untuk kategori Hafazan Juzu' 1 hingga 30.

Ini adalah penyertaan adik Huzaifah dalam Majlis Hafazan dan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri buat kali yang ketiga. Beliau mula mewakili daerah Sabak Bernam sejak tahun 2013 dan berjaya mendapat tempat ketiga pada tahun tersebut, diikuti dengan tempat kedua
pada tahun 2014 dan tahun 2015. Pelajar di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Kg Jawa, Klang ini akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia hujung tahun nanti dan bercita-cita untuk mendalami bidang Qiraat di peringkat Universiti.

Adik Huzaifah telah memulakan hafazan sejak sekolah tadika di Tadika Little Azhar dan meneruskan penglibatannya dalam bidang hafazan mewakili Sekolah Kebangsaan Seafield dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah dan Daerah. Beliau juga pernah mendapat penghargaan dalam penyertaan Ujian Hafazan Taj al-Waqar pada 2014 anjuran Kedutaan Arab Saudi. Pada tahun 2012, adik Huzaifah telah menduduki Ujian Sijil Tahfiz Malaysia STM di Darul Quran dan pada tahun yang sama turut menerima Anugerah Pelajar Pertama yang Khatam Hafaz Al-Quran di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi, Klang. Beliau telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Terbaik Hafazan pada malam Graduasi Qurra' pada tahun 2014. Mulai tahun 2013 hingga sekarang, beliau merupakan penerima elaun ithbat hafazan yang dikurniakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada al-Maqari' yang mendapat markat 95% ke atas di dalam ujian hafazan peringkat Negeri.

Ikramteens juga ingin merakamkan tahniah kepada kedua ayahanda dan bonda Huzaifah, Ustaz Ahmad Fauzi bin Asmuin dan Ustazah Hanida Abdull Samat atas kejayaan anakanda mereka. Semoga tercapai cita-cita Huzaifah dan sentiasa bersinar untuk agama pada masa yang akan datang.

Kenangan bersama sepupu dan ahli keluarganya di Majlis Graduasi Qurra

Video rakaman Ujian Hafazan adik Huzaiah boleh dilayari di https://www.youtube.com/watch?v=aHkkme-CPf4&feature=youtu.be


No comments:

Post a Comment