Kalendar IKRAM PJ

Showing posts with label Pengisian Rohani. Show all posts
Showing posts with label Pengisian Rohani. Show all posts

08 March 2015

Qiyam Belia Ikram PJ - Di Celah Intaian Cahaya Lilin

Alhamdulillah pada hari Jumaat (6 Mac) dan Sabtu (7 Mac) baru-baru ini, program Qiyam Bulanan Belia Ikram PJ telah dapat dijalankan. Program bermula pada jam 9.45 malam dan berakhir 8.30 pagi keesokan harinya, dengan disertai oleh lebih 20 orang peserta.

Agak malang, sebaik sahaja peserta tiba di Pejabat Ikram PJ di Taman Sri Manja, bekalan elektrik terputus disebabkan kerosakan pada kotak fius. Walau bagaimanapun penganjur meneruskan program walaupun terpaksa bercahayakan nyalaan pelita lilin, dan dengan keadaan dalam pejabat yang agak hangat.

Al-Ustaz Osman dengan kuliahnya 'Al-Taqwa'
Al-Ustaz Muhamad Osman Khusnan menyampaikan satu pengisian bertajuk 'Al-Taqwa' kepada hadirin sebelum para peserta bersiap untuk tidur. Solat malam dilakukan sebelum subuh, manakala setelah solat subuh para peserta membaca zikir al-ma'thurat, mendengar tazkirah pendek (kisah Anas ibn Malik, disampaikan oleh Saudara Hanafiah) dan melakukan senaman ringan. Program diakhiri dengan sarapan bersama dan solat duha.

Bacaan Al-Ma'thurat
Program Qiyam Bulanan ini adalah di antara program tarbawi berkala yang dianjurkan oleh JK Tarbiah Ikram PJ, yang bertujuan untuk membentuk peribadi yang sentiasa rapat jiwanya dengan Tuhan. Semoga Allah memberikan kebaikan kepada para peserta yang hadir, dan memberikan mereka kekuatan jiwa dan cahaya petunjuk dalam menjalani kehidupan. Seumpama cahaya yang menerangi di dalam kegelapan malam.

07 February 2015

Program Qiyam Belia dan Daurah 'Tauhid Sains' Ikram PJ

Dengan izin dan kurnia Allah, program qiyam dan daurah telah diadakan bermula dari Jumaat (6 Februari) malam sehingga Sabtu (7 Februari) tengah hari, dengan dihadiri oleh lebih kurang 40 orang ahli Ikram dan ahli halaqah Ikram Petaling Jaya (Ikram PJ).

Dua program ini adalah antara aktiviti tarbawi yang diadakan secara berkala oleh Ikram PJ, dan kali ini fokus peserta adalah ahli Ikram dan ahli halaqah Ikram di kalangan belia. Qiyam atau mabit bagi ikhwah diadakan di Pejabat Ikram PJ (qiyam untuk akhawat diadakan secara selari di tempat lain). Pengerusi JK Tarbiyah Ikram PJ Al-Ustaz Ahmad Fauzi Asmuin menyampaikan pengisian bertajuk 'Ummah Wasatiyah' yang mengupas tentang ciri-ciri wasatiyah atau kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam.

Penyampaian utama mabit oleh Al-Ustaz Fauzi Asmuin
Dengan fokus kepada bimbingan ruhiyah, pembinaan ukhuwah dan peningkatan ilmu, program mabit diisi dengan sesi ta'aruf, tilawah al-Qur'an dan zikir, tazkirah adab tidur, qiyam, solat Subuh berjamaah, kuliyah kisah sahabat, senaman, sarapan dan diakhiri dengan solat duha.

Kuliyah Tujuh Minit ('Kultum') mengenai kisah sahabat oleh Saudara Afif
Seterusnya pada siang harinya diadakan daurah Tauhid Sains yang disampaikan oleh Al-Ustaz Zainal Abidin. Ustaz mengupas isi kandungan jilid pertama daripada buku 'Kitab Tauhid Diperakui Oleh Sains' yang dikarang oleh Al-Shaikh Dr Abdul Majid Aziz Zindani. Penyampaikan beliau sarat dengan maklumat dan fakta, dan disampaikan dengan kaedah yang sangat menarik. Tidak hairanlah kerana Al-Ustaz Zainal Abidin sendiri pernah mendapat didikan oleh Al-Shaikh Zindani sendiri ketika menuntut di Universiti Al-Iman di Yaman.

Antara hadirin yang hadir dan khusyuk mendengar penyampaian daurah

Al-Ustaz Zainal Abidin menyampaikan kuliahnya

Sedikit penghargaan daripada JK Tarbiyah Ikram Petaling Jaya
Adalah diharapkan agar para peserta mendapat manfaat dan peningkatan diri seperti yang dirancang oleh penganjur, dan agar program-program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Semoga usaha ini mendapat keredaan Allah.

Wakil Media Ikram PJ

23 November 2014

Catatan Bergambar Ekspedisi Gunung Nuang Ikram PJ

Mukhayyam Ikhwah Ikram PJ (Ekspedisi Gunung Nuang) | 14-16 Nov 2014 | Gunung Nuang, Selangor Darul Ehsan




Catatan oleh: Saudara Fadhil Marsani

14 Nov (Jumaat)
9.00 malam: Group A 5 orang ikhwah siap packing dan mula bergerak
10.00 malam: Group A sampai di hujung jalan besar, setup khemah; Group B diberi  briefing oleh Camp Commandant (CC) Saudara Fadzly di Masjid UIA PJ; Lantik ketua kumpulan dan bahagi kumpulan serta kenderaan yag akan dinaiki

15 Nov (Sabtu)
12.00 tengah malam: Peserta sampai di Pejabat Hutan
12.45 pagi: Briefing oleh guide "Abg Long"
3.30 pagi: Group B sampai di kem perkhemahan dan dihidangkan mihun
4:00 pagi: Mula mendaki
5:30 pagi: Solat subuh di trek landai
7.20 pagi: Tiba di kem pacat; Rehat dan makan; Group injured (5 orang ikhwah) turun dari kem pacat
8.00 pagi: Meneruskan pendakian
9.15 pagi: Tiba di Puncak Pengasih
10.20 pagi: Sampai di Puncak Nuang; Makan, rehat dan bergambar; Total pendakian dari Pejabat Hutan lebih kurang 10 km
11.20 pagi: Ikhwah mulakan penurunan
3.20 petang: Solat zohor di Kem Pacat
5.00 petang: Berehat di sungai; Solat Asar berjemaah
6.00 petang: Tiba di tapak perkemahan
6.40 makan: BBQ (*nikmatnye hehe…)
7.00 malam: Solat Maghrib berjemaah
8.15 malam: Solat Isyak berjemaah
8.45 malam: Persembahan kumpulan – lakonan, syair, perkongsian
10.15 malam: Pembahagian group hirasah (menjaga keselamatan) perkemahan. Ikhwah yang sampai di puncak nuang dikecualikan; Tidur

16 Nov (Ahad)
5.30 pagi: Persiapan untuk solat Subuh
6.00 pagi: Solat Subuh berjemaah
6.30 pagi: Tazkirah oleh Ustaz Arif; Perkogsian oleh semua ikhwah
7.30 pagi: Sarapan; Persiapan dan berkemas barang-barang
8.30 pagi: Bertolak menuju ke Kem Lolo untuk pembersihan gotong-royong
10.30 pagi: Tiba semula ke tapak perkemahan dan berkemas untuk pulang
11.30 pagi: Bertolak turun ke Pejabat Hutan
1.20 tengah hari: Tiba di Pengkalan Pejabat Hutan; Makan
2.30 petang: Majlis penutup; Bacaan doa oleh Ustaz Arif; Taklimat mengenai pengangkutan oleh Abang Ismail; Ucapan oleh Camp Commandant dan Pengarah Abang Mohd Noor
4.20 petang: Selamat tiba di Masjid UIA PJ

Gambar-gambar oleh: Fadhil Marsani, Arif Yahya, Rizal Ghazali, Mohd Noor Said, Ezzani Iswan Ismail, Zulhilmi Jamil, Lukman Samsudin, Aiman Amran, Ust Malek Shaari




























Gambar-gambar dan quotation oleh: Hafiz Mustakim

Tandas awam

Selfie atas dam
Laluan ke Kem Lolo


Bukan kabus. Tapi asap kambing bakar.

Abg Md Noor masak ayam goreng berempah.

Bawak sampah turun dari Kem Lolo.

Jalan balak lagi. Masa malam tak nampak apa. Masa siang cantik je buluh-buluh tu.

Jalan lori balak 5 km.












24 October 2014

Perutusan YDP PJ Sempena Maal Hijrah 1436H



Assalamualaikum Warahmatullah...

Segala puji dan syukur kepada Allah yang telah memberikan kita pelbagai nikmat dan yang terbesar ialah nikmat iman dan amal. Selawat dan salam kita kepada junjungan Ar-Rasul Muhammad (SAW) yang berusaha membimbing dan menyampaikan dakwah yang akhirnya sampai kepada kita umat Islam di bumi bertuah ini.

Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah (Maal Hijrah) yang ke 1436. Tahun Baru Hijrah bukan sahaja menandakan masuknya tahun baru (kalendar) untuk umat Islam bahkan ia berkait dengan Peristiwa Hijrah Rasulullah (SAW) bersama para sahabat yang sebenarnya mengimbau banyak sejarah, peringatan dan teladan kepada kita umat Islam khususnya.

Antara 3 perkara yang boleh diamati daripada hijrah Ar-Rasul SAW:

Pertama- Hijrah Ar-Rasul dan para sahabat membuktikan pengorbanan jiwa, harta dan tenaga mereka untuk mengikuti arahan Allah SWT. Ia merupakan satu tindakan yang berat bagi mereka untuk meninggalkan harta, keluarga dan kampung halaman untuk berpindah ke tempat yang asing dan jauh (ketika 1436 tahun dahulu..). Mereka tetap lakukan kerana cintakan Allah dan Ar-Rasul.

Di dalam kehidupan kita sekarang, ada ketika, kita perlu ambil satu keputusan yang besar untuk berhijrah (berpindah) ke satu tahap yang lain demi membuktikan kecintaan kita kepada Allah dan Ar-Rasul. Atau ada kalanya Allah memberikan satu ujian besar di dalam hidup kita, yang mana kita terpaksa memilih keredhaan Allah dan Ar-Rasul daripada kesenangan hidup yang dinikmati. Contoh terbaik- bagaimana saudara kita di Gaza memilih untuk mati dan bersabar di ketika kemusnahan harta benda dan ekonomi berbanding hidup senang dan menyerah diri kepada kerakusan dan kezaliman penceroboh Zionis ke atas diri mereka.

Kedua- Apabila Ar-Rasul SAW dan para sahabat selamat sampai ke bumi Yathrib (Madinah), Islam dilaksanakan dengan meluas di dalam semua aspek kehidupan seperti ibadah, muamalah, syariah, siasah dan sosial. Keindahan Islam mendamaikan Aus dan Khazraj yang berperang berbunuh sesama sendiri selama beratus-ratus tahun. Keindahan Islam juga mengikat kontrak sosial yang menghasilkan pendamaian di kalangan penduduk Madinah, baik daripada 'orang luar' (Muhajirun) dan 'orang tempatan' (Ansar) serta daripada suku-sukuYahudi. Tidak dapat dinafikan terdapat ancaman daripada golongan munafik dan Yahudi, Ar-Rasul lebih mengutamakan perpaduan rakyat daripada perasaan buruk sangka atau emosi semata-mata. Pelanggaran kontrak sosial hanya diadili berdasarkan bukti yang jelas. Contoh: Bani Quraizah (Yahudi) dihukum sebagai pengkhianat setelah melanggar perjanjian piagam Madinah- bekerjasama dengan Quraish Mekah menyerang Madinah di dalam Peperangan Ahzab (Khandaq).

Kita sebagai umat Islam- duta kepada agama yang suci ini perlu menunjukkan sifat "Rahmatan lil 'alamin" (Rahmat kepada sekelian alam) serta belas ihsan kepada semua. Bukan hanya terhad kepada sesama muslim sahaja. Berbekalkan semangat baru di tahun hijrah yang baru ini, mungkin ini boleh dijadikan satu lonjakan oleh umat Islam- menjamin keamanan dan keharmonian masyarakat di sekeliling, Ini juga membuka ruang dakwah yang penting dan ketara kepada yang belum Islam untuk mendekati dan mempelajari Islam. Moga-moga lebih ramai yang kembali kepada Islam. Inilah matlamat Rahmatan lil 'alamin yang ditunjukkan oleh Ar-Rasul yang perlu kita amalkan.

Ketiga- Pengajaran seterusnya yang kita dapati daripada hijrah Ar-Rasul SAW, apabila tergarap di dalam diri mereka sifat-sifat mulia seperti di atas, maka Allah memberikan penguasaan keduniaan di bawah mereka. Ekonomi di Madinah dikuasai umat Islam- diambil alih daripada dominasi orang-orang Yahudi. Islam mula tersebar di daerah-daerah lain yang membawa kepada pemeringkatan dan kepelbagaian sosio-ekonomi. Keadilan sistem ekonomi Islam dan akhlak mulia umatnya menarik minat ramai pihak luar untuk berniaga dengan mereka di Madinah.

Kita sedar bahawa sekarang masyarakat kita makin terhimpit dengan pemeringkatan inflasi dan harga barang. Di antara jalan penyelesaian kepada kemelut ini di samping cuba meningkatkan pendapatan- kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Ada kalanya kita lihat para peniaga Muslim gigih berniaga, tetapi tidak bersolat pada waktunya. Ada juga yang bersungguh mengusahakan perniagaan makanan, tetapi kebersihan, halal dan haram tidak dipandang berat. Pengakhiran kepada sikap-sikap ini, kita akan lihat ramai peniaga Melayu, tetapi keberkatan tiada. Ekonomi masih lagi dikuasai oleh orang-orang yang rakus, tamak dan menindas, umat Islam hanya menjadi sekadar pengguna.

Akhir kata, di tahun baru ini sama-samalah kita tingkatkan diri kita berhijrah ke tahap lain yang lebih baik dan mulia di sisi Nya. Jadikan ayat ini sebagai arahan langsung daripada Allah kepada kita:

وَمَآ أَرْسَلْنَـكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَـلَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al Anbiya’: 107)

Dan berpeganglah kepada sifat kita yang asal (yang sepatutnya):

"Sesungguhnya orang Mukmin hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah), kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang siddiq (yang benar)." (Al Hujurat: 15)

Nescaya kita akan berjaya di dunia dan di akhirat... Selamat menyambut Maal Hijrah yang ke 1436. Jangan lupa berpuasa As-syura  pada 9 dan 10 Muharam!

Wassalamualaikum warahmatullah.

Mohd Hasyahril Mohd Hashim
YDP IKRAM Petaling Jaya

16 March 2014

Lailah Imaniyyah Akhawat Ikram PJ

Gambar-gambar di sekitar program Lailah Imaniyyah Akhawat Ikram PJ, pada 15 Mac 2014 (Sabtu). Cikgu Kalsom Arifin menyampaikan pengisian tazkiyah bertajuk 'Taqwa'.





Foto-foto dengan ehsan: Al-Ustazah Siti Khadijah Abdul Wahid, Dr Normah Abdullah.

29 January 2014

Nadwah Ahli Aktif dan Ahli Teras


Nadwah Ahli Aktif dan Ahli Teras

Tarikh: 28 Januari 2014 (Selasa)
Tempat: Pejabat Ikram Petaling Jaya
Masa: 9.30 - 11.30 malam
Tajuk: "Apa ertinya saya menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam"

Moderator: Hasyahril
Panelis: Akram, Nazaruddin, Azim
Muwarith: Al-Ustaz Roslan Mohamad