Kalendar IKRAM PJ

24 October 2014

Perutusan YDP PJ Sempena Maal Hijrah 1436H



Assalamualaikum Warahmatullah...

Segala puji dan syukur kepada Allah yang telah memberikan kita pelbagai nikmat dan yang terbesar ialah nikmat iman dan amal. Selawat dan salam kita kepada junjungan Ar-Rasul Muhammad (SAW) yang berusaha membimbing dan menyampaikan dakwah yang akhirnya sampai kepada kita umat Islam di bumi bertuah ini.

Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah (Maal Hijrah) yang ke 1436. Tahun Baru Hijrah bukan sahaja menandakan masuknya tahun baru (kalendar) untuk umat Islam bahkan ia berkait dengan Peristiwa Hijrah Rasulullah (SAW) bersama para sahabat yang sebenarnya mengimbau banyak sejarah, peringatan dan teladan kepada kita umat Islam khususnya.

Antara 3 perkara yang boleh diamati daripada hijrah Ar-Rasul SAW:

Pertama- Hijrah Ar-Rasul dan para sahabat membuktikan pengorbanan jiwa, harta dan tenaga mereka untuk mengikuti arahan Allah SWT. Ia merupakan satu tindakan yang berat bagi mereka untuk meninggalkan harta, keluarga dan kampung halaman untuk berpindah ke tempat yang asing dan jauh (ketika 1436 tahun dahulu..). Mereka tetap lakukan kerana cintakan Allah dan Ar-Rasul.

Di dalam kehidupan kita sekarang, ada ketika, kita perlu ambil satu keputusan yang besar untuk berhijrah (berpindah) ke satu tahap yang lain demi membuktikan kecintaan kita kepada Allah dan Ar-Rasul. Atau ada kalanya Allah memberikan satu ujian besar di dalam hidup kita, yang mana kita terpaksa memilih keredhaan Allah dan Ar-Rasul daripada kesenangan hidup yang dinikmati. Contoh terbaik- bagaimana saudara kita di Gaza memilih untuk mati dan bersabar di ketika kemusnahan harta benda dan ekonomi berbanding hidup senang dan menyerah diri kepada kerakusan dan kezaliman penceroboh Zionis ke atas diri mereka.

Kedua- Apabila Ar-Rasul SAW dan para sahabat selamat sampai ke bumi Yathrib (Madinah), Islam dilaksanakan dengan meluas di dalam semua aspek kehidupan seperti ibadah, muamalah, syariah, siasah dan sosial. Keindahan Islam mendamaikan Aus dan Khazraj yang berperang berbunuh sesama sendiri selama beratus-ratus tahun. Keindahan Islam juga mengikat kontrak sosial yang menghasilkan pendamaian di kalangan penduduk Madinah, baik daripada 'orang luar' (Muhajirun) dan 'orang tempatan' (Ansar) serta daripada suku-sukuYahudi. Tidak dapat dinafikan terdapat ancaman daripada golongan munafik dan Yahudi, Ar-Rasul lebih mengutamakan perpaduan rakyat daripada perasaan buruk sangka atau emosi semata-mata. Pelanggaran kontrak sosial hanya diadili berdasarkan bukti yang jelas. Contoh: Bani Quraizah (Yahudi) dihukum sebagai pengkhianat setelah melanggar perjanjian piagam Madinah- bekerjasama dengan Quraish Mekah menyerang Madinah di dalam Peperangan Ahzab (Khandaq).

Kita sebagai umat Islam- duta kepada agama yang suci ini perlu menunjukkan sifat "Rahmatan lil 'alamin" (Rahmat kepada sekelian alam) serta belas ihsan kepada semua. Bukan hanya terhad kepada sesama muslim sahaja. Berbekalkan semangat baru di tahun hijrah yang baru ini, mungkin ini boleh dijadikan satu lonjakan oleh umat Islam- menjamin keamanan dan keharmonian masyarakat di sekeliling, Ini juga membuka ruang dakwah yang penting dan ketara kepada yang belum Islam untuk mendekati dan mempelajari Islam. Moga-moga lebih ramai yang kembali kepada Islam. Inilah matlamat Rahmatan lil 'alamin yang ditunjukkan oleh Ar-Rasul yang perlu kita amalkan.

Ketiga- Pengajaran seterusnya yang kita dapati daripada hijrah Ar-Rasul SAW, apabila tergarap di dalam diri mereka sifat-sifat mulia seperti di atas, maka Allah memberikan penguasaan keduniaan di bawah mereka. Ekonomi di Madinah dikuasai umat Islam- diambil alih daripada dominasi orang-orang Yahudi. Islam mula tersebar di daerah-daerah lain yang membawa kepada pemeringkatan dan kepelbagaian sosio-ekonomi. Keadilan sistem ekonomi Islam dan akhlak mulia umatnya menarik minat ramai pihak luar untuk berniaga dengan mereka di Madinah.

Kita sedar bahawa sekarang masyarakat kita makin terhimpit dengan pemeringkatan inflasi dan harga barang. Di antara jalan penyelesaian kepada kemelut ini di samping cuba meningkatkan pendapatan- kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Ada kalanya kita lihat para peniaga Muslim gigih berniaga, tetapi tidak bersolat pada waktunya. Ada juga yang bersungguh mengusahakan perniagaan makanan, tetapi kebersihan, halal dan haram tidak dipandang berat. Pengakhiran kepada sikap-sikap ini, kita akan lihat ramai peniaga Melayu, tetapi keberkatan tiada. Ekonomi masih lagi dikuasai oleh orang-orang yang rakus, tamak dan menindas, umat Islam hanya menjadi sekadar pengguna.

Akhir kata, di tahun baru ini sama-samalah kita tingkatkan diri kita berhijrah ke tahap lain yang lebih baik dan mulia di sisi Nya. Jadikan ayat ini sebagai arahan langsung daripada Allah kepada kita:

وَمَآ أَرْسَلْنَـكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَـلَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al Anbiya’: 107)

Dan berpeganglah kepada sifat kita yang asal (yang sepatutnya):

"Sesungguhnya orang Mukmin hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah), kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang siddiq (yang benar)." (Al Hujurat: 15)

Nescaya kita akan berjaya di dunia dan di akhirat... Selamat menyambut Maal Hijrah yang ke 1436. Jangan lupa berpuasa As-syura  pada 9 dan 10 Muharam!

Wassalamualaikum warahmatullah.

Mohd Hasyahril Mohd Hashim
YDP IKRAM Petaling Jaya

No comments:

Post a Comment