Kalendar IKRAM PJ

02 June 2011

Berita Komuniti :PROGRAM KESEJAHTERAAN RUMAH TANGGA 2011



TAMAN MEDAN : Wanita IKRAM Petaling Jaya dengan kerjasama Pejabat ADUN Taman Medan, mengambil inisiatif menganjurkan Program Kesejahteraan Rumah Tangga 2011 dengan tema ”Menjejak Kasih, Menyulam Sayang” pada hari Ahad, 15 Mei 2011 bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya Sri Manja PJS 3. Program ini memberi manfaat ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya pasangan suami isteri tentang fenomena keganasan rumah tangga dan puncanya, menyingkap rahsia rumah tangga bahagia serta panduan yang sewajarnya.


Perasmian program disempurnakan oleh YB Haniza Mohamed Talha selaku ADUN Taman Medan mengharapkan hasil daripada program ini memberikan impak dalam usaha menggerakkan aktiviti pusat sehenti setempat di kawasan Sri Manja yang akan menjadi model dan diimplementasikan ke seluruh kawasan sekitarnya.


Acara forum kekeluargaan menampilkan panelis terdiri daripada Puan Norlaili binti Mohamad, Peguam Syarie unit Guaman Syarie, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Prof. Madya Dr. Zulfakar Ramlee, Pakar Undang – Undang Keterangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Puan Faridah Maludin, Pusat Sokongan Keluarga Islah (PAKSI - JIM).


Penganjur juga mengadakan acara untuk kanak-kanak antara usia 6 hingga 12 tahun seperti penyampaian khutbah kanak-kanak, pertandingan hafazan dan azan. Di samping itu, peserta juga berkesempatan mengunjungi gerai-gerai jualan barangan terpakai, jualan barangan untuk sumbangan Palestin dan mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma.


Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 200 orang merangkumi golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak. IKRAM mengambil inisiatif ini dengan menyeru masyarakat Islam pertama, kembali kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah dalam mengemudi kehidupan berkeluarga, kedua menyuburkan kasih-sayang dalam rumah tangga dengan menyertai program-program pengukuhan rumah tangga, ketiga menjadi ahli masyarakat yang prihatin dalam usaha membendung gejala keganasan dalam rumah tangga dan keempat, memanfaatkan Pusat Khidmat Krisis Setempat (OSCC) yang diwujudkan di hospital-hospital kerajaan. Wanita IKRAM juga mahu masyarakat tidak membiarkan keganasan rumah tangga membarah dalam senyap yang difahamkan sebagai satu konspirasi senyap (conspiracy of silence). Menghentikan keganasan rumah tangga wajar bagi memastikan survival diri, pasangan dan keluarga terus terpelihara dalam memupuk kesejahteraan dalam rumah tangga sejajar dengan apa yang digariskan oleh Islam.



Sebagai rumusan, kerjasama program seperti ini dijayakan dari semasa ke semasa kerana ianya memberi manfaat kepada masyarakat khusus penduduk di sekitar Taman Medan, Petaling Jaya.

UST. HANIDA BINTI ANDULL SAMAT
KETUA WANITA
IKRAM PETALING JAYA