Kalendar IKRAM PJ

26 October 2014

Perhimpunan Tahunan Ikram PTI 2014 - Daripada Kacamata Ikram PJ


Perhimpunan Tahunan Ikram PTI 2014 - Daripada Kacamata Ikram PJ


Kompleks Tan Sri Jeffrey Cheah di USJ1, tempat di mana PTI 2014 diadakan

Alhamdulillah dengan keizinan Allah, Perhimpunan Tahunan Ikram (PTI) 2014 telah berjaya dianjurkan pada hari Sabtu 25 Oktober, bertempat di Dewan Kompleks Tan Sri Jeffrey Cheah, USJ, Selangor Darul Ehsan. Program ini adalah muktamar kebangsaan tahunan bagi semua ahli Ikram dari seluruh negara.

PTI dibukai oleh ucapan dasar oleh Presiden Ikram, Al-Ustaz Dr Parid Shaik Ahmad. Program seharian ini seterusnya diisi oleh slot-slot yang menarik seperti pelancaran Modul Tarbiah IKRAM 2014, pelancaran Humanitarian Care Malaysia (myCARE) dan pelancaran TV.IKRAM.

Pandangan di dalam dewan, yang menempatkan lebih kurang 2,500 orang peserta PTI 2014

Terdapat juga slot perkongsian oleh agensi-agensi seperti Hidayah Centre Foundation dan Ansar Initiative. Kumpulan Nasyid Ziyad, Saff-one dan IKRAM Junior tidak turut ketinggalan untuk memberikan persembahan yang menarik yang berjaya mewarnai PTI 2014.

Noorulameen Syed Meera
Seorang aktiviis Ikram PJ yang menyertai PTI, Noorulameen Syed Meera berkata, beliau kagum konsep penganjuran PTI yang mengumpulkan semua ahli dari semua peringkat dan dari seluruh negara. Di PTI juga mereka yang hadir dapat mendengar sendiri ucapan dasar Presiden Ikram, sekaligus memberikan gambaran mengenai halatuju, gerakerja dan pendirian Ikram terhadap isu-isu tempatan dan antarabangsa.

PTI 2014 merupakan perhimpunan kali kedua seumpamanya, setelah penganjuran pertama tahun lepas rata-rata mendapat respon positif. Ikram PJ telah menghantar seramai lebih kurang 60 orang peserta dan juga sukarelawan (untuk membantu dengan tugasan penganjuran).

Selain daripada menghantar peserta, Ikram PJ juga turut membantu menjayakan penganjuran PTI sebagai JK Makanan. JK Makanan dibantu oleh Team Klang dan Team PJ yang diselia oleh Mohd Noor Said.

Golongan muda seperti belia dan mahasiswa tidak ketinggalan menyertai muktamar agung ini. Kerana di dalam Ikram golongan ini merasakan mereka diberi peranan dan peluang seluas-luasnya untuk bersama menjayakan agenda Ikram mengislahkan masyarakat. Pandangan ini turut dikongsi oleh Hamri Ibrahim, seorang lagi peserta yang dahulunya merupakan ahli Ikram PJ (kini beliau menetap di Manjung, Perak). Beliau berkata belia sepatutnya prihatin dengan isu-isu masyarakat dan seterusnya mengambil peranan utama menggerakkan agenda islah di dalam negara. Sesuai dengan tema PTI kali ini 'Malaysia Menuju Negara Rahmah', inilah menurutnya agenda yang perlu didokong oleh semua penggerak terutamanya golongan belia.

Hamri Ibrahim
Yang pasti, PTI 2014 berjaya menghimpunkan ahli-ahli dan para aktivis Ikram dari seluruh pelusuk negara, yang bertemu membina silaturrahim, mengeratkan ukhuwah, dan berkongsi pengalaman da'wah - kesemuanya menjadi resepi penting dalam menggerakkan Malaysia ke arah negara rahmah.

Laporan Team Media Ikram PJ


Link berkaitan: Perhimpunan Tahunan Ikram 2013

No comments:

Post a Comment