Kalendar IKRAM PJ

11 December 2010

Ucapan Tahun Baru oleh Ketua Wanita IKRAM- Ustazah Maznah Daud

Ikhwah dan Akhawat

Hari ini kita baru menjejakkan kaki di gerbang 1432. Syukur kepada-Nya kerana masih memanjangkan usia kita sempat melihat terbenamnya matahari 1431. Mudah-mudahan ia turut membenamkan duka lara akibat kealpaan dan kecuaian kita sepanjang tahun yang lalu. Dan munculnya matahari 1432 akan menggilapkan azam dan tekad di dalam diri kita untuk berjuang dan berkorban demi mendaulatkan Syariah di persada dunia.

1432 hijriah membawa maksud 1445 tahun sudah Islam diturunkan ke muka bumi. Selama itulah cahaya kebenaran itu dipancarkan dari langit dan dinyalakan di persada bumi. Dan dari semenjak itu cahaya kebenaran itu tidak pernah terpadam meskipun pelbagai percubaan dilakukan oleh musuh-musuh untuk memadamkannya. Dan sesungguhnya ia tidak akan padam buat selama-lamanya.

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Maksud As-Saff:8)

Seluruh umat bersepakat bahawa Hijrah merupakan satu noktah penting dalam perjuangan menegakkan din Allah di muka bumi ini, satu lonjakan saujana dalam penyebaran dakwah dan pemantapan aqidah di seluruh pelusuk dunia.

Hijrah adalah lambang ketulusan iman, kemurnian hati dan kejernihan jiwa. Hati yang benar-benar telah berjaya disucikan dari karat-karat jahiliah, jiwa yang telah lulus piawaian Ilahi terhindar sepenuhnya dari saki baki najis syirik dan nifaq.

Hijrah adalah manifestasi kebenaran iman yang didakwa bersarang di dalam dada, mercu tanda sahihnya pengakuan seorang hamba bahawa tiada ia bertuhan kecuali pada Yang Esa.

Hijrah adalah syarahan kepada maksud kalimah pengorbanan dari segala seginya!

Ikhwah dan Akhawat

Meneliti kisah-kisah yang tertulis di dalam sejarah mengenai peristiwa hijrah membuatkan lidah terasa kelu dan tangan terasa kaku. Tidak mampu untuk kita mengungkapkan betapa besar pengorbanan yang telah mereka curahkan, betapa hebat sumbangan yang telah mereka taburkan. Dapat dibayangkan betapa kesedihan yang terpaksa ditanggung kerana meninggalkan tanah air tercinta. Lebih-lebih lagi tanah air yang ditinggalkan itu bukan sebarangan tempat, ia merupakan tanah haram yang dimuliakan, tanah haram yang terbina di atasnya Rumah Allah yang agung. Betapa pilu dan rindu bagaikan tidak tertanggung. Hal ini diceritakan oleh Sayyidatuna Aisyah r.a. dengan katanya: setibanya Rasulullah s.a.w. di Madinah, Abu Bakar dan Bilal jatuh sakit. Aku menziarahi keduanya dan bertanya, “bagaimana keadaanmu, ayahku? Dan bagaimana keadaanmu wahai Bilal?”

Aisyah menyambung ceritanya dengan berkata: Adapun ayahku Abu Bakar, setiap kali demamnya memuncak dia akan bermadah:

Setiapa insan berada dalam kalangan keluarganya

Sedang kematian lebih dekat kepadanya daripada tali kasutnya.

Manakala Bilal pula mencurahkan kerinduannya menerusi rangkap-rangkap syair:

Aduhai alangkah rindunya

Adakah mungkin aku akan bermalam walau satu malam Cuma

Di satu lembah dan di sekelilingku pokok izkhir dan jalil?

Adakah mungkin suatu hari nanti aku meminum air dari Mijanah?

Adakah mungkin nanti aku akan dapat melihat Syamah dan Tufayl?

Pengorbanan yang tercurah bukan dari golongan tertentu. Seluruh ummah berpadu memberikan segala yang termampu tanpa mengira lelaki dan wanita, golongan tua dan muda, dewasa, remaja dan kanak-kanak, kaya dan papa, bujang dan berkeluarga. Keluarga Abu Bakar r.a. adalah sebaik-baik contoh dalam hal ini.

Ikhwah dan Akhawat,

Bagi akhawat khususnya, kedatangan tahun baru hijrah kali ini menjadi lebih bermakna. Hanya beberapa hari saja lagi akan berlangsungnya PATWA yang merupakan detik permulaan tertubuhnya sayap wanita IKRAM. Mampukah kita menjadikan penubuhan sayap ini sebagai suatu landasan meluncurkan dakwah ini hingga berjaya mencapai puncaknya sebagaimana hijrah ar-Rasul menjadi titik permulaan tertegaknya Negara Islam yang pertama?

Buat ikhwah, terutamanya yang masih ragu dan teragak-agak untuk mengizinkan teman hidupnya bergiat aktif di dalam dakwah, jadikan peristiwa hijrah ini sebagai cermin. Lihat betapa Islam sentiasa menampilkan wanita sebagai pemegang watak utama dalam setiap peristiwa besar yang menjadi mercu tanda kebangkitan Islam. Orang yang pertama beriman, yang pertama syahid mempertahankan iman, yang menyiapkan bekalan untuk Sayyidil-Mursalin berhijrah menuju tapak pembinaan Negara Islam.

SELAMAT MELANGKAH KE TAHUN BARU YANG MEMBAWA KITA SEMAKIN HAMPIR MENGGAPAI WAWASAN.

Ukhtukum fillah

Kak Maznah

6 jam 35 minit sebelum terbit fajar 1 Muharram 1432

No comments:

Post a Comment