SERDANG - Kira-kira 1,900 orang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) berhimpun di Dewan B, Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) kerana menghadiri Muktamar Tarbawi Nasional (MTN) 2010 IKRAM di sini.
Para peserta yang mula tiba dari seluruh pelosok tanah air sejak awal pagi mengambil peluang memulakan hari yang indah ini dengan bertemu sahabat handai untuk mengukuhkan silaturahim, sebelum kesemuanya bergerak masuk ke dewan.
Majlis dibuka dengan bacaan ayat-ayat al-Quran dari surah Hud ayat 41-47 oleh Ustaz Mohd Norhisham Ahmad. Para hadirin kemudiannya berdiri untuk menyanyikan lagu rasmi IKRAM dengan penuh semangat.
Pengerusi Jawatankuasa Tarbiah Pusat, Ustaz Tajul Arifin, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran peserta ke muktamar ini. Menurut beliau, tema "Nuqaba' Berwibawa Teras Kecemerlangan IKRAM" dipilih untuk MTN kali ini kerana tanggungjawab dakwah yang berat ini perlu dipikul oleh ahli-ahli IKRAM yang berwibawa. IKRAM percaya bahawa mereka yang berkualiti sahaja yang akan mampu memilih anasir-anasir yang berkualiti.
Tambah beliau lagi, objektif terpenting MTN ialah memberi semangat kepada para naqib supaya mereka dapat memikul beban amanah dakwah dan tarbiah dengan lebih komited, seterusnya melahirkan naqib- naqib lain untuk memajukan dakwah di tengah masyarakat. "Orang yang mampu mentarbiah dirinya sahaja yang akan mampu mentarbiah orang lain," katanya.
"Kita yakin bahawa kemelut yang melanda masyarakat tidak akan dapat dirungkai dan diselesaikan melainkan dengan Islam sahaja," tegas Ustaz Tajul Arifin lagi.
Sesi kemudiannya diteruskan dengan pengisian oleh Presiden IKRAM, Ustaz Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad yang mengupas tema Muktamar Tarbawi ini- "Nuqaba' Berwibawa Teras Kecemerlangan IKRAM". Di antara penekanan beliau-Nuqaba' adalah nama sebutan bagi sekumpulan du’at yang memfokuskan usaha‐usaha mereka untuk membangun dan mengembangkan peribadi peribadi muslim yang telah dimenangi dan dikumpulkan oleh para‐para duat, menerusi pelaksanaan berbagai‐bagai wasail tarbiah seperti usrah, katibah, daurah, rehlah, mukhayyam dan lain‐lain."Bidang kerja mereka ialah pembangunan manusia, mengasuh dan membimbing mereka dengan matlamat membangun mereka agar menjadi muslim yang sempurna, soleh dan musleh, berperanan sebagai sebaik‐baik ummat yang hidup dimuka bumi dari perspektif Islam amnya dan IKRAM khususnya.", tambah Ustaz Parid.
Penyampaian ketiga pula disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hameed Elewa. Penyampaian beliau yang penuh semangat, lantang dan energetik itu menghurai tajuk "Murabbi Qudwah: Sifat, Kemahiran & Kewajiban". Ustaz Abdul Muhaimin Sahar Al-Hafiz menterjemah dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Terdapat juga terjemahan bertulis di layar skrin pada waktu yang sama. Ustaz Muhammad meminta para peserta mengulangi beberapa kali motto seorang Naqib atau Murrabi:
"Tarbiah wattakwin toriquna littamkin" yang bermaksud:
"Tarbiah dan pembentukan adalah jalan kami ke arah kejayaan"
Beliau juga menegaskan peri pentingnya bermuayashah oleh Naqib dengan anak-anak buah selain dari waktu usrah seminggu sekali. Naqib perlu mencari waktu lain di dalam seminggu untuk berjumpa. Muayashah akan membawa kepada kekuatan ukhuwwah. Ukhuwwah yang kuat akan membawa kepada kekuatan usrah. Dan usrah kuat akan membawa kepada kekuatan Tarbiah dan Jamaah.
Di sebelah petang selepas makan tengahari diadakan Forum "Nuqaba' Berwibawa Teras Kecemerlangan IKRAM". Ahli panel terdiri daripada:
1. Ustaz Dr. Ir Muhammad Fuad Teoh Abdullah, ahli DPN IKRAM
2. Mohd Hasyahril Mohd Hashim, SU Pemuda IKRAM dan
3. Ustazah Maznah Daud, Ketua Wanita IKRAM.
Sesi perkongsian pengalaman- sesi pengisian terakhir Muktamar, disampaikan oleh Bapak M. Matri Aegong, Anggota DPR Indonesia, Parti Keadilan Sejahtera Indonesia. Bapak Matri berkongsi "Peranan Nuqaba' Dalam Mehwar (Peringkat) Terbuka". Pengalaman beliau sebagai seorang Naqib yang membawa usrah sebanyak 15 kali seminggu ketika menjadi pelajar IPT hingga ke Menteri Republik Indonesia yang masih lagi mampu membawa 1 usrah amat membuka mata dan minda para peserta.
Program MTN 2010 berakhir pada jam 7:30pm.
Pesanan2 yg amat menyentuh, esp al-Shaikh Muhammad dan al-Ustazah Maznah..
ReplyDelete