Kalendar IKRAM PJ

11 October 2014

Laporan: Sambutan Eidul Adha Ikram PJ Bersama Masyarakat



  

Bersempena sambutan Eidul Adha pada tahun ini, Ikram PJ telah mengadakan majlis sambutan bersama masyarakat setempat. Majlis-majlis ini diadakan pada hari raya pertama (10 Zulhijjah) dan hari raya kedua (11 Zulhijjah) di beberapa tempat di sekitar Petaling Jaya.

Sambutan kali ini lebih meriah, dianjurkan secara bersama dengan persatuan-persatuan penduduk, Pejabat ADUN Taman Medan dan Pejabat Ahli Majlis MBPJ Zon 17. Sambutan-sambutan diadakan di empat tempat - di Flat Medan 32 Taman Medan, Surau Al-Falah Medan Maju Jaya, Blok F Apartment Medan Jaya dan Surau Al-Hijrah, PPR Seksyen 8, Kota Damansara. Sebanyak enam ekor lembu telah disumbangkan oleh para peserta qurban, manakala pelaksanaan majlis qurban dan agihan daging dilakukan oleh sukarelawan Ikram PJ dan penduduk setempat.

Semoga majlis seperti ini terus menempatkan Ikram dan gagasannya di hati masyarakat, serta dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Beberapa foto di sekitar majlis-majlis yang diadakan (ehsan Ustazah Hanida, Nashriq Hamzah, Ismail Ramli, Ustaz Malek Shaari dan Suraya Sharil):




































03 September 2014

Sesi Penerangan Negara-Ku

Beberapa foto daripada sesi penerangan mengenai gerakan Negara-Ku, yang disampaikan oleh Naib Presiden Ikram, Tuan Haji Syed Ibrahim Syed Noh, kepada ahli-ahli Ikram PJ. Sesi diadakan pada hari Selasa bersamaan 2 September 2014 di Pejabat Ikram Petaling Jaya.


15 July 2014

Laporan: Majlis Tautan Kasih Ramadan

Alhamdulillah pada 13 Julai 2014 telah berlangsung satu majlis ‘Tautan Kasih Ramadan’ di surau Nurul Hidayah, PPR  Lembah Subang. Majlis ini telah diusahakan oleh Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya dengan kerjasama wakil-wakil blok dari kalangan Muslimat.

Tujuan utama majlis ini diadakan ialah untuk membina hubungan dengan khususnya wanita-wanita di PPR Lembah Subang. Bersempena dengan bulan Ramadan, satu inisiatif telah diusahakan oleh Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya dalam bentuk pengumpulan dana untuk disumbangkan kepada penduduk atau wakilnya yang telah dikenalpasti terdiri daripada golongan yang memerlukan. Alhamdulillah dengan jumlah yang terkumpul, sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang telah dapat diagihkan kepada 60 orang yang dipilih.

Majlis ini telah dimulakan dengan pengenalan kepada Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya khususnya aktiviti-aktiviti wanita yang boleh dimanafaatkan besama oleh Puan Aziah Aziz, ketua wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya. Ianya disusuli dengan tazkirah ringkas, ‘Puasa sebagai Perisai’ oleh Ustazah Dr Hamidah Mat seorang pensyarah dari Pusat Asasi UIAM. Selanjutnya sumbangan telah disampaikan oleh Puan Aziah Aziz sebelum ianya diakhiri pada sekitar pukul 11.30 pagi.

Ucapan jazakumullah khairan kathira kepada semua yang terlibat, semoga program kemasyarakatan seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.









23 June 2014

Laporan: Program Meniti Usia Baligh IkramTeens @ Armanee Condo, Damansara Damai


Tim IkramTeens Petaling Jaya telah menganjurkan Program MUB (Meniti Usia Baligh) bersama AJK Surau Kondominium Armanee di Damansara Damai kelmarin, 22 Jun 2014. Program yang diadakan di Surau Konodominium Armanee telah dihadiri seramai 15 orang remaja berusia 12 hingga 15 tahun.

Modul Meniti Usia Baligh yang telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Belia Remaja Ikram Pusat ini memberi persediaan dan ilmu berkenaan reproduksi remaja di awal usia remaja. Antara aspek yang ditekankan di dalam modul ini ialah perbezaan sebelum dan selepas baligh, perubahan selepas baligh, isu pergaulan, aurat dan tanggungan amal selepas baligh dan yang paling menarik, adalah penyerahan taklif antara ibu bapa dan anak-anak pada penghujung program ini.

IkramTeens PJ mengucapkan Jazakumullahu khairan kathira kepada wakil dari IkramTeens Pusat kerana telah hadir pada malam sebelumnya lagi semata-mata memastikan kejayaan program ini. Turut dihargai adalah semua penggerak IkramTeens Petaling Jaya yang telah terlibat sepanjang program di Surau Kondominium Armanee berlangsung.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menganjurkan program MUB di surau atau sekolah di sekitar Petaling Jaya, sila hubungi wakil kami di:

Zon Petaling Jaya Utara: Puan Rahibah Omar ~ 012-6029003
Zon Petaling Jaya Selatan: Ustazah Salina Busrowi ~ 013-3690143
 





 
 


 

22 June 2014

Laporan: JUS Talk! Ramadhan, Al-Quran dan Kita

'JUS Talk!' bulan ini telah berlangsung semalam, 21 Jun 2014 dengan tajuk Ramadhan, Al-Quran dan Kita oleh Ustaz Muhammad Arif bin Yahya. JUS telah dihadiri oleh seramai 25 orang peserta.
 
Di akhir penyampaian, Ustaz telah 'membuka mata' peserta yang hadir dengan video seorang kanak-kanak buta, seorang Hafidz. Beliau menegaskan, kita yang diberi nikmat fizikal dan kesihatan yang sempurna sepatutnya lebih berusaha untuk melazimi Al-Quran di dalam kehidupan seharian kita. Beliau juga mengajak peserta untuk cuba menghabiskan bacaan Al-Quran pada bulan Ramadhan memandangkan fadhilatnya yang besar dan terus membaca serta mentaddabur (memahami maksudnya) sepanjang masa.
 
JUS kali ini telah disertakan dengan aktiviti mengedar risalah Ramadhan dan Jadual Berbuka Puasa di kedai-kedai dan pejabat-pejabat sekitar Pejabat Ikram Petaling Jaya. Lebih dari 100 risalah dan Jadual Berbuka Puasa telah diedarkan para peserta yang hadir.
 
Bukan setakat itu, Jualan Amal untuk Palestin dan Syria dari ejen Kurma Medjoul Palestin dan Ikram Junior juga turut memeriahkan program ini.
 
Penganjur JUS Talk PJ mengucapkan Jazakumullaahu khairan kathira kepada semua peserta yang hadir juga kepada ahli-ahli yang telah menjayakan JUS Talk! kali ini. Selamat Menyambut Ramadhan 1435H. Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lepas, Insya Allah.