Dalam situasi ini Ikhwan Muslimin berdiri teguh bersama-sama dengan rakyat Mesir dan menyokong sepenuhnya tuntutan mereka. Ikhwan mengucapkan tahniah serta setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Mesir di atas kebangkitan yang positif, aman dan diberkati. Ikhwan juga menghulurkan ucapan takziah kepada keluarga syuhadak yang terdiri dari orang awam dan anggota keselamatan yang telah terkorban di dalam peristiwa ini. Ikhwan berdoa kepada Allah agar mengampuni mereka dan amalan mereka diterima. Untuk mereka yang tercedera Ikhwan mendoakan agar mereka cepat sembuh.
Ikhwan ingin menegaskan beberapa perkara berikut:
1. Kebangkitan rakyat Mesir yang bermula pada hari Selasa 25 Januari 2011 adalah satu kebangkitan yang aman, matang dan bertamadun. Ia mesti berterusan seperti ini untuk melawan kerosakan, kezaliman dan kediktatoran sehingga tercapai apa yang diinginkan, iaitu pembaikan yang menyeluruh bermula dengan pembubaran Dewan Rakyat yang terbentuk secara penipuan terang-terangan, kemudian diikuti dengan mengadakan pilihanraya yang bebas dan bersih di bawah seliaan penguatkuasa undang-undang sepenuhnya.
2. Pemerintah Mesir mestilah menyahut kehendak rakyat dan segera melaksanakan pembaikan yang mereka mahu serta menghentikan dengan segera polisi kekerasan dan melawan kehendak rakyat yang diperakui oleh undang-undang Negara. Pemerintah hendaklah mengambil tindakan pantas, serius dan berkesan dalam merealisasikan apa yang dituntut demi kebaikan semua golongan. Pemerintah hendaklah jangan sekali-kali bertindak kasar ke atas rakyat yang menunjuk perasaan dan hendaklah membebaskan segera mereka yang ditahan dalam kebangkitan ini dan yang ditahan sebelumnya.
3. Sesungguhnya Ikhwan Muslimin adalah satu pertubuhan Islam yang merangkumi semua aspek. Dan ahli-ahlinya adalah terdiri daripada susur galur masyarakat Mesir yang sentiasa bersama-sama dengan mereka dalam suka dan duka serta turut merasai keperitan hidup mereka. Ikhwan sentiasa mengajak ahli-ahlinya dan saudara-saudaranya di Negara-negara Islam dan Negara-negara bukan Islam agar berkerjasama, tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, menyeru supaya berusaha menegakkan keadilan, memantapkan asas-asas kebenaran dan mengutamakan kepentingan umat mengatasi kepentingan perseorangan atau kepentingan sesuatu golongan. Ikhwan menyeru semua pihak dalam menghadapi keadaan yang genting ini agar bersatu hati menentang kezaliman, penyelewengan, penipuan dan kekacauan. Usaha ini mestilah dilakukan dengan cara yang selamat, bersungguh-bersungguh serta mengambil kira reality. Jangan rosakkan mana-mana institusi, harta milik awam atau individu. Kita mesti bersabar dalam mempertahankan kaedah ini sehingga tuntutan rakyat yang dijamin oleh undang-undang terlaksana.
Adalah penting untuk kita berkerjasama dengan semua pihak termasuk parti-parti politik dan berdiri di dalam satu barisan, menyamakan gerak langkah dan menyatukan suara bersama-sama rakyat jelata sehingga terlaksana kehendak mereka semuanya.
Ikhwan Muslimin
Kaherah: 22 Safar 1432H bersamaan 26 Januari 2011M.
No comments:
Post a Comment