Kenyataan akhbar ini merujuk kepada isu garispanduan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya yang melarang umat Islam daripada bekerja di premis yang menjual arak.
Dalam hal berkenaan arak, Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran:-
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)” (Maksud Surah Al Maidah ayat 90-91).
Islam dengan tegas melarang meminum arak dan sebarang minuman yang memabukkan bertujuan untuk memelihara kehormatan dan kemuliaan manusia. Demikian juga, semua agama di dunia melarang meminum arak dan sebarang minuman yang memabukkan.
Kemudaratan arak dan implikasi negatifnya ke atas peminum arak memang sudah jelas samada daripada aspek kesihatan mahu pun sosial. Menyedari kemudaratan arak ini, kerajaan Amerika Syarikat pernah mengharamkan penjualan, pengilangan dan pengangkutan arak melalui pindaan kepada Perlembagaan negara itu yang dinamakan The Eighteenth Amendment yang telah dibuat pada 16 Januari 1919. Volstead Act atau National Prohibition Act pula telah diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat pada bulan Oktober tahun yang sama. Walau bagaimanapun, pada 22 Mac 1933 Presiden Franklin Roosevelt menandatangani undang-undang baru menggantikan Volstead Act dengan membenarkan pengilangan dan penjualan arak tertentu. Kemudian pindaan Perlembagaan pula dibuat pada 5 Disember tahun 1933 melalui Twenty First Amendment bagi membatalkan Eighteenth Amendment tersebut.
Tindakan tersebut membawa kesan negatif yang besar kepada keadaan sosial masyarakat di negara tersebut seperti meningkatnya kes keganasan rumahtangga dan kadar kemalangan jalanraya akibat pemandu mabuk. Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat begitu juga di England, Wales, Kanada dan Afrika Selatan mendapati bahawa terdapat korelasi yang ketara antara ketagihan arak oleh suami atau isteri yang mengakibatkan meningkatnya kes keganasan rumahtangga yang parah terhadap pasangan masing-masing. Di samping itu, statistik tahun 2008 menunjukkan bahawa di Amerika Syarikat kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol telah menyumbangkan 37% atau 13,846 daripada sejumlah 37,261 kes kemalangan maut di seluruh negara tersebut. Sudah pasti kita tidak mahu fenomena sedemikian berlaku di negara ini.
Salah satu prinsip yang telah diakui oleh Islam ialah apabila Islam telah mengharamkan sesuatu, maka wasilah, cara atau jalan apapun yang membawa kepada perbuatan haram itu, maka hukumnya adalah juga haram. Oleh kerana itu, kalau Islam mengharamkan zina misalnya, maka semua pendahuluan dan apa saja yang dapat membawa kepada perbuatan zina itu, adalah diharamkan juga. Contohnya dengan menunjukkan perhiasan diri atau aurat yang tidak sepatutnya, bersekedudukan (“co-habitation”), pergaulan dan seks bebas, pornografi, berkhalwat, nyanyian-nyanyian yang mengasyikkan yang mendorong kepada zina dan yang seumpamanya. Dari sinilah, maka para ulama ahli fiqah membuat suatu kaedah: “Apa saja yang membawa kepada perbuatan haram, maka hukumnya adalah haram”.
Selain dariapda itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Termidzi seperti berikut:
"Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, 10 golongan:-
(1) yang memerahnya,
(2) yang minta diperahkannya,
(3) yang meminumnya,
(4) yang membawanya,
(5) yang minta dihantarnya;
(6) yang menuangkannya;
(7) yang menjualnya;
(8) yang makan harganya;
(9) yang membelinya;
(10) yang minta dibelikannya."
Berdasarkan hadis tersebut jelaslah bahawa yang dilarang bukan hanya ke atas peminum arak sahaja tetapi juga golongan yang lain termasuklah mereka yang bekerja menghasilkan, menghidangkan dan mengangkut arak tersebut. Anggapan sebahagian masyarakat Islam bahawa yang dilarang hanyalah meminumnya sahaja adalah kurang tepat.
Sehubungan dengan perkara di atas, kami dengan ini mengambil pendirian sebagaimana berikut :-
1. Menyokong usaha Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang mengeluarkan garispanduan melarang pekerja beragama Islam bekerja di premis yang menjual Arak. Sudah tiba masanya masyarakat Islam dan bukan Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya disedarkan bahawa implikasi penggunaan arak adalah lebih banyak berbentuk negatif daripada positif.
2. Menggalakkan masyarakat Islam mencari rezeki dan pendapatan daripada sumber-sumber yang halal kerana rezeki yang halal membawa keberkatan dalam kehidupan. Kami juga yakin bahawa sumber rezeki dan peluang pekerjaan begitu luas di mukabumi Malaysia yang makmur dan kaya dengan hasil mahsulnya. Jika tidak masakan begitu ramai pendatang asing yang datang bekerja di negara ini. Walau bagaimanapun, kami mengalu-alukan pengumuman kerajaan Negeri Selangor mewujudkan skim khas bagi membantu pekerja-pekerja Islam yang akan berhadapan dengan masalah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penguatkuasaan garis panduan tersebut.
3. Menggesa agar semua pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor mencontohi usaha yang baik yang dimulakan oleh MPSJ ini.
4. Menyeru pihak berkuasa terutama Pejabat Tenaga Rakyat dan Kesatuan Sekerja agar dapat membela nasib pekerja-pekerja beragama Islam yang terpaksa terlibat di dalam mengilang, menjual, mengangkut dan menghidangkan arak tanpa kerelaan mereka. Pihak majikan seharusnya prihatin akan perkara ini dengan membenarkan pekerja tersebut diberikan pilihan samada hendak terlibat ataupun tidak, tanpa sebarang diskriminasi ke atas pekerja beragama Islam tersebut.
5. Menyeru masyarakat samada Islam atau bukan Islam agar bersama-sama membenteras penggunaan arak terutama di kalangan golongan muda, yang menjadi salah satu punca gejala sosial yang berleluasa dalam negara kita ini. Kami juga menyeru agar golongan muda memilih gaya hidup sihat tanpa arak yang akan menjamin kesejahteraan fizikal dan minda mereka dalam menghadapi tekanan kehidupan yang begitu mencabar.
Tarikh: 17 Januari 2011 bersamaan 12 Safar 1432H
Penandatangan:
1. Pertubuhan IKRAM Malaysia, (IKRAM) Negeri Selangor
Tn Hj Mazmi KamalTYDP IKRAM Negeri Selangor(Pemangku YDP IKRAM Negeri Selangor)HP No.: 013-233 8135E-mail: mazmikamal@gmail.com2. Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Negeri Selangor
Tn Hj Mohammad Kamal Bin Mohammad RathiYDP JIM Negeri SelangorHP No: 012-2917217E-mail: mkmr2001@yahoo.com3. Pertubuhan IKRAM Malaysia,(IKRAM) Daerah Subang Jaya
Ustaz Hajar OpirYDP IKRAM Daerah Subang JayaHP No: 019-277 1713E-mail: abuaqilah2299@yahoo.comhttp://selangor.ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=34:kenyataan-akhbar-sokong-garispanduan-mpsj-melarang-pekerja-beragama-islam-bekerja-di-premis-arak-&catid=7:ikram-negeri&Itemid=42
No comments:
Post a Comment