Isnin, 3 Januari 2011
Dr Yusuf al-Qaradawi, Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama’ Muslim (IUMS), mengecam keras serangan bunuh diri, yang berlaku pada Malam Tahun Baru di luar gereja Al-Qiddissine pada hari Sabtu. Kejadian itu membunuh 21 orang dan mencederakan 80 yang lain.
Al-Qaradawi menegaskan bahawa "pelaku-pelaku kejahatan ini adalah penjenayah, pembunuh dan bukan Islam kerana Islam menegaskan kesucian nyawa manusia dan sangat melarang pencerobohan keatasnya. Islam tidak membenarkan pembunuhan orang awam tak berdosa dari mana-mana bangsa atau warganegara kecuali sebagai hukuman yang disabitkan. Membunuh orang awam dari sebarang warga secara rawak oleh sebarang kumpulan, individu bahkan negara sekalipun, terutama jika mereka sedang merayakan sesuatu perayaan di tempat ibadah sama sekali tidak boleh dipandang sebagai jihad. Tanpa sebarang syak dan ragu lagi ia bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah".
Al-Quran, bersama-sama dengan tulisan suci yang lain, menyatakan bahawa [Barang siapa membunuh seorang manusia selain sebagai hukum balasan pembunuhan atau kerosakn di bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh semua umat manusia] (Al-Ma'idah: 32).
Islam menganggap membunuh orang lain sebagai salah satu dosa paling besar di sisi Allah. Dosa keji dan kejahatan menjijikkan ini mengundang kutukan Allah di dunia ini dan hukuman berat-Nya di akhirat.
Persatuan Ulama Muslim Antarabangsa (IAMS) terkejut melihat insiden berdarah yang meninggalkan sejumlah besar korban awam yang tak berdosa. Mereka dibunuh secara terancang dan disengajakan sedangkan mereka tidak melakukan sebarang dosa terhadap penyerang mereka.
Perlembagaan etika peperangan yang sah dalam Islam menggariskan bahawa membunuh siapapun adalah dilarang kecuali bagi mereka yang terlibat dalam pertempuran. Dalam perang yang sah seperti itu, pertempuran dihadkan kepada konfrontasi semuka antara Muslim dan tentera penceroboh. Setelah melihat seorang wanita terbunuh dalam medan perang, Nabi SAW mengutuk perbuatan tersebut dan melarang pembunuhan perempuan, kanak-kanak, orang tua, biarawan di dalam biara, petani di ladang, dan pedagang. Semua ini dilindungi, jadi bagaimana mungkin membunuh orang-orang yang menyembah Allah dalam acara keagamaan itu dibenarkan? Hal ini tidak pernah dibenarkan oleh Islam.
Al-Qaradhawi melontarkan kemungkinan ada tangan asing di sebalik pengeboman ganas berani mati itu sebagai langkah untuk mencetuskan perselisihan sektarian di Mesir. Tegasnya, “tak dapat dibayangkan bahawa rakyat Mesir berada di sebalik kejadian itu. Hasutan adalah suatu bahaya yang tidak akan kami biarkan berlaku. Bahkan, saya mengutuk tindakan tercela ini kerana ia benar-benar melanggar undang-undang.”
No comments:
Post a Comment