Kalendar IKRAM PJ

31 January 2011

Kepimpinan Islam Akan Kembali

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Sunnatullah atau Hukum Allah yang berlaku dalam kehidupan di dunia mengambil bentuk yang berbagai.

Di antaranya adalah seperti :

1. Benda yang dilempar ke atas mestilah jatuh ke bawah.

2. Manusia yang lapar dan haus bererti perlu makan dan minum untuk menghilangkannya.

3. Seseorang yang ditetak tangannya niscaya akan terluka dan berdarah.

4. Allah menciptakan segala sesuatu berpasang-pasangan: ada siang ada malam, ada panas ada dingin, ada sehat ada sakit, ada senang ada susah, ada lapang ada sempit, ada kaya ada miskin, ada menang ada kalah.

Selain contoh-contoh di atas masih banyak lagi bentuk sunnatullah yang berlaku di atas muka bumi ini.

Selanjutnya sila ikuti:

facebook ikrampj.

29 January 2011

BICARA YDP IKRAM Selangor (sempena peristiwa besar yang berlaku di Mesir)

Assalamualaikum wmt wbkth

Segala puji bagi Allah SWT Rabbul Jalil. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w penutup segala kenabian.

Hari ini seluruh kota Mesir (Egypt) sedang meledakkan kemarahannnya. Kemarahan masyarakat yang meluap-luap yang tidak mampu lagi ditahan dan dibendung akibat kezaliman Regim Gamel Abd Nasir yang sejak sekian lamanya menindas rakyat dengan sistem kuku besinya, rasuah dan pemerintahan polis yang kejam dan memenjarakan seluruh para penentangnya.

Hari ini kuasa dan taringnya sudah hilang dan lesu. Kukunya sudah hilang dan lembik tidak mampu lagi menahan kemarahan bangsanya sendiri. Ini adalah satu pengajaran buat para Diktator manapun di dunia ini. Memerintah dengan adil dan kasih sayang atau menerima ancaman kemarahan rakyatnya sendiri.

Imam Hassan Al-Banna pernah dalam tulisannya mengatakan kepada pemerintah Mesir waktu itu agar melakukan perubahan. JIka mereka gagal melakukannya rakyat akan bangkit bukan disebabkan oleh Ikhwanul Muslimun (IM) bahkan oleh kezaliman dan kebodohan regim mereka itu sendiri yang gagal menerima seruan dan nasihat. Hari ini Ikhwan Muslimun Mesir menyeru rakyat untuk bertahan dan bersatu menentang regim ini dengan sabar dan aman. Mereka adalah harapan baru bagi ummah dan kini hampir puluhan pemimpin tertinggi IM ditangkap. Kita semua berdoa agar mereka segera dibebaskan dari tahanan. IM telah lama bersabar dengan dakwah dan seruan mereka yang bijaksana. Mendidik masyarakat dengan Islam dan mengajak masyarakat kembali kepada cara hidup Islam sejak ianya diasaskan.

IM pernah menerima gegaran penangkapan dan pengharamannya serta penyiksaan ribuan anggotanya disiksa dan dibunuh dengan kejam oleh Regim Jamal Abd Nasir. Namun IM tetap tabah dan thabat mengharung tempoh penyiksaan, pembunuhan dan pemenjaraan yang sangat panjang. Regim ini telah membunuh jiwa rakyatnya dengan rasa takut kepada kekejaman serta tekanan polis-polis rahsianya yang sentiasa berada di mana-mana. Kini seminggu lepas Regim Tunisia berakhir, kemarahan rakyat Tunis menjalar ke bumi anbiya ini. Kini rakyat yang telah ditekan terlalu lama mula berani membuka segala penjara ketakutan mereka selama ini. Mereka sudah terlalu lama oleh tekanan "under siege" yang menyebabkan jiwa mereka tertekan dan tidak berani menyatakan tidak kepada Regim zalim selama ini.

Kita berharap esok Regim ini akan musnah. Esok kita berharap satu perubahan baru dalam landskap politik Mesir akan berlaku. Reformasi dalam sistem politik, ekonomi dan sosial serta pendidikan akan membuka pintu baru bagi Mesir yang baru. Ini tidak bermakna dakwah dan jihad telah selesai. IM akan terus bekerja melakukan perubahan ini. Menawarkan solusi dan kebijaksanaan baru bagi bangsa Mesir dan demi kebaikan ummah di sana.

Saya menjangkakan satu kudeta akan berlaku di Mesir jika kerajaan sedia ada gagal menerima kemarahan rakyat hari ini. Namun adalah diharapkan ianya akan bersifat sementara sebelum diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kepimpinan yang terbaik dari putera-putera Mesir yang baik dan dan beriman. Di sinilah peluang bagi dakwah IM. Jika sebelum ini IM ingin mendaftarkan parti politik tidak dibenarkan dan IM terus diharamkan, kita berharap semua ini akan berubah dalam seminggu hingga beberapa bulan reformasi di Mesir ini akan berlaku. Jika reform benar-benar berlaku, IM akan mula dihalalkan. Akan mudahlah dakwah ini menyampaikan risalahnya tanpa rasa takut lagi. Parti Politik IM akan didaftarkan, maka mudahlah para politik IM beraksi di pentas politik Mesir membawa cita rasa dan idea Islam dalam negara ini. Jika berlaku reform, akan bebaslah semua tahanan politik Mesir sejak sekian lam yang duduk di bawah tanah dan penjara yang gelap dan kotor itu. Kita doakan semua tahanan IM akan bebas. Moga Naib Mursyid IM Ir Khayrat Shatir akan bebas dari mahkamah tentera sejak sekian lamanya. Moga semua mereka akan bebas dengan izin Allah SWT

Malam ini bangunan parti pemerintah Regim Gamal Abd Nasier telah terbakar. Ini adalah hari akhir buatnya dan para penzalim. Esok adalah hari kebangkitan baru buat Mesir. Moga Allah SWT akan terus memberikan keberanian kepada putera-putera Mesir untuk menyatakan " down! down Gamel" . Saya yakin samada beliau akan lari meninggalkan buminya ke negara lain atau beliau akan ditahan dan dibicarakan di mahkamah atas segala kezalimannya sejak 30 tahun yang lalu. Selamat tinggal Gamel Abd Nasier dan selamat datang hari kebahagian buat Bangsa Mesir ' Viva Egypt!".

Ikhwah dan akhawat. Ini menuntut kita semua beramal. Beramal dengan tekun dan sabar. Allah SWT akan menentukan masa kemenangannya. Usaha dakwah dan tajmik. Usaha membina syakhisyyah Islamiyyah di kalangan umat. Memilih anasir soleh dan mendidik mereka dengan syakhsiyyah jamaiyyah seterusnya membawa mereka ke alam realiti dakwah dan pengorbanan, ke arah riaayah jamahiriyyah. Melakukan dakwah, memuliakan ummah, menyantuni masyarakat dengan dakwah dan kebaikan. Rakyat akan melihat amal kita. Amal kita akan berbicara. Berbicara dengan jujur dan ikhlas lebih kuat dari suara-suara kita. Oleh itu teruslah bekerja dengan penuh sabar dan thabat, jujur dan ikhlas mengharapkan wajah Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang menolong (agamanya), sesungguhnya Allah benar-benar

maha kuat lagi maha perkasa" (al-Hajj:40).

Firman Allah yang bermaksud; "Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan

Allah, dipesakakannya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (al A'raf:128).

Firman Allah yang bermaksud;

"Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat

kerosakan di (muka) bumi dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa" ( al-Qasas:83).

Segala kebenaran hanya milik Allah SWT

Kepada Pemangku YDP IKRAM SEL Hj Mazmi terima kasih dan selamat terus beramal dan berjuang.

Faqir Ilaihi

Saudara kamu

Shamsul Ma'arif Hj Ismail

YDP IKRAM Selangor

(kini di Oxford UK)

Kenyataan Ikhwan Muslimin mengenai peristiwa 25 Januari 2011 dan implikasinya

Mesir yang berada di tengah-tengah dunia Arab dan Islam terkesan dengan berbagai-bagai peristiwa besar dan penting. Kini rakyat Mesir di kota Kaherah dan Bandar-bandar lainnya bangkit untuk menyatakan bantahan serta kemarahannya terhadap tindakan melampau dan pencabulan undang-undang yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah. Mereka bergerak secara aman, tertib dan berdisiplin. Yang ketara golongan muda berada di barisan hadapan. Semuanya sepakat menyatakan dengan jelas dan tegas apa yang mesti dilakukan demi masa depan rakyat dan Negara. Mereka menuntut pembaikan, keamanan, kebebasan dan pemulihan demokrasi. Tanpa semua itu keadaan Mesir tidak akan aman dan stabil.

Dalam situasi ini Ikhwan Muslimin berdiri teguh bersama-sama dengan rakyat Mesir dan menyokong sepenuhnya tuntutan mereka. Ikhwan mengucapkan tahniah serta setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Mesir di atas kebangkitan yang positif, aman dan diberkati. Ikhwan juga menghulurkan ucapan takziah kepada keluarga syuhadak yang terdiri dari orang awam dan anggota keselamatan yang telah terkorban di dalam peristiwa ini. Ikhwan berdoa kepada Allah agar mengampuni mereka dan amalan mereka diterima. Untuk mereka yang tercedera Ikhwan mendoakan agar mereka cepat sembuh.

Ikhwan ingin menegaskan beberapa perkara berikut:

1. Kebangkitan rakyat Mesir yang bermula pada hari Selasa 25 Januari 2011 adalah satu kebangkitan yang aman, matang dan bertamadun. Ia mesti berterusan seperti ini untuk melawan kerosakan, kezaliman dan kediktatoran sehingga tercapai apa yang diinginkan, iaitu pembaikan yang menyeluruh bermula dengan pembubaran Dewan Rakyat yang terbentuk secara penipuan terang-terangan, kemudian diikuti dengan mengadakan pilihanraya yang bebas dan bersih di bawah seliaan penguatkuasa undang-undang sepenuhnya.

2. Pemerintah Mesir mestilah menyahut kehendak rakyat dan segera melaksanakan pembaikan yang mereka mahu serta menghentikan dengan segera polisi kekerasan dan melawan kehendak rakyat yang diperakui oleh undang-undang Negara. Pemerintah hendaklah mengambil tindakan pantas, serius dan berkesan dalam merealisasikan apa yang dituntut demi kebaikan semua golongan. Pemerintah hendaklah jangan sekali-kali bertindak kasar ke atas rakyat yang menunjuk perasaan dan hendaklah membebaskan segera mereka yang ditahan dalam kebangkitan ini dan yang ditahan sebelumnya.

3. Sesungguhnya Ikhwan Muslimin adalah satu pertubuhan Islam yang merangkumi semua aspek. Dan ahli-ahlinya adalah terdiri daripada susur galur masyarakat Mesir yang sentiasa bersama-sama dengan mereka dalam suka dan duka serta turut merasai keperitan hidup mereka. Ikhwan sentiasa mengajak ahli-ahlinya dan saudara-saudaranya di Negara-negara Islam dan Negara-negara bukan Islam agar berkerjasama, tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, menyeru supaya berusaha menegakkan keadilan, memantapkan asas-asas kebenaran dan mengutamakan kepentingan umat mengatasi kepentingan perseorangan atau kepentingan sesuatu golongan. Ikhwan menyeru semua pihak dalam menghadapi keadaan yang genting ini agar bersatu hati menentang kezaliman, penyelewengan, penipuan dan kekacauan. Usaha ini mestilah dilakukan dengan cara yang selamat, bersungguh-bersungguh serta mengambil kira reality. Jangan rosakkan mana-mana institusi, harta milik awam atau individu. Kita mesti bersabar dalam mempertahankan kaedah ini sehingga tuntutan rakyat yang dijamin oleh undang-undang terlaksana.

Adalah penting untuk kita berkerjasama dengan semua pihak termasuk parti-parti politik dan berdiri di dalam satu barisan, menyamakan gerak langkah dan menyatukan suara bersama-sama rakyat jelata sehingga terlaksana kehendak mereka semuanya.

Ikhwan Muslimin

Kaherah: 22 Safar 1432H bersamaan 26 Januari 2011M.

26 January 2011

Pengiktibaran Tunisia

Satu kenyataan oleh Ikhwanul Muslimin baru-baru ini menegaskan bahawa gerakan itu berkeyakinan reformasi segera diperlukan jika Mesir ingin mengelak daripada pemberontakan bersejarah di Tunisia yang telah disaksikan oleh seluruh dunia.

Insiden yang berlaku di Tunisia sepanjang Disember 2010 dan Januari 2011 merupakan titik penting bagi peristiwa yang dilalui oleh penduduk rantau Arab dan dunia Islam. Rakyat Tunisia telah bangkit melawan penindasan, kezaliman dan rasuah yang dilakukan oleh pemerintah, keluarganya serta pembantu-pembantunya selama suku abad.

Seluruh dunia, khususnya Barat dan Zionis terkejut dengan apa yang berlaku dan tiada siapa pun dapat menahan kemarahan rakyat yang meletus di muka kezaliman. Rejim-rejim Arab juga dalam keadaan tidak menentu dan tersentak dengan nasib diktator Tunisia yang terpaksa melarikan diri.

Kebangkitan rakyat Tunisia memberikan peringatan jelas kepada semua pihak, di dalam dan luar Tunisia;
  1. Ia memberi harapan kepada rakyat yang tertindas bahawa rakyat yang tertekan boleh mencapai kejayaan;
  2. Ia memperingatkan penindas serta rejim dan pemimpin rasuah bahawa tidak ada yang kekal dan tiada jawatan yang selamat;
  3. Ia adalah isyarat kepada kuasa zalim dan mereka yang menggunakan wang untuk membonekakan pemerintah dunia ketiga, terutama di negara Arab dan Islam.

Isyarat-isyarat ini merupakan titik tolak penting serta dimensi baru dalam kehidupan rakyat negara Arab dan Islam. Kami yakin bahawa alasan dan motif kebangkitan di Tunisia adalah sama dan serupa dengan banyak negara di rantau ini, terutama Mesir.

Jika situasinya sama, seperti rasuah, ketidak-adilan, krisis ekonomi dan penindasan rejim yang berpanjangan, maka negara-negara lain juga akan menuju ke arah yang sama, yakni kebangkitan rakyat.

Disebabkan kami (IM) sangat cintakan keamanan dan kestabilan, kami percaya bahawa perjuangan berlandaskan perlembagaan akan berhasil sekiranya berlaku reformasi dalam arena politik, ekonomi dan sosial. IM yang merupakan sebahagian daripada negara Mesir berpandangan bahawa pelbagai pihak dan sistem dalam negara ini mampu berubah, jika terdapat kemahuan untuk berubah.

Persamaan ini; iaitu kestabilan oleh rakyat dan Ikhwanul Muslimin yang berdepan dengan kepincangan sistem pemerintah, kemampuan - dan tanggungjawab IM - untuk membawa reformasi damai dan perubahan positif; kita mengatakan bahawa persamaan ini sedang melalui satu fasa kritikal dan halus. Tetapi sayangnya sistem ini tidak mengambil langkah-langkah serius untuk memerangi rasuah dari merebak dan membawa pembaharuan yang diperlukan. Situasi ini tidak boleh diteruskan ketika sistem tidak seimbang sedangkan mereka kelihatan tidak berminat untuk menyelesaikan masalah kecuali dengan merujuk kepada anggota keselamatan sambil mengelakkan diri mereka dari berusaha. Jika sistem yang sekarang tidak bergerak cepat untuk mengambil tanggungjawab dan mengambil inisiatif untuk membawa pembaharuan serius, kestabilan tidak akan bertahan lama.

Oleh kerana kami sangat menghargai kestabilan negara dan demi mengelakkan kemarahan rakyat, kami menuntut:

  • Pertama: Pemansuhan Undang-Undang Darurat yang dipaksa ke atas rakyat Mesir selama tiga puluh tahun tetapi gagal menghasilkan keamanan atau mencegah jenayah.
  • Kedua: Pembubaran Dewan Rakyat ‘palsu’ dan mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di bawah penyeliaan penuh pihak kehakiman bagi memenuhi hasrat sebenar rakyat dan membolehkan mereka mencapai cita-cita dan aspirasi mereka.
  • Ketiga: Melakukan pindaan Perlembagaan bagi Artikel 5, 76, 77, 88 dan 179 bagi memastikan kebebasan mengadakan pilihanraya dengan pilihan demokratik dalam pilihanraya Presiden yang akan datang di bawah penyeliaan kehakiman. Ia juga akan menghapuskan konflik perlembagaan dan mencapai keserasian dengan asas, sejarah, kebudayaan dan tamadun negara besar ini.
  • Keempat: Mengambil tindakan segera dan efektif bagi menyelesaikan masalah rakyat yang kritikal seperti memulakan reformasi ekonomi bagi membolehkan kita mencapai keadilan sosial dengan menyediakan barangan keperluan dan ubatan, reformasi sistem pendidikan serta menyediakan bajet untuk kesihatan. Antara langkah yang boleh diambil ialah:
    1. Menggunakan dana lebihan yang mana lebih 1200 billion Pound Sterling kini dikawal oleh orang-orang yang menyalahguna kuasa.
    2. Menggunakan kemudahan dan keistimewaan yang diberikan kepada Menteri dan Pegawai Kanan Kerajaan bernilai berbilion paun serta melelong apa yang tidak perlu untuk membantu rakyat.
    3. Menghentikan penghantaran minyak dan gas kepada Zionis dan menilai semula harga komoditi tersebut serta mengeksportnya ke negara lain.
    4. Menilai semula harga tanah bernilai beratus bilion paun yang diperuntukkan kepada beberapa ahli perniagaan dan perasuah dan menjualnya secara lelong untuk manfaat rakyat.
  • Kelima: Menilai semula polisi luar negara Mesir terutama terhadap rejim Zionis dan keperluan memutuskan hubungan dengan mereka serta bagi menyokong gerakan pembebasan Palestin dan menubuhkan negara Palestin beribunegarakan Baitul Maqdis.
  • Keenam: Membebaskan dan memberi pengampunan kepada semua tahanan politik dan semua yang dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah khas yang tidak mempunyai bidang-kuasa mengadili orang awam seperti Mahkamah Tentera atau Mahkamah Keselamatan Negara.
  • Ketujuh: Memberikan respons kepada tuntutan-tuntutan yang diutarakan oleh pelbagai pihak sejak sekian lama.
  • Kelapan: Kebebasan menubuhkan parti politik serta menghapuskan sekatan terhadap penerbitan akhbar serta media lain.
  • Kesembilan: Perbicaraan ke atas penyalahguna kuasa dan perasuah yang telah mengumpul kekayaan dengan cara salah sejak sekian lama.
  • Kesepuluh: Menghidupkan masyarakat madani, pemansuhan gangguan pasukan keselamatan dalam hal-ehwal dalaman sekolah, universiti, kesatuan sekerja, NGO, wakaf dan pertubuhan hak-hak asasi manusia.

Ikhwanul Muslimun

19 Januari 2011

Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=27890


18 January 2011

KENYATAAN AKHBAR

SOKONG GARISPANDUAN MPSJ MELARANG PEKERJA BERAGAMA ISLAM BEKERJA DI PREMIS ARAK

Kenyataan akhbar ini merujuk kepada isu garispanduan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya yang melarang umat Islam daripada bekerja di premis yang menjual arak.

Dalam hal berkenaan arak, Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran:-

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)” (Maksud Surah Al Maidah ayat 90-91).

Islam dengan tegas melarang meminum arak dan sebarang minuman yang memabukkan bertujuan untuk memelihara kehormatan dan kemuliaan manusia. Demikian juga, semua agama di dunia melarang meminum arak dan sebarang minuman yang memabukkan.

Kemudaratan arak dan implikasi negatifnya ke atas peminum arak memang sudah jelas samada daripada aspek kesihatan mahu pun sosial. Menyedari kemudaratan arak ini, kerajaan Amerika Syarikat pernah mengharamkan penjualan, pengilangan dan pengangkutan arak melalui pindaan kepada Perlembagaan negara itu yang dinamakan The Eighteenth Amendment yang telah dibuat pada 16 Januari 1919. Volstead Act atau National Prohibition Act pula telah diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat pada bulan Oktober tahun yang sama. Walau bagaimanapun, pada 22 Mac 1933 Presiden Franklin Roosevelt menandatangani undang-undang baru menggantikan Volstead Act dengan membenarkan pengilangan dan penjualan arak tertentu. Kemudian pindaan Perlembagaan pula dibuat pada 5 Disember tahun 1933 melalui Twenty First Amendment bagi membatalkan Eighteenth Amendment tersebut.

Tindakan tersebut membawa kesan negatif yang besar kepada keadaan sosial masyarakat di negara tersebut seperti meningkatnya kes keganasan rumahtangga dan kadar kemalangan jalanraya akibat pemandu mabuk. Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat begitu juga di England, Wales, Kanada dan Afrika Selatan mendapati bahawa terdapat korelasi yang ketara antara ketagihan arak oleh suami atau isteri yang mengakibatkan meningkatnya kes keganasan rumahtangga yang parah terhadap pasangan masing-masing. Di samping itu, statistik tahun 2008 menunjukkan bahawa di Amerika Syarikat kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol telah menyumbangkan 37% atau 13,846 daripada sejumlah 37,261 kes kemalangan maut di seluruh negara tersebut. Sudah pasti kita tidak mahu fenomena sedemikian berlaku di negara ini.

Salah satu prinsip yang telah diakui oleh Islam ialah apabila Islam telah mengharamkan sesuatu, maka wasilah, cara atau jalan apapun yang membawa kepada perbuatan haram itu, maka hukumnya adalah juga haram. Oleh kerana itu, kalau Islam mengharamkan zina misalnya, maka semua pendahuluan dan apa saja yang dapat membawa kepada perbuatan zina itu, adalah diharamkan juga. Contohnya dengan menunjukkan perhiasan diri atau aurat yang tidak sepatutnya, bersekedudukan (“co-habitation”), pergaulan dan seks bebas, pornografi, berkhalwat, nyanyian-nyanyian yang mengasyikkan yang mendorong kepada zina dan yang seumpamanya. Dari sinilah, maka para ulama ahli fiqah membuat suatu kaedah: “Apa saja yang membawa kepada perbuatan haram, maka hukumnya adalah haram”.

Selain dariapda itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Termidzi seperti berikut:

"Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, 10 golongan:-

(1) yang memerahnya,

(2) yang minta diperahkannya,

(3) yang meminumnya,

(4) yang membawanya,

(5) yang minta dihantarnya;

(6) yang menuangkannya;

(7) yang menjualnya;

(8) yang makan harganya;

(9) yang membelinya;

(10) yang minta dibelikannya."

Berdasarkan hadis tersebut jelaslah bahawa yang dilarang bukan hanya ke atas peminum arak sahaja tetapi juga golongan yang lain termasuklah mereka yang bekerja menghasilkan, menghidangkan dan mengangkut arak tersebut. Anggapan sebahagian masyarakat Islam bahawa yang dilarang hanyalah meminumnya sahaja adalah kurang tepat.

Sehubungan dengan perkara di atas, kami dengan ini mengambil pendirian sebagaimana berikut :-

1. Menyokong usaha Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang mengeluarkan garispanduan melarang pekerja beragama Islam bekerja di premis yang menjual Arak. Sudah tiba masanya masyarakat Islam dan bukan Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya disedarkan bahawa implikasi penggunaan arak adalah lebih banyak berbentuk negatif daripada positif.

2. Menggalakkan masyarakat Islam mencari rezeki dan pendapatan daripada sumber-sumber yang halal kerana rezeki yang halal membawa keberkatan dalam kehidupan. Kami juga yakin bahawa sumber rezeki dan peluang pekerjaan begitu luas di mukabumi Malaysia yang makmur dan kaya dengan hasil mahsulnya. Jika tidak masakan begitu ramai pendatang asing yang datang bekerja di negara ini. Walau bagaimanapun, kami mengalu-alukan pengumuman kerajaan Negeri Selangor mewujudkan skim khas bagi membantu pekerja-pekerja Islam yang akan berhadapan dengan masalah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penguatkuasaan garis panduan tersebut.

3. Menggesa agar semua pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor mencontohi usaha yang baik yang dimulakan oleh MPSJ ini.

4. Menyeru pihak berkuasa terutama Pejabat Tenaga Rakyat dan Kesatuan Sekerja agar dapat membela nasib pekerja-pekerja beragama Islam yang terpaksa terlibat di dalam mengilang, menjual, mengangkut dan menghidangkan arak tanpa kerelaan mereka. Pihak majikan seharusnya prihatin akan perkara ini dengan membenarkan pekerja tersebut diberikan pilihan samada hendak terlibat ataupun tidak, tanpa sebarang diskriminasi ke atas pekerja beragama Islam tersebut.

5. Menyeru masyarakat samada Islam atau bukan Islam agar bersama-sama membenteras penggunaan arak terutama di kalangan golongan muda, yang menjadi salah satu punca gejala sosial yang berleluasa dalam negara kita ini. Kami juga menyeru agar golongan muda memilih gaya hidup sihat tanpa arak yang akan menjamin kesejahteraan fizikal dan minda mereka dalam menghadapi tekanan kehidupan yang begitu mencabar.

Tarikh: 17 Januari 2011 bersamaan 12 Safar 1432H

Penandatangan:

1. Pertubuhan IKRAM Malaysia, (IKRAM) Negeri Selangor

Tn Hj Mazmi Kamal
TYDP IKRAM Negeri Selangor
(Pemangku YDP IKRAM Negeri Selangor)
HP No.: 013-233 8135
E-mail: mazmikamal@gmail.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

2. Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Negeri Selangor

Tn Hj Mohammad Kamal Bin Mohammad Rathi
YDP JIM Negeri Selangor
HP No: 012-2917217
E-mail: mkmr2001@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

3. Pertubuhan IKRAM Malaysia,(IKRAM) Daerah Subang Jaya

Ustaz Hajar Opir
YDP IKRAM Daerah Subang Jaya
HP No: 019-277 1713
E-mail: abuaqilah2299@yahoo.com

http://selangor.ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=34:kenyataan-akhbar-sokong-garispanduan-mpsj-melarang-pekerja-beragama-islam-bekerja-di-premis-arak-&catid=7:ikram-negeri&Itemid=42
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

06 January 2011

PERKONGSIAN PROGAM MUKHAYYAM OUTDOOR IKRAM WANITA PETALING JAYA

Pada Sabtu, 11 Disember 2010, 30 orang ahli wanita IKRAM PJ telah berkonvoi ke Janda Baik , bermukhayyam jauh di Impian Resort, membulat tekad dengan hasrat mencapai objektif ‘KELESTARIAN TARBIYAH, KECEMERLANGAN DAKWAH’

Berkumpul di Masjid UIA pada jam 8.15 pagi, dengan 4 buah kereta bergerak dan bertreasure Hunt. Yang menariknya kumpulan dipastikan gabungan org Muda dan yang veteran (bukan tua). Perjalanan mengambil masa 2 jam…dengan 4 point perhentian …ala-ala Amazing Race… akhawat siap diminta untuk beli lemang……( alhamdulliah , ada group yang kritikal dan analitikal..siap beli rendang dan bersarapan bahan bekalan di R n R Genting Sempah…..)

Kumpulan pertama sampai di R n R ………..

1130 - Slot 1 : Membina Menara Impian. Dengan bahan bukti –KIT yang perlu diambil di Plaza Tol Gombal, akhawat perlu membina setinggi mungkin binaan botol air minuman , berbekal tali sepangjang 20 kaki. Lihatlah hasil perancangan gerak kerja kump………………..

Slot 2: Persembahan Kumpulan: Peserta kumpulan membuat persembahan berdasar kepada bahan yang telah dikutip di Check point 5…..peserta diminta membawa balik sebarang bentuk barang yang boleh dijadikan cenderahati….Akhawat kita memang kreatif…lihatlah antara hasil ciptaan mereka

Minum petang & Riadhah: minum petang makan lemang……..tambah enak dengan rending ayam……selepas mimun petang , kami keluar berjalan menikmati udara segar JANDA BAIK,

Solat Maghrib Berjamaah dan Tazkeerah Senja : Belajar Dengan Alam


Slot 3: Forum Perdana : “Kelestarian Tarbiyah, Kecemerlangan Daawah” oleh Akhi Azim Abd Aziz yang diundang khas dari Sheffield , United Kingdom……Alhamdullilah pengisian membuka minda untuk akhawat terus istiqamah dalam tarbiyah dan dakwah…..Tiada dakwah tanpa tarbiyah…dan dakwah dimedan adalah tarbiyah yang menguji kesungguhan dan keikhlasan kita……….

Ahad, 12 Disember 2010, 4.30 - 0530 pagi Kemuncak acara outdoor apabila akhawat dapat berqiam dalam suasana yang penuh aman berlatarkan bunyi cengkerik……bermunajat kepada Allah swt ..

Diikuti pula dengan renungan Outdoor yang diberi oleh Ukhti Fauziah…….siapakah kita dan dimanakah kita apabila kita berhubung dengan alam ...

Slot 4 : Jungle Trekking and Mandi Air Terjun

Perjalanan yang mengambil masa hampir 45 minit …bukan masa yang menjadi ukuran tetapi keupayaan diri untuk mengharung laluan denai yang licin dan cerun di sesetengah point…..lihatlah kalau tak percaya….

Kepada yang muda memang tak ada masalah….tapi bagi yang dan veteran ni tercabar kebolehan kami……Alhmadullilah semangat orang muda buat kami teruja………SAMPAI juga ke destinasi AIR TERJUN…tingkat 4 menurut pemandu kami…semuanya ada 7 tingkat……


Alhamdullilah..sampai ke kaki bukit dengan selamat .Macam tak percaya boleh sampai ke atas sana !!!!!!!

Inilah wajah-wajah peserta MUKHAYYAM WANITA IKRAM PETALING JAYA.


Semuga program yang diatur mencapai objektif yang dirangka : semuga terwujud hubungan Ukhuwah Islamiyah yang berterusan antara semua wanita IKRAM Petaling Jaya dan terpupuk kepedulian akhawat kepada persekitaran. Semuga pendedahan dan aktiviti yang dilalui akan Melestarikan Tarbiyah, Mencemerlangkan Da’wah dikalangan akhawat Petaling Jaya......................

05 January 2011

Al-Qaradawi: Pelaku Jenayah Pengeboman Iskandariah adalah Pembunuh Kejam dan Bukan Muslim

Isnin, 3 Januari 2011

Dr Yusuf al-Qaradawi, Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama’ Muslim (IUMS), mengecam keras serangan bunuh diri, yang berlaku pada Malam Tahun Baru di luar gereja Al-Qiddissine pada hari Sabtu. Kejadian itu membunuh 21 orang dan mencederakan 80 yang lain.

Al-Qaradawi menegaskan bahawa "pelaku-pelaku kejahatan ini adalah penjenayah, pembunuh dan bukan Islam kerana Islam menegaskan kesucian nyawa manusia dan sangat melarang pencerobohan keatasnya. Islam tidak membenarkan pembunuhan orang awam tak berdosa dari mana-mana bangsa atau warganegara kecuali sebagai hukuman yang disabitkan. Membunuh orang awam dari sebarang warga secara rawak oleh sebarang kumpulan, individu bahkan negara sekalipun, terutama jika mereka sedang merayakan sesuatu perayaan di tempat ibadah sama sekali tidak boleh dipandang sebagai jihad. Tanpa sebarang syak dan ragu lagi ia bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah".

Al-Quran, bersama-sama dengan tulisan suci yang lain, menyatakan bahawa [Barang siapa membunuh seorang manusia selain sebagai hukum balasan pembunuhan atau kerosakn di bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh semua umat manusia] (Al-Ma'idah: 32).

Islam menganggap membunuh orang lain sebagai salah satu dosa paling besar di sisi Allah. Dosa keji dan kejahatan menjijikkan ini mengundang kutukan Allah di dunia ini dan hukuman berat-Nya di akhirat.

Persatuan Ulama Muslim Antarabangsa (IAMS) terkejut melihat insiden berdarah yang meninggalkan sejumlah besar korban awam yang tak berdosa. Mereka dibunuh secara terancang dan disengajakan sedangkan mereka tidak melakukan sebarang dosa terhadap penyerang mereka.

Perlembagaan etika peperangan yang sah dalam Islam menggariskan bahawa membunuh siapapun adalah dilarang kecuali bagi mereka yang terlibat dalam pertempuran. Dalam perang yang sah seperti itu, pertempuran dihadkan kepada konfrontasi semuka antara Muslim dan tentera penceroboh. Setelah melihat seorang wanita terbunuh dalam medan perang, Nabi SAW mengutuk perbuatan tersebut dan melarang pembunuhan perempuan, kanak-kanak, orang tua, biarawan di dalam biara, petani di ladang, dan pedagang. Semua ini dilindungi, jadi bagaimana mungkin membunuh orang-orang yang menyembah Allah dalam acara keagamaan itu dibenarkan? Hal ini tidak pernah dibenarkan oleh Islam.

Al-Qaradhawi melontarkan kemungkinan ada tangan asing di sebalik pengeboman ganas berani mati itu sebagai langkah untuk mencetuskan perselisihan sektarian di Mesir. Tegasnya, “tak dapat dibayangkan bahawa rakyat Mesir berada di sebalik kejadian itu. Hasutan adalah suatu bahaya yang tidak akan kami biarkan berlaku. Bahkan, saya mengutuk tindakan tercela ini kerana ia benar-benar melanggar undang-undang.”

04 January 2011

IM kutuk serangan bom di luar gereja Iskandariah sebagai jenayah keji

IM mengutuk keras pengeboman yang berlaku di luar sebuah gereja di Iskandariah, menganggap tindakan pengeboman tersebut sebagai jenayah keganasan yang pengecut dan tidak berperi kemanusiaan. Ia menyeru agar penyiasatan dilakukan segera bagi mengenalpasti penjenayah dan menghukum mereka yang bertanggung-jawab.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 24 orang cedera akibat serangan ke atas gereja di Daerah Sidi Bishr di wilayah utara Iskandariah.

Menurut saksi dan sumber polis, sebuah kereta yang diletakkan di luar gereja diletupkan sejurus selepas penganut Nasrani Qibti melaksanakan upacara sembahyang tengah malam sempena tahun baru.

Berikutan dengan pengeboman tersebut, penganut-penganut Nasrani yang keluar dari gereja berkenaan bertempur dengan pasukan keselamatan yang tiba di tempat kejadian. Beberapa kecederaan dilaporkan ketika polis menyuraikan penunjuk perasaan dengan gas pemedih mata.

Serangan itu berlaku setelah Kementerian Dalam Negeri Mesir berjanji akan meningkatkan keselamatan di sekitar kawasan Nasrani berikutan ancaman terhadap penganut Nasrani Mesir oleh kumpulan Al-Qaeda Iraq. Peristiwa ini juga berlaku setahun selepas serangan tembakan rambang ke atas Nasrani Qibti di bandar Nag Hammadi mengakibatkan kematian enam orang Nasrani dan seorang Muslim.

IM mengutuk sekeras-kerasnya satu tindakan keganasan yang tidak menghargai nyawa manusia. Ia menekankan bahawa tidak ada sebab yang membenarkan tindakan keganasan sedemikian yang merupakan pencerobohan terhadap nilai-nilai Islam yang melarang sebarang tindakan kekerasan tanpa membezakan bahasa, budaya atau agama.

IM meminta pihak berkuasa untuk maju dan memikul tanggung jawab dalam menyediakan langkah keselamatan di sekitar tempat ibadat dan menuntut agar mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah keji ini segera dibawa ke muka pengadilan.

Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=27711

01 January 2011

Selamat Pulang!


IKRAM Petaling Jaya ingin mengucapkan Ahlan Wasahlan kepada Dr. Normah Abdullah di atas perpindahan semula dari IKRAM Muar Johor ke IKRAM Petaling Jaya, Selangor.

Dr. Normah akan berkhidmat di Hospital Serdang sebagai Pakar Bius bermula 3 Januari 2011.

Semoga membawa rahmah kepada dakwah di Petaling Jaya secara khususnya.