Kalendar IKRAM PJ

13 August 2012

Imam Muda Gaza di Masjid Kampung Tunku

Salat tarawih bersama imam muda Gaza, al-Ustaz Ibrahim telah diadakan di Masjid al-Rahman Kampung Tunku Petaling Jaya, pada Ahad 12 Ogos 2012 (malam 24 Ramadan 1433H).

Setelah selesai salat, al-Ustaz Ibrahim menyampaikan kuliah ringkas mengenai kebaikan bumi Palestin dan kepentingan perjuangan membebaskan bumi Palestin oleh seluruh ummah. Kuliah diterjemahkan oleh YDP Ikram Petaling Jaya, al-Ustaz Ahmad Fauzi Asmuin. Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Ikram daerah Petaling Jaya dan Subang Jaya.




11 August 2012

Tabung Kasih Ummah Rohingya

Penderitaan Umat Islam Rohingya masih belum mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya daripada masyarakat dunia. Mari sokong usaha kemanusiaan ini melalui Tabung Kasih Ummah Rohingya!


05 August 2012

Daurah Baitul Muslim 28/07/2012


Program Daurah Baitul Muslim telah diadakan pada Sabtu 28/07/2012 10 pagi bertempat di Sekolah Agama Masjid Darul Ehsan Subang Jaya (SAMDE). Seramai hampir 60 orang mengikuti daurah ini. Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Baitul Muslim IKRAM Petaling Jaya yang diketuai oleh Puan Kalsom Arifin dan dibantu oleh JK Institut Pengajian Tinggi (IPT) IKRAM PJ di bawah penyeliaan Dr. Eshamsul Sulaiman dan Dr. Maria Kahar Bador. 

Antara para hadirin yang hadir (lelaki)

Antara para hadirin yang hadir (perempuan)

Saudara Muhammad Talhah


Program dimulai dengan bacaan suci Al-Quran oleh saudara Muhammad Talhah Bin Jima'ain disusuli dengan ucapan kata-kata aluan oleh wakil JK Program- Dr. Eshamsul Sulaiman. 


Program kemudiannya diserikan dengan perkongsian pengalaman oleh Ustazah Zaiton Ismail dari IKRAM Gombak. Majlis seterusnya diwarnai dengan forum Baitul Muslim yang dianggotai oleh pasangan suami isteri ahli IKRAM Petaling Jaya. Ahli panel forum terdiri daripada pasangan Khairul Fadhli Bin Ismail dan Samihah Mohd Nor, pasangan Syed Ibrahim Bin Syed Noh dan Dr. Melasutra Bt. Md. Dali, pasangan Shaharom Bin Md. Shariff dan Nor Zalmiah Binti Jahidin beserta pasangan Dr. Eshamsul Sulaiman dan Dr. Maria Kahar Bador.
Ustazah Zaiton

Para hadiran amat teruja dan bersemangat mendengar penjelasan, perkongsian jujur dan berharga daripada para ahli panel forum. Semestinya program ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan amat bermakna terutama bagi pasangan muda dan mereka yang bakal mendirikan rumah tangga.

Para ahli panel forum
Program diakhiri dengan pemberian cenderahati kepada para penceramah oleh wakil JK Baitul Muslim IKRAM Petaling Jaya- Ustaz Abdul Malek bin Saari. Program berakhir pada 4:30 petang dengan doa penutup majlis- Tasbih Kifarah.

Ustaz Abdul Malek menyampaikan cenderahati

Diharapkan agar program seumpama ini dapat diadakan lagi pada waktu akan datang.

Ijtima' Ramadan IKRAM Selangor (IRIS)

SEMUA DIJEMPUT HADIR!!


Tarikh: Ahad - Isnin (5-6 Ogos 2012)
Tempat: Masjid Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Shah Alam

Antara para jemputan kehormat:
1. Ust. Prof. Madya Hj. Hasanuddin Mohd Yunus (YDP IKRAM Selangor)
2. Prof. Dr. Hj. Mohd Hatta Shahrom (Timb. Presiden IKRAM)
3. Prof. Madya Dr. Hjh. Harlina Haliza Hj. Siraj (Ahli DPN IKRAM)
4. Prof. Dr. Nazari Ismail (Pensyarah universiti tempatan)
5. Ust. Hj. Roslan Mohamed (Penceramah bebas)
6. Ust. Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman (Penceramah bebas)
7. Dr. Hj. Danial Zainal Abidin (Penceramah bebas)

Ajak yang lain... Jumpa di sana!

29 July 2012

Majlis Mahabbah & Iftar Perdana Ikram PJ


Pada Sabtu 28 Julai 2012, Ikram PJ mengadakan Majlis Mahabbah dan Iftar Perdana Ikram Petaling Jaya, bertempat di Sekolah Integrasi Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya. Majlis dihadiri oleh lebih kurang 100 orang ahli termasuk keluarga.



Majlis dimulakan dengan ta'aruf, tadarus al-Qur'an dan bacaan al-Ma'thurat di surau sekolah. Iftar diadakan di kantin sekolah. Solat Maghrib, Isya' dan tarawih diadakan secara berjamaah di surau sekolah. Setelah tarawih, YDP Daerah al-Ustaz Ahmad Fauzi Asmuin memberikan ucapan kepada hadirin, dan mengalu-alukan ahli-ahli Ikram yang baru di daerah. Taklimat mengenai Ikram dan aktiviti-aktivitinya juga diberikan oleh Setiausaha, Sdr Mohd Hasyahril Mohd Hashim.



Majlis diakhiri oleh gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekolah. Semoga dengan program ini dapat menguatkan lagi tautan ukhuwah sesama ahli.

Ukhuwwah Teras Kegemilangan








18 July 2012

Salam Ramadan 1433H

Sempena menyambut Ramadan yang bakal tiba, Ikram Daerah Petaling Jaya telah mengadakan program "SALAM RAMADAN" pada Selasa 17 Julai 2012.

Program dihadiri oleh ikhwah dan akhawat daripada semua peringkat keahlian. Majlis dimulakan oleh bacaan al-Qur'an dan ucapan Mas'ul Tarbiyyah, Sdr Mohd Noor Said. Seterusnya Al-Ustaz Mohd Osman Khusnan menyampaikan kuliah bertajuk 'Salam Ramadan', yang padat dengan peringatan-peringatan dan noktah-noktah mengenai kelebihan dan kaifiyat ibadah Ramadan. 





Semoga Ramadan tahun ini membawa kepada kita rahmah dan keampunan Tuhan.

15 July 2012

Riadah di Bukit Gasing Petaling Jaya






Riadah Ikram PJ
15 Julai 2012 (Ahad)
0800 - 1000 hrs
Bukit Gasing, Petaling Jaya

Nota: Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sesi riadah Ikram PJ yang akan datang, sila hubungi Pengerusi Riadah Sdr Ameen (013-3303132).

12 July 2012

Apa Yang Baru Di Pejabat Ikram PJ?


Alhamdulillah, Pejabat Ikram PJ kini berwajah baru dengan adanya papan tanda pejabat yang baru dipasang. Ia memudahkan para pengunjung mengenali lokasi pejabat ini yang sememangnya semakin menjadi tumpuan.

Ikram PJ - melangkah ke Ramadan dengan semangat dan wajah baru!

25 June 2012

Kenyataan Media Ikram Terhadap Kemenangan Dr Morsi di Mesir

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)

25 Jun 2012 / 5 Syaaban 1433 H

 
Ucapan Tahniah Buat Dr Mohamed Morsi, Presiden Mesir Yang Baru

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan menzahirkan rasa keyukuran di atas kemenangan Dr Mohammed Morsi Isa' al-Ayyat calon Ikhwanul Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden Mesir mewakili Parti Hizbul Hurriyah wal ‘Adalah atau Freedom and Justice Party (FJP) pada 16 dan 17hb Jun 2012.

Kemenangan beliau yang telah diisytiharkan secara rasmi semalam oleh Farouq Sultan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir pada 24hb Jun 2012 disambut penuh kegembiraan oleh seluruh rakyat Mesir khususnya di Dataran Tahrir. Beliau mendapat sokongan 51.7 % undi manakala Ahmad Syafik sebanyak 48.3 % dalam satu pilihanraya demokrasi pertama dalam sejarah Mesir.

Ikram turut mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Mesir yang telah memilih calon Ikhwan sebagai Presiden baru bukan hanya untuk kelompok tertentu bahkan mewakili seluruh bangsa Mesir samada Muslim mahupun Koptik Kristian.

Sesungguhnya kita semua harus meyakini bahawa ini adalah satu rahmat dan pertolongan Allah SWT selepas 83 tahun perjuangan Ikhwanul Muslimun yang diasaskan oleh Imam Syahid Hassan Al-Banna melalui satu tempoh yang lama dan zaman penuh gelora.

Pelbagai tekanan, sekatan, pemenjaraan, penyiksaan dan pembunuhan yang dilakukan oleh Regim Mesir yang terdahulu terhadap pemimpin dan anggota Ikhwanul Muslimun tidak pernah melemahkan tekad perjuangan mereka. Mereka juga berjaya memimpin rakyat bersama-sama seluruh bangsa Mesir dalam Revolusi 25 Januari 2011 yang menyaksikan sejarah dunia tumbangnya pemerintahan Hosni Mubarak yang kini merengkok di dalam penjara seumur hidup atas kekejaman dan kezaliman yang telah dilakukannya.

Ikram berdoa dan menyeru agar seluruh warga dunia dan masyarakat antarabangsa memberi pengiktirafan kepada rakyat Mesir yang telah membuat pemilihan yang sah mengikut perlembagaan Mesir.

Ikram berpandangan pihak Majlis Tentera Mesir (SCAF) wajar mengembalikan semula kuasa Presiden sepenuhnya, memulangkan hak dan kuasa Parlimen untuk menggubal perlembagaan, menjamin kebebasan rakyat serta mewujudkan kestabilan dan memulihkan harapan negara Mesir yang baru.

Kepada Allah SWT kita rafakkan kesyukuran dan kepada-Nya kita kembalikan segala urusan.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad 
Presiden
Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)

24 June 2012

Ikram Siswa Tertubuh di Universiti Malaya

Alhamdulillah, pada hari Sabtu 23 Jun 2012, dengan rasmi telah tertubuh IKRAM Siswa Universiti Malaya (UM).

Dianjurkan oleh IKRAM Petaling Jaya (PJ) dan dibantu oleh IKRAM Lembah Pantai, mesyuarat yang bermula pada jam 9 pagi diadakan di Pejabat IKRAM PJ di Taman Seri Manja, Petaling Jaya. Mesyuarat dihadiri ahli-ahli Ikram Siswa UM, para pemerhati dan jemputan, serta dipengerusikan oleh al-Akh Mohd Syariffudin Abu Kasim daripada Ikram Lembah Pantai.

Para hadirin dan jemputan mesyuarat menyanyikan Lagu Ikram
Ucapan oleh Ketua Unit IPT Ikram Petaling Jaya, Dr Eshamsul Sulaiman


Setelah ucapan aluan oleh pengerusi mesyuarat dan ucapan oleh Ketua Unit IPT Dr Eshamsul Sulaiman, perasmian mesyuarat disempurnakan oleh jemputan istimewa al-Ustaz Alias Othman selaku yang juga Ahli Lembaga Timbangtara Ikram Pusat.

Ucapan al-Ustaz Alias Othman

Seterusnya pemilihan mesyuarat diadakan dengan lancar, dan mesyuarat telah memilih barisan kepimpinan Ikram Siswa UM bagi sesi 2012/13 yang berikut:


Pengerusi: Muhamamd Talhah bin Ajmain
Timbalan Pengerusi: Muhammad Amin bin Mohd Hanifah
Naib Pengerusi 1: Muhammad Izzat bin Ismail
Naib Pengerusi 2: Noor  Aminah binti Kamilen
Setiausaha: Muhammad Saiful Islam bin Ahmadon
Bendahari: Nurul Izyan binti Zainuddin


AJK:
Abdul Muhaimin bin Shahriman
Muhammad Syamil bin Dzulfida
Nur Amalina binti Rosli
Nurul Taqwa binti Ismail
Fatimah Azzahra binti Ainullotfi


Penerusi Tetap: Tengku Muhd Ibrahim bin Tengku Ahmad
Timbalan Pengerusi Tetap: Ahmad Muaz bin Muhd Hairi
Pemeriksa Kira-kira: Wan Mustapha Masyhur Wan Abd Razak, Muhammad Saiful Islam bin Ahmadon

Mesyuarat juga mencadangkan 11 orang calon JK Ikram Siswa Pusat, dan 11 orang wakil Ikram Siswa UM ke Mesyuarat Agung Ikram Siswa Pusat.

Mesyuarat juga telah mencadangkan dan membahaskan beberapa usul untuk dibawa ke Mesyuarat Agung IS Pusat. Usul-usul ini berkaitan fokus da'wah di UM, peranan IS Pusat dan Ikram Daerah.

Setelah selesai pemilihan, Pengerusi Ikram Siswa UM pertama al-Akh Muhammad Talhah Ajmain dengan bersemangat menyampaikan ucapan sulungnya yang menyeru ahli-ahli Ikram Siswa UM untuk sama-sama bekerja memikul beban da'wah dan tarbiyyah di kampus bagi mengejar reda Ilahi.

Ucapan oleh Pengerusi Ikram Siswa Universiti Malaya, al-Akh Talhah Ajmain

Mesyuarat diakhiri dengan bacaan doa oleh wakil JKD Ikram PJ al-Akh Mohd Hasyahril Mohd Hashim.

Bagi pihak JK Penaja, kami merasa amat bersyukur dengan terlaksananya langkah bersejarah ini ke arah memacu da'wah di salah satu IPT terulung tanahair. Semoga Allah memberkati mesyuarat dan pemilihan ini, dan seterusnya memberi kami kekuatan untuk terus menggerakkan amanah ini.

Disediakan oleh,
Muhammad Akram Mohd Safian
PIC UM Ikram Petaling Jaya