Kalendar IKRAM PJ

25 June 2012

Kenyataan Media Ikram Terhadap Kemenangan Dr Morsi di Mesir

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)

25 Jun 2012 / 5 Syaaban 1433 H

 
Ucapan Tahniah Buat Dr Mohamed Morsi, Presiden Mesir Yang Baru

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan menzahirkan rasa keyukuran di atas kemenangan Dr Mohammed Morsi Isa' al-Ayyat calon Ikhwanul Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden Mesir mewakili Parti Hizbul Hurriyah wal ‘Adalah atau Freedom and Justice Party (FJP) pada 16 dan 17hb Jun 2012.

Kemenangan beliau yang telah diisytiharkan secara rasmi semalam oleh Farouq Sultan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir pada 24hb Jun 2012 disambut penuh kegembiraan oleh seluruh rakyat Mesir khususnya di Dataran Tahrir. Beliau mendapat sokongan 51.7 % undi manakala Ahmad Syafik sebanyak 48.3 % dalam satu pilihanraya demokrasi pertama dalam sejarah Mesir.

Ikram turut mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Mesir yang telah memilih calon Ikhwan sebagai Presiden baru bukan hanya untuk kelompok tertentu bahkan mewakili seluruh bangsa Mesir samada Muslim mahupun Koptik Kristian.

Sesungguhnya kita semua harus meyakini bahawa ini adalah satu rahmat dan pertolongan Allah SWT selepas 83 tahun perjuangan Ikhwanul Muslimun yang diasaskan oleh Imam Syahid Hassan Al-Banna melalui satu tempoh yang lama dan zaman penuh gelora.

Pelbagai tekanan, sekatan, pemenjaraan, penyiksaan dan pembunuhan yang dilakukan oleh Regim Mesir yang terdahulu terhadap pemimpin dan anggota Ikhwanul Muslimun tidak pernah melemahkan tekad perjuangan mereka. Mereka juga berjaya memimpin rakyat bersama-sama seluruh bangsa Mesir dalam Revolusi 25 Januari 2011 yang menyaksikan sejarah dunia tumbangnya pemerintahan Hosni Mubarak yang kini merengkok di dalam penjara seumur hidup atas kekejaman dan kezaliman yang telah dilakukannya.

Ikram berdoa dan menyeru agar seluruh warga dunia dan masyarakat antarabangsa memberi pengiktirafan kepada rakyat Mesir yang telah membuat pemilihan yang sah mengikut perlembagaan Mesir.

Ikram berpandangan pihak Majlis Tentera Mesir (SCAF) wajar mengembalikan semula kuasa Presiden sepenuhnya, memulangkan hak dan kuasa Parlimen untuk menggubal perlembagaan, menjamin kebebasan rakyat serta mewujudkan kestabilan dan memulihkan harapan negara Mesir yang baru.

Kepada Allah SWT kita rafakkan kesyukuran dan kepada-Nya kita kembalikan segala urusan.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad 
Presiden
Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)

No comments:

Post a Comment