Kalendar IKRAM PJ

23 June 2014

Laporan: Program Meniti Usia Baligh IkramTeens @ Armanee Condo, Damansara Damai


Tim IkramTeens Petaling Jaya telah menganjurkan Program MUB (Meniti Usia Baligh) bersama AJK Surau Kondominium Armanee di Damansara Damai kelmarin, 22 Jun 2014. Program yang diadakan di Surau Konodominium Armanee telah dihadiri seramai 15 orang remaja berusia 12 hingga 15 tahun.

Modul Meniti Usia Baligh yang telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Belia Remaja Ikram Pusat ini memberi persediaan dan ilmu berkenaan reproduksi remaja di awal usia remaja. Antara aspek yang ditekankan di dalam modul ini ialah perbezaan sebelum dan selepas baligh, perubahan selepas baligh, isu pergaulan, aurat dan tanggungan amal selepas baligh dan yang paling menarik, adalah penyerahan taklif antara ibu bapa dan anak-anak pada penghujung program ini.

IkramTeens PJ mengucapkan Jazakumullahu khairan kathira kepada wakil dari IkramTeens Pusat kerana telah hadir pada malam sebelumnya lagi semata-mata memastikan kejayaan program ini. Turut dihargai adalah semua penggerak IkramTeens Petaling Jaya yang telah terlibat sepanjang program di Surau Kondominium Armanee berlangsung.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menganjurkan program MUB di surau atau sekolah di sekitar Petaling Jaya, sila hubungi wakil kami di:

Zon Petaling Jaya Utara: Puan Rahibah Omar ~ 012-6029003
Zon Petaling Jaya Selatan: Ustazah Salina Busrowi ~ 013-3690143
 





 
 


 

22 June 2014

Laporan: JUS Talk! Ramadhan, Al-Quran dan Kita

'JUS Talk!' bulan ini telah berlangsung semalam, 21 Jun 2014 dengan tajuk Ramadhan, Al-Quran dan Kita oleh Ustaz Muhammad Arif bin Yahya. JUS telah dihadiri oleh seramai 25 orang peserta.
 
Di akhir penyampaian, Ustaz telah 'membuka mata' peserta yang hadir dengan video seorang kanak-kanak buta, seorang Hafidz. Beliau menegaskan, kita yang diberi nikmat fizikal dan kesihatan yang sempurna sepatutnya lebih berusaha untuk melazimi Al-Quran di dalam kehidupan seharian kita. Beliau juga mengajak peserta untuk cuba menghabiskan bacaan Al-Quran pada bulan Ramadhan memandangkan fadhilatnya yang besar dan terus membaca serta mentaddabur (memahami maksudnya) sepanjang masa.
 
JUS kali ini telah disertakan dengan aktiviti mengedar risalah Ramadhan dan Jadual Berbuka Puasa di kedai-kedai dan pejabat-pejabat sekitar Pejabat Ikram Petaling Jaya. Lebih dari 100 risalah dan Jadual Berbuka Puasa telah diedarkan para peserta yang hadir.
 
Bukan setakat itu, Jualan Amal untuk Palestin dan Syria dari ejen Kurma Medjoul Palestin dan Ikram Junior juga turut memeriahkan program ini.
 
Penganjur JUS Talk PJ mengucapkan Jazakumullaahu khairan kathira kepada semua peserta yang hadir juga kepada ahli-ahli yang telah menjayakan JUS Talk! kali ini. Selamat Menyambut Ramadhan 1435H. Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lepas, Insya Allah.


 

 

 

18 June 2014

Laporan: Jaulah Ikram PJ ke Dungun

Program Jaulah Ikhwah Ikram PJ telah dilaksanakan dengan jayanya pada 6 hingga 8 Jun 2014 yang lalu. Bertemakan 'Sotong Dicandat, Ukhuwah Dierat', kali ini ikhwah berjaulah ke Pantai Timur di Dungun, Terengganu. Seramai 42 orang peserta dari kalangan dewasa, belia, pelajar IPT dan juga remaja mengikuti jaulah ini.

Dengan bas yang disewa khas, rombongan bertolak dari Masjid Negeri, Shah Alam pada jam 11 malam pada Jumaat 6 Jun, dan tiba di Dungun sebaik sahaja sebelum Subuh pada keesokan harinya. Para peserta ditempatkan di sebuah chalet di Kampung Sura Gate yang amat hampir dengan pantai. Setelah menunaikan Subuh berjamaah di masjid berhampiran, para peserta membaca zikir al-Ma'thurat di atas pantai, sebelum dihidangkan sarapan pagi oleh tuan rumah dengan nasi lemak yang amat menyelerakan.

Seterusnya para peserta menjalani aktiviti pantai - mandi laut, snorkeling dan juga menyelam scuba. Pada waktu petangnya para peserta melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan bergotong-royong membersihkan masjid.

Dengan kehendak Allah, aktiviti yang dinanti-nanti iaitu mencandat sotong pada malam itu terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca laut yang tidak mengizinkan. Dan program waktu malam digantikan dengan aktiviti memasak BBQ (dapat juga sekurang-kurangnya merasa sotong bakar!).

Pada keesokan harinya para peserta diuji kebolehan minda, kreativiti dan semangat berpasukan dengan beberapa aktiviti team building, sebelum bertolak balik ke Petaling Jaya dengan seribu kenangan.

Admin
























  






















Foto ehsan: Akram Safian, Mohd Noor Said, Wan Aiman Khudzri