SEMINAR WANITA DAN SYARIAH
Memupuk Sakinah, Menyubur Mawaddah Dan Rahmah
Sabtu, 1 Februari 2014 bersamaan 1 Rabiul Akhir 1435 telah berlangsung Seminar Wanita dan Syariah dengan tema Memupuk Sakinah, Menyubur Mawaddah dan Rahmah yang dijayakan bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia Daerah Petaling Jaya, Masjid Tun Abdul Aziz dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) bertempat di Dewan Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kehadiran peserta seramai lebih kurang 190 orang melibatkan pelajar sekolah menengah, IPT sehingga dewasa. Seminar dimulakan seawal jam 9.00 pagi dengan Aluan Pengerusi Majlis Ustazah Salina bt Busrowi seterusnya dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Roohaida bt Othman, Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Selangor.
Ucaptama disampaikan oleh Ustazah Maznah bt Daud, Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan tajuk Generasi XYZ: Ke Mana Kita? Di Mana Kita?
Antara intipati ucaptama:
Gen X : banyak NO,
Gen Y : banyak tanya dan
Gen Z : banyak tidur serta duduk dalam dunianya sendiri.
Ustazah memulakan bicara dengan mengambil pengajaran dari surah Ar-Ruum ayat 21 dan Surah al-Fajr bahawa Sakinah atau ketenangan itu adalah fitrah yang diperlukan oleh semua tidak mengira generasi.
Enam langkah untuk mencapai Sakinah iaitu:
- Niat yang betul dalam perkahwinan untuk membolehkan perlaksanaan amal-amal lain dengan lebih sempurna dan BUKAN untuk mencapai matlamat percintaan yang dah lama disemai;
- Ukhuwwah filLah;
- Thiqah mutabadilah bukan cemburu buta;
- Saling bermaafan-maafan dan mohon reda kerana pasangan itu bukan malaikat tetapi manusia yang serba kekurangan;
- Ikhlas dalam menunaikan tanggungjawab;
- Sedari siapa anda di sisinya.
* Sakinah dalam rumah tangga bukan anugerah bersifat kekal... Ia akan berkurang atau bertambah, dan perlu berusaha untuk mendapatkannya.
Majlis diserikan dengan sesi Bual Bicara yang menampilkan dua panel yang tidak kurang hebatnya iaitu
Ahmad Shafiai bin Uda Jaafar (Pak Utih) seorang konsultan / perunding dan Puan Azlina Roszy bin Mohd Ghaffar (pakar psikologi klinikal). Hos Bual Bicara menampilkan tokoh muda yang berkarisma dan berbakat besar iaitu Ustaz Halim Hafidz.
Pada pusingan pertama, Puan Azlina Roszy berkongsi tentang Remaja Malaysia & Internet serta senario semasa. Selanjutnya pada pusingan kedua mengemukakan perkongsian tentang kehidupan moden kini yang lebih banyak tekanan sekalipun dengan alat-alat canggih dapat mempermudahkan tugasan. Beliau menyatakan tanggungjawab ibu bapa adalah membangunkan jiwa selari dengan kandungan surah al-Fajr.
Akhirnya Puan Azlina menyimpulkan dengan 10 bahasa negatif yang perlu dijauhi dalam mendidik anak-anak iaitu:
1. Bahasa melaknat;
2. Bahasa menyindir;
3. Membanding-bandingkan anak-anak dengan sesiapa jua;
4. Bahasa mengungkit;
5. Bahasa dusta;
6. Bahasa tempelak;
7. Bahasa yang menghina;
8. Bahasa menuduh;
9. Bahasa bisu; dan
10. Bahasa membebel.
*Maka berakhlaklah seperti ahli syurga.
Pak Utih pula berkongsi tentang perbezaan antara lelaki dan wanita, cabaran hidup berkeluarga dan akhirnya hala tuju rumah tangga adalah syurga.
Semoga Seminar ini memberi manfaat kepada semua dan sehingga ke temu lagi di lain ketika. SYABAS.
No comments:
Post a Comment