Kenyataan Media Sempena Seminar Wanita Dan Syari'ah PJ 1/2014
Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya,
Jawatankuasa Wanita Masjid Tun Abdul Aziz dan Persatuan Mahasiswa Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya mengambil peduli terhadap peningkatan jenayah
sosial yang berlaku dalam sesebuah institusi keluarga. Dalam seminggu dua
kebelakangan ini, berita-berita yang dipaparkan di dalam media cetak dan juga
elektronik adalah berkait dengan diantaranya pembunuhan anak-anak di bawah
umur, mukadimah zina yang melibatkan seorang yang berkedudukan, suami
menjadikan isteri semacam filem lucah, anak-anak dilatih untuk mencuri kerana
kesempitan hidup dan yang terbaru ialah pembunuhan anak oleh seorang bapa yang
dikatakan mendapat tekanan mental atau mungkin disebabkan tekanan hidup.
Terdapat banyak lagi kes-kes berat yang berpotensi menggugat sesebuah institusi
keluarga di mana jika disenaraikan ia merangkumi perlakuan-perlakuan yang
melayakkan runtuhnya peradaban terdahulu. Fenomena ini amat membimbangkan
kerana ia memberi gambaran seolah-seolah tiada lagi nilai, etika dan norma yang
menjadi pegangan atau wujudnya kecelaruan fahaman.
Kurun ini sangat mencabar dengan tuntutan
sosio-ekonomi mendominasi keperluan hidup manusia moden. Globalisasi serta
perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi pula berjaya mencorak
kehidupan. Sebagai contoh, generasi X, Y dan Z hari ini sangat terkesan dengan
khususnya dunia siber. Sikap dan cara berfikir berbeza yang terhasil akan
mewujudkan jurang generasi jika tidak ditangani dengan betul. Gaya hidup
materialistik pula seolah-olah menghalalkan apa jua bentuk transaksi dan
perlakuan. Bilangan gologan muda yang terjebak dengan bahana kad kredit juga
meningkat lantas menggugat keharmonian keluarga. Manakala tuntutan kerjaya di
kalangan pasangan yang berkerjaya telah mengurangkan masa berkualiti yang
diperuntukkan kepada anak-anak dari aspek pendidikan dan hubungan kekeluargaan.
Malah tambah menyedihkan lagi, kehadiran anak-anak tidak dirasai manakala
gajet-gajet yang serba canggih menjadi pengganti teman sosial. Sementara itu,
atuk dan nenek di kampung semakin merasa terpinggir hatta yang tinggal bersama
pun tidak disantuni dan dihormati sepatutnya. Penyakit dan jenayah sosial yang
melibatkan anggota keluarga seperti keganasan terhadap anggota keluarga,
pornografi, penzinaan, pergaulan bebas, rogol, penagihan, pengguguran dan
pembuangan bayi di kalangan remaja, salah laku seks, vandalisme, gengsterisme,
rompakan, penculikan dan pembunuhan boleh meruntuhkan sesebuah institusi
keluarga.
Paparan di atas adalah di antara faktor
penghalang hatta berupaya menggagalkan kewujudan keluarga, masyarakat dan
seterusnya peradaban sejahtera. Pembangunan peradaban perlu diasaskan kepada
keluarga yang sejahtera. Setiap anggota keluarga mesti memahami serta memainkan
tanggungjawab masing-masing dengan memenunaikan hak-hak anggota dalam keluarga
terbabit sebagaimana yang telah disyari’atkan. Selari dengan itu, pendidikan
yang sempurna serta kesejahteraan aqidah perlu diutamakan. Masyarakat
mendambakan ketenangan di mana anggota di dalamnya dilimpahi dengan kasih sayang,
disantuni dengan sopan, hormat dan lemah lembut dan dibelai manja dengan
perasaan belas kasihan. Peradaban yang ditunjangi oleh masyarakat sejahtera
berupaya untuk membangunkan aspek agama dan kerohanian, ibadah dan muamalah,
perundangan dan keadilan, politik dan pemerintahan, pendidikan dan keilmuan,
bahasa dan kesusasteraan, seni dan kebudayaan, pemakanan dan kesihatan, sains
dan teknologi, ekonomi serta alam sekitar yang membawa rahmat keseluruh alam.
Anggaplah kita berusaha untuk mencipta syurga di dunia sebelum berpeluang
menikmati syurga di akhirah.
Justeru, sebagai langkah untuk
merealisasikannya satu Seminar Wanita dan Syariah yang memberi fokus kepada
kesejahteraan keluarga akan dianjurkan. Seminar yang bertemakan ‘Memupuk
Sakinah, Menyubur Mawaddah dan Rahmah’ akan diadakan pada 1 Februari 2014 di
Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam. Program setengah hari ini akan
diisi dengan pembentangan ucaputama dengan tajuk ‘Gen X, Y, Z : Di Mana Kita,
Ke Mana Kita’ yang membicarakan dari perspektif syari’ah kedudukan keluarga,
tanggungjawab dan hak serta maksud keluarga sejahtera dan kesan kepada
pembentukan masyarakat dan peradaban di mana kedudukan generasi X, Y, Z akan
disentuh. Ia akan disusuli dengan satu bualbicara yang akan berkisar sekitar
tajuk ‘Yang Muda diSayangi, Yang Tua diSantuni’ yang akan lebih tertumpu kepada
senario kekeluargaan hari ini dan seterusnya menyarankan langkah-langkah
menangani permasalahan yang wujud untuk membentuk keluarga sejahtera.
Objektif yang hendak dicapai oleh Seminar
Wanita dan Syariah ini adalah :
- Mendedahkan konsep, prinsip dan tanggungjawab kekeluargaan dari perspektif Syariah
- Meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan kesejahteraan dalam keluarga terhadap pembangunan masyarakat dan seterusnya peradaban
- Memberi pendedahan dan kefahaman tentang kesan hubungan kekeluargaan yang longgar terhadap pembangunan masyarakat dan seterusnya peradaban
Seminar ini juga mengaitkan Wanita dengan
Syari'ah adalah kerana:
- Masyarakat khususnya wanita perlu dimesrakan dengan Syari'ah dan ia juga sebagai usaha untuk mempopularkan serta membiasakan masyarakat dengan Syariah
- Ia adalah satu usaha untuk membuang pandangan negatif terhadap Syariah. Syariah sering disalah fahami sebagai hudud sahaja, berunsur barbaric, mundur (ketinggalan zaman), tiada kebebasan, serius seperti hiburan tidak dibenarkan, tiada pembicaraan tentang hal-hal keduniaan dan lain-lain lagi.
- Seminar ini berhasrat untuk memperkenalkan Syariah dalam skop yang lebih luas, inklusif dan bertetapan dan selari dengan nilai-nilai universal,
- Ingin memberi kefahaman bahawa Syari'ah itu adalah tatacara mengendalikan seluruh aspek kehidupan (muamalah, ibadah, jenayah, munakahat, politik, undang-undang termasuk hudud) dengan mengenengahkan/menekankan prinsip-prinsip seperti keadilan, hikmah, membawa rahmah dan memberi kebaikan. Dengan erti kata lain, Syari'ah adalah tidak bertentangan dengan hak-hak asasi kemanusiaan.
Justeru, Slot 1 (ucap utama) iaitu Kenali
Syariah, biasanya mengenegahkan pandangan Syariah terhadap isu yang menjadi
fokus seminar seperti anak muda & cabaran globalisasi, wanita & kerjaya
dan untuk kali ini keluarga sejahtera & hak/tanggungjawab.
Secara umum, objektif perkaitan Wanita dan
Syari'ah ialah: Wanita kenal dan seterusnya menerima Syari’ah, manakala secara
khususnya ialah :
- Wanita Islam mengamalkan Syari’ah sebagai satu tatacara untuk mengendalikan seluruh aspek kehidupan,
- Wanita belum Islam menyokong perlaksanaan Syari'ah.
Sehubungan dengan ini, kami menyeru semua
anggota masyarakat serta yang berwajib untuk memainkan peranan masing-masing
yang saling lengkap melengkapi sebagaimana yang digariskan menurut skop
penguasaan bidang masing-masing.
Dr Nor Zalmiah Jahidin
Penasihat Seminar Wanita dan Syari’ah
1/2014
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Jaringan,
Wanita & Syari’ah
Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya
31 Januari 2014
No comments:
Post a Comment