Kalendar IKRAM PJ

22 February 2014

Montaj Foto Seminar Wanita & Syariah 1 Feb 2014

Saksikan montaj foto yang merakamkan kenangan di Seminar Wanita & Syariah "Memupuk Sakinah, Menyubur Mawaddah Dan Rahmah" pada 1 Feb 2014 yang lalu.

17 February 2014

Program Kerohanian Remaja - KASIH

Gambar-gambar di sekitar Program Kerohanian Remaja KASIH anjuran bersama MBPJ, IKRAMTeens Petaling Jaya dan Masjid Tun Abdul Aziz ('Masjid Bulat') Seksyen 14 Petaling Jaya.













Foto-foto ehsan: Al-Ustaz Murshid Kassim, Al-Ustazah Hanida Abdull Samat, Al-Ustaz Muhammad Arif Yahya.

05 February 2014

Seminar Wanita Dan Syariah: Memupuk Sakinah, Menyubur Mawaddah Dan Rahmah

SEMINAR WANITA DAN SYARIAH
Memupuk Sakinah, Menyubur Mawaddah Dan Rahmah


Sabtu, 1 Februari 2014 bersamaan 1 Rabiul Akhir 1435 telah berlangsung Seminar Wanita dan Syariah dengan tema Memupuk Sakinah, Menyubur Mawaddah dan Rahmah yang dijayakan bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia Daerah Petaling Jaya, Masjid Tun Abdul Aziz dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) bertempat di Dewan Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kehadiran peserta seramai lebih kurang 190 orang melibatkan pelajar sekolah menengah, IPT sehingga dewasa. Seminar dimulakan seawal jam 9.00 pagi dengan Aluan Pengerusi Majlis Ustazah Salina bt Busrowi seterusnya dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Roohaida bt Othman, Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Selangor.

Ucaptama disampaikan oleh Ustazah Maznah bt Daud, Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan tajuk Generasi XYZ: Ke Mana Kita? Di Mana Kita?

Antara intipati ucaptama:
Gen X : banyak NO,
Gen Y : banyak tanya dan
Gen Z : banyak tidur serta duduk dalam dunianya sendiri.

Ustazah memulakan bicara dengan mengambil pengajaran dari surah Ar-Ruum ayat 21 dan Surah al-Fajr bahawa Sakinah atau ketenangan  itu adalah fitrah yang diperlukan oleh semua tidak mengira generasi.

Enam langkah untuk mencapai Sakinah iaitu:

  1. Niat yang betul dalam perkahwinan untuk membolehkan perlaksanaan amal-amal lain dengan lebih sempurna dan BUKAN untuk mencapai matlamat percintaan yang dah lama disemai;
  2. Ukhuwwah filLah;
  3. Thiqah mutabadilah bukan cemburu buta;
  4. Saling bermaafan-maafan dan mohon reda kerana pasangan itu bukan malaikat tetapi manusia yang serba kekurangan;
  5. Ikhlas dalam menunaikan tanggungjawab;
  6. Sedari siapa anda di sisinya.

* Sakinah dalam rumah tangga bukan anugerah bersifat kekal... Ia akan berkurang atau bertambah, dan perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Majlis diserikan dengan sesi Bual Bicara yang menampilkan dua panel yang tidak kurang hebatnya iaitu
Ahmad Shafiai bin Uda Jaafar (Pak Utih) seorang konsultan / perunding dan Puan Azlina Roszy bin Mohd Ghaffar (pakar psikologi klinikal). Hos Bual Bicara menampilkan tokoh muda yang berkarisma dan berbakat besar iaitu Ustaz Halim Hafidz.

Pada pusingan pertama, Puan Azlina Roszy berkongsi tentang Remaja Malaysia & Internet serta senario semasa. Selanjutnya pada pusingan kedua mengemukakan perkongsian tentang kehidupan moden kini yang lebih banyak tekanan sekalipun dengan alat-alat canggih dapat mempermudahkan tugasan. Beliau menyatakan tanggungjawab ibu bapa adalah membangunkan jiwa selari dengan kandungan surah al-Fajr.

Akhirnya Puan Azlina menyimpulkan dengan 10 bahasa negatif yang perlu dijauhi dalam mendidik anak-anak iaitu:
1. Bahasa melaknat;
2. Bahasa menyindir;
3. Membanding-bandingkan anak-anak dengan sesiapa jua;
4. Bahasa mengungkit;
5. Bahasa dusta;
6. Bahasa tempelak;
7. Bahasa yang menghina;
8. Bahasa menuduh;
9. Bahasa bisu; dan
10. Bahasa membebel.

*Maka berakhlaklah seperti ahli syurga.

Pak Utih pula berkongsi tentang perbezaan antara lelaki dan wanita, cabaran hidup berkeluarga dan akhirnya hala tuju rumah tangga adalah syurga.

Semoga Seminar ini memberi manfaat kepada semua dan sehingga ke temu lagi di lain ketika. SYABAS.

01 February 2014

Kenyataan Media Sempena Seminar Wanita Dan Syari'ah PJ 1/2014


Kenyataan Media Sempena Seminar Wanita Dan Syari'ah PJ 1/2014

Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya, Jawatankuasa Wanita Masjid Tun Abdul Aziz dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya mengambil peduli terhadap peningkatan jenayah sosial yang berlaku dalam sesebuah institusi keluarga. Dalam seminggu dua kebelakangan ini, berita-berita yang dipaparkan di dalam media cetak dan juga elektronik adalah berkait dengan diantaranya pembunuhan anak-anak di bawah umur, mukadimah zina yang melibatkan seorang yang berkedudukan, suami menjadikan isteri semacam filem lucah, anak-anak dilatih untuk mencuri kerana kesempitan hidup dan yang terbaru ialah pembunuhan anak oleh seorang bapa yang dikatakan mendapat tekanan mental atau mungkin disebabkan tekanan hidup. Terdapat banyak lagi kes-kes berat yang berpotensi menggugat sesebuah institusi keluarga di mana jika disenaraikan ia merangkumi perlakuan-perlakuan yang melayakkan runtuhnya peradaban terdahulu. Fenomena ini amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran seolah-seolah tiada lagi nilai, etika dan norma yang menjadi pegangan atau wujudnya kecelaruan fahaman.

Kurun ini sangat mencabar dengan tuntutan sosio-ekonomi mendominasi keperluan hidup manusia moden. Globalisasi serta perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi pula berjaya mencorak kehidupan. Sebagai contoh, generasi X, Y dan Z hari ini sangat terkesan dengan khususnya dunia siber. Sikap dan cara berfikir berbeza yang terhasil akan mewujudkan jurang generasi jika tidak ditangani dengan betul. Gaya hidup materialistik pula seolah-olah menghalalkan apa jua bentuk transaksi dan perlakuan. Bilangan gologan muda yang terjebak dengan bahana kad kredit juga meningkat lantas menggugat keharmonian keluarga. Manakala tuntutan kerjaya di kalangan pasangan yang berkerjaya telah mengurangkan masa berkualiti yang diperuntukkan kepada anak-anak dari aspek pendidikan dan hubungan kekeluargaan. Malah tambah menyedihkan lagi, kehadiran anak-anak tidak dirasai manakala gajet-gajet yang serba canggih menjadi pengganti teman sosial. Sementara itu, atuk dan nenek di kampung semakin merasa terpinggir hatta yang tinggal bersama pun tidak disantuni dan dihormati sepatutnya. Penyakit dan jenayah sosial yang melibatkan anggota keluarga seperti keganasan terhadap anggota keluarga, pornografi, penzinaan, pergaulan bebas, rogol, penagihan, pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan remaja, salah laku seks, vandalisme, gengsterisme, rompakan, penculikan dan pembunuhan boleh meruntuhkan sesebuah institusi keluarga.

Paparan di atas adalah di antara faktor penghalang hatta berupaya menggagalkan kewujudan keluarga, masyarakat dan seterusnya peradaban sejahtera. Pembangunan peradaban perlu diasaskan kepada keluarga yang sejahtera. Setiap anggota keluarga mesti memahami serta memainkan tanggungjawab masing-masing dengan memenunaikan hak-hak anggota dalam keluarga terbabit sebagaimana yang telah disyari’atkan. Selari dengan itu, pendidikan yang sempurna serta kesejahteraan aqidah perlu diutamakan. Masyarakat mendambakan ketenangan di mana anggota di dalamnya dilimpahi dengan kasih sayang, disantuni dengan sopan, hormat dan lemah lembut dan dibelai manja dengan perasaan belas kasihan. Peradaban yang ditunjangi oleh masyarakat sejahtera berupaya untuk membangunkan aspek agama dan kerohanian, ibadah dan muamalah, perundangan dan keadilan, politik dan pemerintahan, pendidikan dan keilmuan, bahasa dan kesusasteraan, seni dan kebudayaan, pemakanan dan kesihatan, sains dan teknologi, ekonomi serta alam sekitar yang membawa rahmat keseluruh alam. Anggaplah kita berusaha untuk mencipta syurga di dunia sebelum berpeluang menikmati syurga di akhirah.

Justeru, sebagai langkah untuk merealisasikannya satu Seminar Wanita dan Syariah yang memberi fokus kepada kesejahteraan keluarga akan dianjurkan. Seminar yang bertemakan ‘Memupuk Sakinah, Menyubur Mawaddah dan Rahmah’ akan diadakan pada 1 Februari 2014 di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam. Program setengah hari ini akan diisi dengan pembentangan ucaputama dengan tajuk ‘Gen X, Y, Z : Di Mana Kita, Ke Mana Kita’ yang membicarakan dari perspektif syari’ah kedudukan keluarga, tanggungjawab dan hak serta maksud keluarga sejahtera dan kesan kepada pembentukan masyarakat dan peradaban di mana kedudukan generasi X, Y, Z akan disentuh. Ia akan disusuli dengan satu bualbicara yang akan berkisar sekitar tajuk ‘Yang Muda diSayangi, Yang Tua diSantuni’ yang akan lebih tertumpu kepada senario kekeluargaan hari ini dan seterusnya menyarankan langkah-langkah menangani permasalahan yang wujud untuk membentuk keluarga sejahtera.

Objektif yang hendak dicapai oleh Seminar Wanita dan Syariah ini adalah :
  1. Mendedahkan konsep, prinsip dan tanggungjawab kekeluargaan dari perspektif Syariah
  2. Meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan kesejahteraan dalam keluarga terhadap pembangunan masyarakat dan seterusnya peradaban
  3. Memberi pendedahan dan kefahaman tentang kesan hubungan kekeluargaan yang longgar terhadap pembangunan masyarakat dan seterusnya peradaban

Seminar ini juga mengaitkan Wanita dengan Syari'ah adalah kerana:
  1. Masyarakat khususnya wanita perlu dimesrakan dengan Syari'ah dan ia juga sebagai usaha untuk mempopularkan serta membiasakan masyarakat dengan Syariah
  2. Ia adalah satu usaha untuk membuang pandangan negatif terhadap Syariah. Syariah sering disalah fahami sebagai hudud sahaja, berunsur barbaric, mundur (ketinggalan zaman), tiada kebebasan, serius seperti hiburan tidak dibenarkan, tiada pembicaraan tentang hal-hal keduniaan dan lain-lain lagi.
  3. Seminar ini berhasrat untuk memperkenalkan Syariah dalam skop yang lebih luas, inklusif dan bertetapan dan selari dengan nilai-nilai universal,
  4. Ingin memberi kefahaman bahawa Syari'ah itu adalah tatacara mengendalikan seluruh aspek kehidupan (muamalah, ibadah, jenayah, munakahat, politik, undang-undang termasuk hudud) dengan mengenengahkan/menekankan prinsip-prinsip seperti keadilan, hikmah, membawa rahmah dan memberi kebaikan. Dengan erti kata lain, Syari'ah adalah tidak bertentangan dengan hak-hak asasi kemanusiaan.

Justeru, Slot 1 (ucap utama) iaitu Kenali Syariah, biasanya mengenegahkan pandangan Syariah terhadap isu yang menjadi fokus seminar seperti anak muda & cabaran globalisasi, wanita & kerjaya dan untuk kali ini keluarga sejahtera & hak/tanggungjawab.

Secara umum, objektif perkaitan Wanita dan Syari'ah ialah: Wanita kenal dan seterusnya menerima Syari’ah, manakala secara khususnya ialah :
  1. Wanita Islam mengamalkan Syari’ah sebagai satu tatacara untuk mengendalikan seluruh aspek kehidupan,
  2. Wanita belum Islam menyokong perlaksanaan Syari'ah.

Sehubungan dengan ini, kami menyeru semua anggota masyarakat serta yang berwajib untuk memainkan peranan masing-masing yang saling lengkap melengkapi sebagaimana yang digariskan menurut skop penguasaan bidang masing-masing.

Dr Nor Zalmiah Jahidin
Penasihat Seminar Wanita dan Syari’ah 1/2014
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Jaringan, Wanita & Syari’ah
Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya

31 Januari 2014