Kalendar IKRAM PJ

18 December 2013

Mukhayyam Khidmat Masyarakat Ikram PJ 2013 - Membantu Mangsa Banjir di Kuantan




Mukhayyam Khidmat Masyarakat Ikram PJ 2013 telah dijalankan dengan jayanya pada 14 dan 15 Disember 2013 (hari Sabtu dan Ahad). Mukhayyam kali ini adalah berlainan daripada yang sebelumnya kerana ia memfokuskan kepada khidmat masyarakat dengan membantu mangsa-mangsa banjir di Kuantan, Pahang Darul Makmur. Mukhayyam ini adalah anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Petaling Jaya serta mendapat kerjasama dan sumbangan daripada Pejabat ADUN Taman Medan.

Bertemakan 'Rahmat Untuk Alam, Mukhayyam Khidmat Masyarakat ini telah disertai oleh 47 orang ahli-ahli dan sukarelawan Ikram PJ (aktiviti masyarakat turut disertai oleh seramai 18 orang wanita daripada Ikram PJ). Tempat yang menjadi tumpuan bantuan kumpulan mukhayyam adalah Kampung Tiram, Kuantan.

Sumbangan yang telah disampaikan oleh misi kemanusiaan kali ini adalah dalam beberapa bentuk:
  • Bantuan tenaga kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Tiram, Kuantan. Antara tugasan-tugasan yang telah dilakukan termasuk membersih dan mengemas rumah-rumah, mengedar dan menyampaikan sumbangan-sumbangan. Sebanyak lebih kurang 10 buah rumah telah dapat dibantu dengan cara ini sepanjang dua hari aktiviti kemasyarakatan dijalankan di sana. 
  • Sumbangan barangan keperluan seperti pakaian, makanan, air minuman, selimut, alatan mengemas rumah dan lampin bayi. 
  • Sumbangan kewangan berjumlah RM 5,500 yang telah disampaikan secara terus dan juga melalui Ikram Daerah Kuantan. 




Beberapa kenderaan telah turut membawa sumbangan-sumbangan ini termasuk sebuah lori 3 tan dan dua buah trak Hilux. Sumbangan-sumbangan telah diterima daripada pelbagai pihak, termasuk:

  • Ahli-ahli Ikram PJ
  • Pejabat ADUN Taman Medan
  • Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar
  • Persatuan Pekerja Islam PPUM
  • Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan kumpulan Titian Kasih 
  • Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Damansara
  • Individu-individu



Selain daripada aktiviti kemasyarakatan, peserta mukhayyam juga telah menjalankan aktiviti-aktiviti berkumpulan yang bersifat menyemai ukhuwah dan gerakerja berkumpulan seperti permainan pantai (di Pantai Teluk Chempedak), persembahan seni berkumpulan (bertemakan sahabat Rasulullah SAW) dan senaman berkumpulan. Sebuah ta'alim bertajuk 'Rahmat Untuk Alam' telah disampaikan oleh Al-Ustaz Ahmad Fauzi bin Asmuin pada pagi hari kedua mukhayyam. 

Semangat ukhuwah, keprihatinan dan kasih sayang dapat dilihat di sepanjang dua hari mukhayyam berlangsung. Peserta dan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur - yang paling muda berumur 13 tahun sehingga yang berumur hampir 50 - mereka berganding bahu membantu membantu mangsa banjir, dan seterusnya mereka juga berebut bolasepak di aktiviti permainan. 

Alhamdulillah dengan sokongan penganjur, penyumbang, ahli-ahli dan para sukarelawan, serta berkat doa daripada, program Mukhayyam Ikram PJ “Misi Bantuan Banjir Kuantan” ini telah dapat dijalankan dalam keadaan baik dan selamat. Semoga mukhayyam ini dapat mencapai objektifnya yang tertinggi iaitu untuk mendekatkan diri para peserta dengan Allah, serta meringankan beban masyarakat yang telah disantuni.

JK Media Ikram PJ
Mukhayyam 2013
























 














































































No comments:

Post a Comment