Kalendar IKRAM PJ

07 December 2013

Ikram PJ Membantu Mangsa Banjir Pahang dan Terengganu

Petaling Jaya, Sabtu, 7 Disember 2013

Kejadian banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur dan mendatangkan ujian kepada rakyatnya telah membangkitkan usaha-usaha bantuan kecemasan daripada seluruh negara. Ikram PJ juga telah menggerakkan ahli-ahlinya dan masyarakat sekitar Petaling Jaya bagi menyokong usaha ini.

Di antara usaha-usaha yang digerakkan oleh Ikram PJ termasuk mengutip pelbagai bentuk sumbangan daripada ahli-ahli dan orang ramai. Sehingga hari ini lebih kurang RM 10 ribu telah berjaya dikutip oleh Ikram PJ untuk disalurkan ke misi bantuan mangsa banjir. Ini termasuk lebih RM 2,600 yang diterima daripada kutipan di Surau Nurul Iman Saujana Puchong, RM 4,300 daripada Surau Ad-Deeniah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), RM 2 ribu daripada Ikram Petaling Jaya dan selebihnya daripada individu-individu dan kutipan lain.



Ahli-ahli juga telah mengumpulkan bantuan lain dalam bentuk pakaian, makanan dan keperluan asas lain seperti lampin bayi dan selimut. Barang-barang ini dikumpulkan dan dibungkus di pejabat Ikram PJ, sebelum dihantar ke tempat kejadian. 






Rombongan misi kemanusiaan Ikram PJ (di bawah nama i-Bantu Ikram Petaling Jaya) yang diketuai oleh En Shahrudin Omar telah bertolak ke Kuantan, Pahang pada pagi Sabtu 7 Disember. Rombongan ini disertai oleh 11 orang sukarelawan dan tiga kenderaan yang membawa pelbagai barang bantuan seperti pakaian, makanan, lampin bayi dan peralatan mencuci. Dengan koordinasi Ikram Negeri Pahang, pasukan sukarelawan Ikram PJ telah berjaya menyampaikan barang-barang sumbangan dan melakukan tugas-tugas bantuan di sana seperti membersihkan sekolah dan masjid. 



 



 



Selain daripada sumbangan tenaga dan barang-barang keperluan, sumbangan tunai juga telah diberikan kepada mangsa-mangsa kejadian melalui Ikram Negeri Pahang (RM 3,200) dan Ikram Daerah Kemaman (RM 3,200).



Ikram PJ mengucapkan terima kasih dan jazak Allah khaira kepada semua ahli, badan-badan dan orang ramai yang telah tampil menghulurkan bantuan. Diharapkan agar bantuan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban saudara-saudara kita di tempat terbabit.

Ikram PJ masih mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan bagi misi kemanusiaan banjir ini. Sumbangan boleh disampaikan terus kepada Ikram Pahang, Kemaman (maklumat seperti di poster di atas), atau melalui Ketua Misi i-Bantu Ikram PJ En Shahrudin Omar (019-2767704).

Foto-foto ehsan Suraya Sharil, Md Noor Said, Dr Normah Abdullah, Dr Eshamsul Sulaiman, Rosliza Taarif Shah.

No comments:

Post a Comment