Kalendar IKRAM PJ

24 July 2013

Kanak-Kanak Maut Dalam Kereta – Adakah Kebajikan Ahli Keluarga Kita Terpelihara?



KENYATAAN MEDIA  WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

Kanak-Kanak Maut Dalam Kereta – Adakah Kebajikan Ahli Keluarga Kita Terpelihara?


23 Julai 2013

Wanita IKRAM ingin merakamkan ucapan takziah kami kepada keluarga Nawal Iris Samsudin , kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati beberapa hari lepas di Subang Jaya akibat kepanasan selepas tertinggal di dalam kereta. Kita boleh merasakan kesedihan yang dialami oleh keluarga ini selepas kehilangan anak di usia yang begitu kecil. Namun lebih sukar membayangkan bagaimana ibunya boleh terlupa dan meninggalkannya dalam kereta selama lebih dari lima jam. 

Namun ini bukanlah kes yang pertama berlaku di Negara ini. Penelitian rambang laporan di alam maya menunjukkan sejak 2011 sekurang-kurangnya terdapat lima kejadian serupa membabitkan kanak-kanak maut akibat lemas setelah ditinggalkan di dalam kereta oleh ibu bapa atau penjaga mereka. 

Peristiwa ini seharusnya menjadi iktibar kepada semua terutama ibubapa untuk tidak sekali-kali cuai dengan sentiasa memeriksa kenderaan sebelum meninggalkannya. Meninggalkan anak di dalam kereta terbukti mengundang bahaya yang bukan sedikit.

Ibubapa yang didapati cuai seperti ini boleh di didakwa di mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan (membiarkan anak-anak tanpa pengawasan), di bawah seksyen 33 Akta 611 seseorang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Malah yang lebih parah sekiranya terbukti adanya elemen penganiyaan dan pengabaian , mereka boleh didakwa di bawah seksyen 31 akta yang sama yang membawa denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya. 

Seterusnya apa yang menarik perhatian Wanita IKRAM adalah tiga dari lima kes yang dilaporkan sepanjang dua tahun ini membabitkan guru sekolah yang mengatakan bahawa kejadian berlaku daam keadaan mereka sedang bergegas untuk menyiapkan tugasan di sekolah. Yang menjadi persoalannya, adakah guru-guru sekolah kita hari ini tertekan dengan bebanan kerja yang banyak sehingga mengakibatkan mereka boleh terdedah kepada risiko melakukan kecuaian. Adakah kebajikan guru-guru yang mendidik anak-anak kita di sekolah terjaga. Adakah mereka mendapat Keseimbangan Kehidupan Berkerjaya (Work-Life Balance) sebagaimana yang diharapkan .

Adalah penting bahawa kesedaran dan komitmen terhadap Keseimbangan Kehidupan Berkerjaya hendaklah disokong dan didokong oleh semua pihak, daripada Kementerian, Pentadbir, Pengurus serta para pekerja sendiri. Dalam Dasar Keluarga Negara dan Dasar Kanak-kanak Negara, telah jelas dinyatakan bahawa Malaysia memandang penting isu-isu yang membabitkan pembangunan keluarga dan anak-anak yang sejahtera.
Dengan berlakunya kes-kes yang sangat tragik ini, Wanita IKRAM ingin menyarankan agar:
  1. Semua ibubapa berusaha mengamalkan gaya keibubapaan proaktif dan berikhtiar mengambil langkah-langkah keselamatan untuk menjamin kesejahteraan anak-anak mereka 
  2. Kempen kesedaran terhadap keselamatan kanak-kanak mestilah dipertingkatkan di peringkat nasional dan negeri untuk mendidik masyarakat khususnya ibubapa terhadap pentingnya memberi perlindungan kepada kanak-kanak dan cara-cara yang jelas bagi tujuan tersebut.
  3. Walaupun tindakan undang-undang bukan langkah pertama namun penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilakukan untuk memberi pengajaran agar kes-kes yang membabitkan keselamatan kanak-kanak tidak akan berulang.
  4. Isu keseimbangan kehidupan berkerjaya ini harus dijadikan polemik umum untuk membina kesedaran pekerja , majikan dan masyarakat umum terhadap kepentingan isu ini dan seterusnya mendapatkan cadangan penambah baikan ke arah budaya keseimbangan kehidupan berkerjaya yang lebih berkualiti. Wanita IKRAM menggesa agar pihak berwajib meneliti perkara ini supaya kebajikan pekerja, ahli keluarga serta masyarakat amnya terpelihara.
Marilah bersama-sama mendoakan keselamatan rakyat Malaysia dan selamat meneruskan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment