Kalendar IKRAM PJ

31 July 2013

Foto-foto: Imam Muda Gaza Di Sekitar Petaling Jaya




Foto-foto imam muda Gaza Ismail Matar Al-Hafiz di sekitar Petaling Jaya. Beliau adalah sebahagian daripada rombongan imam-imam dari Gaza yang dibawa masuk oleh Aqsa Syarif dan Pertubuhan Ikram Malaysia sempena Ramadan tahun ini.

18 Julai 2013 - Surau Nurul Iman Saujana Puchong




19 Julai 2013 - Masjid Al-Rahman Kg Tunku 









20 Julai 2013 - Masjid Al-Mujahideen Damansara Utama





21 Julai 2013 - Masjid Al-Nur Kg Melayu Subang






28 July 2013

Laporan Bergambar: Remaja Raikan Ramadan (3R) Ikram Petaling Jaya

Program Remaja Raikan Ramadan (3R) Ikram Petaling Jaya telah selamat diadakan pada 20-21 Julai 2013 (Sabtu dan Ahad) di Masjid Tengku Kelana Putera, Kelana Jaya. Ia telah dihadiri oleh seramai 120 orang peserta yang semuanya terdiri daripada kalangan remaja belasan tahun.

Program 3R mensasarkan agar dapat:

  1. Menghidupkan Remaja dengan pengisian bulan Ramadan
  2. Membawa Remaja mendekati Al-Quran
  3. Membimbing para remaja dalam mengenal tanggungjawab sebagai Individu Muslim.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah Qiam, tadarus Al-Qur'an, tazkirah, Explorace dan Ibrah Explorace.

Dikepilkan adalah foto-foto di sepanjang program. Adalah diharapkan para remaja ini mendapat keberkatan Ramadan dan menghayati Al-Qur'an di dalam hidup mereka.










26 July 2013

Perhimpunan Aman Himpunan Solidariti Rakyat Mesir

Di sekitar pembantahan penggulingan Presiden Mursi di Kedutaan Mesir, Kuala Lumpur. Perhimpunan ini dikenali dengan nama Perhimpunan Aman Himpunan Solidariti Rakyat Mesir, pada Jumaat 26 Julai 2013. Ia dianjurkan oleh Ikram, Abim, Haluan, (HALUAN), parti politik dan NGo-NGO Islam lain.

Disertakan adalah foto-foto yang diambil oleh ahli-ahli Ikram yang menyertai perhimpunan ini.












Iftar Perdana ADUN Taman Medan Bersama Sukarelawan, OKU dan PTRS

Gambar-gambar di sekitar majlis Iftar Perdana ADUN Taman Medan bersama Sukarelawan, OKU dan PTRS. Majlis diadakan pada hari Khamis 25 Julai 2013 di SRA Taman Medan 2.

Majlis turut dihadiri oleh para sukarelawan daripada Ikram PJ. Selain iftar, solat Maghrib, Isya' dan Tarawih berjemaah turut diadakan. Al-Ustaz Fauzi Asmuin YDP Ikram Petaling Jaya telah menyampaikan tazkirah Ramadan, sebelum majlis sumbangan kepada OKU. Majlis diakhiri dengan jamuan moreh.






[Foto ehsan: Sdr Hasyahril, Sdr Sufyan]

24 July 2013

Kanak-Kanak Maut Dalam Kereta – Adakah Kebajikan Ahli Keluarga Kita Terpelihara?



KENYATAAN MEDIA  WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

Kanak-Kanak Maut Dalam Kereta – Adakah Kebajikan Ahli Keluarga Kita Terpelihara?


23 Julai 2013

Wanita IKRAM ingin merakamkan ucapan takziah kami kepada keluarga Nawal Iris Samsudin , kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati beberapa hari lepas di Subang Jaya akibat kepanasan selepas tertinggal di dalam kereta. Kita boleh merasakan kesedihan yang dialami oleh keluarga ini selepas kehilangan anak di usia yang begitu kecil. Namun lebih sukar membayangkan bagaimana ibunya boleh terlupa dan meninggalkannya dalam kereta selama lebih dari lima jam. 

Namun ini bukanlah kes yang pertama berlaku di Negara ini. Penelitian rambang laporan di alam maya menunjukkan sejak 2011 sekurang-kurangnya terdapat lima kejadian serupa membabitkan kanak-kanak maut akibat lemas setelah ditinggalkan di dalam kereta oleh ibu bapa atau penjaga mereka. 

Peristiwa ini seharusnya menjadi iktibar kepada semua terutama ibubapa untuk tidak sekali-kali cuai dengan sentiasa memeriksa kenderaan sebelum meninggalkannya. Meninggalkan anak di dalam kereta terbukti mengundang bahaya yang bukan sedikit.

Ibubapa yang didapati cuai seperti ini boleh di didakwa di mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan (membiarkan anak-anak tanpa pengawasan), di bawah seksyen 33 Akta 611 seseorang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Malah yang lebih parah sekiranya terbukti adanya elemen penganiyaan dan pengabaian , mereka boleh didakwa di bawah seksyen 31 akta yang sama yang membawa denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya. 

Seterusnya apa yang menarik perhatian Wanita IKRAM adalah tiga dari lima kes yang dilaporkan sepanjang dua tahun ini membabitkan guru sekolah yang mengatakan bahawa kejadian berlaku daam keadaan mereka sedang bergegas untuk menyiapkan tugasan di sekolah. Yang menjadi persoalannya, adakah guru-guru sekolah kita hari ini tertekan dengan bebanan kerja yang banyak sehingga mengakibatkan mereka boleh terdedah kepada risiko melakukan kecuaian. Adakah kebajikan guru-guru yang mendidik anak-anak kita di sekolah terjaga. Adakah mereka mendapat Keseimbangan Kehidupan Berkerjaya (Work-Life Balance) sebagaimana yang diharapkan .

Adalah penting bahawa kesedaran dan komitmen terhadap Keseimbangan Kehidupan Berkerjaya hendaklah disokong dan didokong oleh semua pihak, daripada Kementerian, Pentadbir, Pengurus serta para pekerja sendiri. Dalam Dasar Keluarga Negara dan Dasar Kanak-kanak Negara, telah jelas dinyatakan bahawa Malaysia memandang penting isu-isu yang membabitkan pembangunan keluarga dan anak-anak yang sejahtera.
Dengan berlakunya kes-kes yang sangat tragik ini, Wanita IKRAM ingin menyarankan agar:
  1. Semua ibubapa berusaha mengamalkan gaya keibubapaan proaktif dan berikhtiar mengambil langkah-langkah keselamatan untuk menjamin kesejahteraan anak-anak mereka 
  2. Kempen kesedaran terhadap keselamatan kanak-kanak mestilah dipertingkatkan di peringkat nasional dan negeri untuk mendidik masyarakat khususnya ibubapa terhadap pentingnya memberi perlindungan kepada kanak-kanak dan cara-cara yang jelas bagi tujuan tersebut.
  3. Walaupun tindakan undang-undang bukan langkah pertama namun penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilakukan untuk memberi pengajaran agar kes-kes yang membabitkan keselamatan kanak-kanak tidak akan berulang.
  4. Isu keseimbangan kehidupan berkerjaya ini harus dijadikan polemik umum untuk membina kesedaran pekerja , majikan dan masyarakat umum terhadap kepentingan isu ini dan seterusnya mendapatkan cadangan penambah baikan ke arah budaya keseimbangan kehidupan berkerjaya yang lebih berkualiti. Wanita IKRAM menggesa agar pihak berwajib meneliti perkara ini supaya kebajikan pekerja, ahli keluarga serta masyarakat amnya terpelihara.
Marilah bersama-sama mendoakan keselamatan rakyat Malaysia dan selamat meneruskan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) 2013 Peringkat Negeri Selangor





Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) 2013 peringkat Negeri Selangor telah berjaya diadakan pada 20 Julai 2013 di Shah Alam Convention Centre (SACC) Shah Alam. Bertemakan "Journey to Jannah" ia telah dihadiri oleh lebih 1000 orang peserta, termasuk lebih kurang 400 orang saudara baru dan 100 orang non-muslims. 

Petaling Jaya telah menghantar lebih kurang 30 orang peserta termasuk wakil Jawatankuasa Daerah (JKD), Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa (JKPM) dan Ikram Siswa dari daerah Petaling Jaya. Ikram Petaling Jaya turut membantu menjayakan majlis ini dengan menghantar 20 orang sukarelawan yang bertugas sebagai usherer. 

Majlis dimulakan dengan forum da'wah di sebelah petang. Seterusnya bacaan Al-Qur'an serta terjemahan diadakan sebelum waktu berbuka, diikuti dengan iftar dan solat Maghrib berjemaah. 

Majlis makan diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan ABC dan Saff-One. Solat Isya' dan tarawih berjamaah diimamkan oleh imam dari Gaza Shaikh Ismail Matar, yang turut menyampaikan tazkirah Ramadan - menutup MIPHC dengan semangat dan harapan.  

Semoga Allah menerima amalan ini. 

Lihat blog Hidayah Centre Pusat untuk laporan dan gambar-gambar di MIPHC. 

21 July 2013

Laporan Klinik Al-Qur'an dan Tazkeerah Imam Gaza


Ahad, 21 Julai 2013 bersamaan 12 Ramadan 1434 berlangsung Klinik Al-Qur'an Wanita Pertubuhan
IKRAM Petaling Jaya mengambil keberkatan Bulan Ramadan kali ini. Program dihadiri lebih kurang 20 orang akhawat IKRAM Petaling Jaya yang senior dan junior. Program bermula dengan tilawah Juz 12 secara berkumpulan sementara menanti kehadiran Guru Tajwid yang masyhur di kalangan akhawat IKRAM Petaling Jaya Ustazah Sirri 'Aufa. 

Dalam siri kali ini Ustazah membuat ulangkaji tentang kedudukan dengung atau ghunnah dalam al-Qur'an iaitu ketika idgham, iqlab dan ikhfa' serta cara tilawah ketika berjumpa dengan ketiga-tiga hukum tersebut. Namun perkara yang perlu diambil berat ketika membaca al-Qur'an yang tidak kurang pentingnya ialah lahnun jaliyy (kesalahan besar) atau lahnun khafiyy (kesalahan kecil). Dalam pada itu, Ustazah juga mengimbas semula tentang tanda-tanda waqaf dalam al-Qur'an.


Majlis diserikan dengan kehadiran Imam Gaza Syeikh Ismail Mator yang memberikan perkongsian tentang Gaza dan taujihat kepada akhawat. Beliau berkongsi tentang Al-Khansaa' Palestine al-Mujahidah Maryam Farhat atau Ummu Nidhol dan mahu akhawat kaji tentang latar belakang sejarah hidup dan perjuangan beliau. Antara taujihat beliau juga iaitu:

1. Mempelajari al-Qur'an;
2. Menuntut ilmu-ilmu Diniyyah - antaranya ilmu hadith, fiqh dll.
3. Beramal dengannya; dan
4. Sampaikan kepada yang lain

Pesanan penting beliau sentiasa doakan untuk seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Hadiah beliau untuk Ketua Wanita IKRAM PJ dan Akhawat IKRAM PJ minyak zaitun dari bumi Palestine...

Semoga tadabbur, tilawah dan khatam al-Qur'an yang diusahakan memberikan seribu banyak kebaikan...

Sekian, wassalam.
Pelaporan,
Siti Khadijah bt Abdul Wahid
Setiausaha Wanita,
Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya
Sesi 2012-2014

15 July 2013

Edaran Kurma dan Nasi Kukus di Lembah Subang dan Impian Baiduri

Sabtu, 13 Julai 2013 selepas solat asar, bermula aktiviti edaran kurma dan nasi kukus ayam penyet anjuran Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya di Lembah Subang dan Flat Impian Baiduri sebagai aktiviti menyemarakkan Ramadan 1434 kali ini. Aktiviti edaran melibatkan para aktivis Wanita IKRAM Petaling Jaya. Semoga ianya menjadi amal soleh yang akan ganjari oleh Allah S.W.T dengan sebaik-baik ganjaran.








Sebanyak lebih kurang 300 bungkus kurma dan nasi kukus ayam penyet berjaya diedarkan kepada penduduk di kawasan Lembah Subang dan Flat Impian Baiduri sebagai juadah untuk berbuka puasa. Tidak dilupakan juga edaran goodies untuk kanak-kanak. Program seumpama ini banyak meninggalkan nostalgia yang sukar untuk dilupakan...

Ramadan kareem... Kullu 'am wa antum bi khair.


Sekian, terima kasih.

Siti Khadijah bt Abdul Wahid
Setiausaha Wanita,
Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya
Sesi 2012-2014