Kalendar IKRAM PJ

18 June 2014

Laporan: Jaulah Ikram PJ ke Dungun

Program Jaulah Ikhwah Ikram PJ telah dilaksanakan dengan jayanya pada 6 hingga 8 Jun 2014 yang lalu. Bertemakan 'Sotong Dicandat, Ukhuwah Dierat', kali ini ikhwah berjaulah ke Pantai Timur di Dungun, Terengganu. Seramai 42 orang peserta dari kalangan dewasa, belia, pelajar IPT dan juga remaja mengikuti jaulah ini.

Dengan bas yang disewa khas, rombongan bertolak dari Masjid Negeri, Shah Alam pada jam 11 malam pada Jumaat 6 Jun, dan tiba di Dungun sebaik sahaja sebelum Subuh pada keesokan harinya. Para peserta ditempatkan di sebuah chalet di Kampung Sura Gate yang amat hampir dengan pantai. Setelah menunaikan Subuh berjamaah di masjid berhampiran, para peserta membaca zikir al-Ma'thurat di atas pantai, sebelum dihidangkan sarapan pagi oleh tuan rumah dengan nasi lemak yang amat menyelerakan.

Seterusnya para peserta menjalani aktiviti pantai - mandi laut, snorkeling dan juga menyelam scuba. Pada waktu petangnya para peserta melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan bergotong-royong membersihkan masjid.

Dengan kehendak Allah, aktiviti yang dinanti-nanti iaitu mencandat sotong pada malam itu terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca laut yang tidak mengizinkan. Dan program waktu malam digantikan dengan aktiviti memasak BBQ (dapat juga sekurang-kurangnya merasa sotong bakar!).

Pada keesokan harinya para peserta diuji kebolehan minda, kreativiti dan semangat berpasukan dengan beberapa aktiviti team building, sebelum bertolak balik ke Petaling Jaya dengan seribu kenangan.

Admin
























  






















Foto ehsan: Akram Safian, Mohd Noor Said, Wan Aiman Khudzri

14 June 2014

Daurah 'Pengenalan Kepada Ilmu Hadith'

Gambar-gambar di sekitar Daurah 'Pengenalan Kepada Ilmu Hadith', yang diadakan pada hari Jumaat 13 Jun 2014, bertempat di Pejabat Ikram Petaling Jaya, Taman Sri Manja. Daurah dihadiri oleh lebih kurang 50 orang peserta dari kalangan ahli Ikram dan ahli usrah Ikram Daerah Petaling Jaya.

Penyampaian telah disampaikan oleh Al-Ustaz Muhammad Arif Yahya, seorang graduan kelulusan Sarjana Muda dan Sarjana daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Semoga Allah mengurniakan kita kefahaman dan kekuatan untuk beramal dengan ilmu yang telah diperolehi.

Admin





Foto: IkramTeens PJ di Cherating 7-8 Jun 2014



Antara bahan pameran sempena Malam Pameran Mesir

Antara bahan pameran sempena Malam Pameran Mesir

Di Malam Pameran Mesir
 


Kembara 'Hartawan Bertaqwa' meredah bakau, lumpur, sungai dan pantai


10 June 2014

Kem Cuti Sekolah Ikram Junior Petaling Jaya, Jun 2014

        Cuti sekolah kembali lagi. Kerana cuti sekolah kali ini amat hampir dengan bulan Ramadhan, Ikram Junior Petaling Jaya telah mengadakan kem yang diberi nama Kem Cinta Ramadhan (KCR) di Banglo Kuang pada 2 dan 3 Jun 2014.

        Kem ini telah dihadiri oleh seramai 22 orang kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun. KCR berobjektif untuk memupuk kesedaran tentang Ramadhan di kalangan peserta.
        Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti mengenal fasa bulan, mengenal nama-nama jolokan bulan Ramadhan, senaman ringan Ramadhan, ‘Moreh Cooking’, membaca al-Quran, Qiyam al-Layl, dan amali Fardhu Ain. KCR seperti tahun lepas, tidak lengkap jika tidak di selang-selikan dengan aktiviti bersukan. Antara yang amat digemari oleh para peserta adalah berenang, bermain bola sepak dan ‘softball’.
 











06 June 2014

Rihlah Remaja IkramTeens PJ ke Sungkai, Perak

Seramai 19 orang remaja dan lima orang penggerak IkramTeens PJ telah mengadakan rihlah ke Sungkai, Perak Darul Ridzuan pada hari Ahad 1 Jun 2014.

Rombongan bertolak pada malam sebelumnya dan bermalam di Pejabat Ikram Tanjung Malim. Sekain daripada mandi sungai, aktiviti lain seperti pengisian tazkirah dan ukhuwwah games turut diadakan. Program juga disertai dengan lawatan ke rumah Al-Akh Sapawi Hassan.

Semoga ukhuwah kian bertaut.

Admin

Nota: Foto-foto dan berita adalah ehsan Al-Ustaz Muhammad Arif Yahya.




12 May 2014

Kenyataan Media IKRAM: Pelaksanaan Syariah di Kelantan



Kenyataan Media


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
11 Rejab 1435 H bersamaan 11 Mei 2014

Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan


Islam sebagai ad-Deen adalah satu sistem kehidupan yang lengkap. Ia merangkumi semua persoalan kehidupan manusia sama ada individu atau masyarakat yang akhirnya membawa kepada kehidupan akhirat.
Keindahan undang-undang dan syariat Islam tidak dapat dilihat dan dinikmati sepenuhnya melainkan ia dilaksanakan seluruhnya. Islam tidak boleh dilihat dari satu aspek semata-mata. Islam bukan sekadar akidah. Islam juga bukan hanya ibadah tetapi juga akhlak. Islam bukan setakat mengurus persoalan kekeluargaan tetapi juga kemasyarakatan. Islam bukan terbatas kepada isu kewangan atau perbankan malah merangkumi isu keadilan sosial dan memerangi penindasan serta kezaliman.

Pelaksanaan syariat Islam termasuk melaksanakan hukuman hudud, menuntut beberapa fasa dan tindakan demi menjamin keadilan dan kesejahteraan semua.

  1. Pertama: Masyarakat perlu diberi penjelasan agar memahami falsafah dan tujuan sebenarnya sistem jenayah syariah;
  2. Kedua: Pemerintah perlu memastikan kebajikan rakyat didahulukan sehingga rakyat tidak terdorong melakukan jenayah atau maksiat;
  3. Ketiga: Pemerintah perlu memastikan segala usaha atau dorongan ke arah maksiat dikurangkan;
  4. Keempat: Pemerintah perlu berusaha agar unsur-unsur yang mempamerkan keindahan Islam turut dilaksanakan seperti sistem ekonomi yang adil dan tidak menindas, ketelusan, tadbir urus yang baik, pertanggungjawaban dan kebebasan bersuara.
Adalah menjadi kewajipan serta tanggungjawab pemerintah memastikan masyarakat tidak melakukan jenayah atas sebab tekanan atau terpaksa. Hukuman sepatutnya disasarkan kepada mereka yang sengaja melakukan jenayah. Bagi orang Islam, melaksanakan hukum seperti yang ditetapkan di dalam al-Qur'an dan as-Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. adalah tuntutan agama.

Enakmen Kanun Kesalahan Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Maka adalah wajar orang Islam diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Ia meliputi hukum qisas, hudud dan takzir. Enakmen ini hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong usaha ke arah perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.

Pelaksanaan enakmen ini sebaiknya hendaklah melalui semua fasa yang dinyatakan di atas.

IKRAM mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ianya dari dipolitikkan. IKRAM bersedia menawarkan segala kepakarannya bagi menjayakan usaha ini. 

IKRAM juga mengalu-alukan keputusan untuk tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian pada Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014. Ini memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

IKRAM akan menggerakkan ahlinya dalam memberi penerangan mengenai keindahan syariat Islam serta terus iltizam dalam usaha ke arah penegakan syariat Islam yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.

IKRAM menyeru semua lapisan masyarakat agar bersikap positif dalam menghadapi apa jua isu dan saling bantu membantu untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Sumber: Halaman web Pertubuhan IKRAM Malaysia