Alhamdulillah pada 13 Julai 2014 telah berlangsung satu majlis ‘Tautan Kasih Ramadan’ di surau Nurul Hidayah, PPR Lembah Subang. Majlis ini telah diusahakan oleh Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya dengan kerjasama wakil-wakil blok dari kalangan Muslimat.
Tujuan utama majlis ini diadakan ialah untuk membina hubungan dengan khususnya wanita-wanita di PPR Lembah Subang. Bersempena dengan bulan Ramadan, satu inisiatif telah diusahakan oleh Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya dalam bentuk pengumpulan dana untuk disumbangkan kepada penduduk atau wakilnya yang telah dikenalpasti terdiri daripada golongan yang memerlukan. Alhamdulillah dengan jumlah yang terkumpul, sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang telah dapat diagihkan kepada 60 orang yang dipilih.
Majlis ini telah dimulakan dengan pengenalan kepada Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya khususnya aktiviti-aktiviti wanita yang boleh dimanafaatkan besama oleh Puan Aziah Aziz, ketua wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya. Ianya disusuli dengan tazkirah ringkas, ‘Puasa sebagai Perisai’ oleh Ustazah Dr Hamidah Mat seorang pensyarah dari Pusat Asasi UIAM. Selanjutnya sumbangan telah disampaikan oleh Puan Aziah Aziz sebelum ianya diakhiri pada sekitar pukul 11.30 pagi.
Ucapan jazakumullah khairan kathira kepada semua yang terlibat, semoga program kemasyarakatan seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang.